Air Oh Air! Apakah Kesudahannya?

khalidProjek Langat 2: Selesaikan dahulu penstrukturan semula industri air di Selangor

SHAH ALAM 31 Ogos — Kerajaan Selangor akan meneruskan projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) hanya selepas perbincangan penstrukturan semula industri air dengan pemegang konsesi swasta dan agensi persekutuan diselesaikan dengan baik. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini berkata, kerajaan negeri tidak pernah membantah projek Langat 2 tetapi mempertikaikan mengapa Kerajaan Persekutuan memberi keutamaan terhadap projek itu.  “Kita menerima Projek Langat 2 tetapi ia tidak perlu dibuat dengan terburu-buru. Sekarang kerajaan negeri mahu menyelesaikan isu penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor.  “Kita menegaskan sekali lagi bahawa perlu memberi keutamaan kepada penstrukturan semula industri perkhidmatan air berbanding projek Langat 2,” katanya. — Bernama

Sumber: Utusan Malaysia 31/08/10

Air Oh Air! Apakah Kesudahannya?

Nampaknya isu air di Selangor terus menjadi persoalan dan perbincangan yang hangat antara kerajaan negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan. Keadaan ini diperparahkan lagi apabila kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh PR dan Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh BN dilihat mempunyai pandangan yang berbeda dalam menanggapi isu air ini.

Islam sebagai ideologi sempurna yang diturunkan oleh Allah SWT untuk mengatur kehidupan manusia dan seluruh alam ini telah memecahkan setiap persoalan yang ada termasuklah isu air dengan jelasnya. Firman Allah SWT: “dan Kami turunkan kepadamu Al kitab (Al Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan kabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri”. [TMQ An Nahl (16) : 89].  Seorang Muslim, samada di pihak PR mahupun BN wajib menjadikan Islam sebagai dasar rujukan untuk menyelesaikan setiap persoalan yang timbul. Firman Allah SWT: “Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya) dan ulil amri di antara kamu. kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya”. [TMQ An Nisaa’ (4) : 60]. Secara jelas Islam telah menentukan bahawa air adalah salah satu pemilikan yang dimiliki secara bersama oleh rakyat. Kewajiban pemerintah hanyalah mengurus pemilikan tersebut agar rakyat mendapat manfaat dari apa yang dimilikinya. Sabda Rasulullah SAW: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu  akan ditanya mengenai kepimpinannya. Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin  dan akan ditanya mengenai kepimpinannya”. [Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim,Abu Daud, al-Tirmizi dan Ahmad].

Justeru itu air tidak boleh diniagakan/swastakan seperti mana yang dilakukan oleh kerajaan kapitalis yang ada pada hari ini. Ini adalah kerana kerajaan sekular kapitalis yang berkuasa di mana-mana sahaja akan melaksanakan pelbagai projek pengswastaan terhadap segala bentuk kepemilikan yang ada bagi mengaut sebanyak mungkin keuntungan tanpa mempertimbangkan persoalan halal ataupun haram. Dan inilah yang dilakukan oleh kerajaan sekular kapitalis hari ini. Apakah mereka tidak beriman kepada hadith Rasulullah SAW ini? 

“Kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) dalam tiga perkara iaitu air, padang ragut dan api”. [HR Abu Daud].

Adalah haram hukumnya air yang menjadi milik bersama umat itu diswastakan kepada Syabas sebagaimana yang berlaku di Selangor pada hari ini. Apa yang pasti, kerajaan sekular pimpinan UMNO yang menswastakan air selama ini kepada Syabas telah menanggung dosa yang cukup berat. Apakah PR juga mengikuti langkah yang sama?   Lihat SN172-Air Milik Kita.