Aleppo – Pusara di Bumi Syria
Dunia tergamam kengerian tatkala menyaksikan kemusnahan yang menimpa Aleppo. Puluhan ribu lelaki, wanita, dan anak-anak Muslim berada dalam cengkaman tentera rejim Syria dan sekutunya yang zalim.
Duta Perancis ke PBB, Francois Delattre menyatakan bahawa Aleppo berkemungkinan akan menjadi “salah satu pembantaian yang terbesar ke atas orang awam semenjak Perang Dunia Kedua.”
Sementara itu, Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria pula menyatakan terdapat lebih daripada 50,000 daripada suku juta orang penduduk telah menjadi pelarian ekoran serangan ke atas daerah timur Aleppo yang dikuasai para penentang rejim. Kini mereka dihujani dengan persenjataan paling dahsyat yang pernah dicipta manusia.
Penduduk di timur Aleppo turut melaporkan penggunaan bom pembakar berangkai (incendiary cluster munitions) yang mengandungi bom-bom kecil yang akan meletup dan menyebabkan kebakaran meluas di kawasan sekitarnya.
Sementelahan itu, organisasi bantuan kemanusiaan menganggarkan hanya terdapat 35 orang doktor sahaja yang masih berada di Aleppo Timur, iaitu pada kadar seorang bagi 7,143 orang penduduk, dengan mengandaikan terdapat 250,000 orang penduduk di bandar tersebut.
Sikap berdiam diri dan berpeluk tubuh para penguasa Muslim sungguh menjelekkan. Sedangkan mereka menyaksikan bagaimana kaum lelaki dibunuh, begitu juga dengan anak-anak yang tidak berdosa, dan mereka menyaksikan kaum wanita mengebumikan keluarga mereka. Sungguh, tiada bezanya antara sang gasar Bashar al-Assad dengan para penguasa kaum Muslimin di dunia saat ini.
Bagaimana mungkin para penguasa yang bersempadanan dengan Syria membisu? Di mana perginya para penguasa Jordan, Arab Saudi dan Turki dalam menanggapi pembantaian ini? Di manakah perginya tentera mereka untuk dikerah bagi membebaskan Muslimin yang mentauhidkan Allah Azza wa Jalla? Sesungguhnya, para penguasa kaum Muslimin ini tidak pernah berdiri bersama umat Islam di Aleppo yang saban hari dihujani bom-bom dan serangan daripada rejim Syria dan Rusia.
Apakah para penguasa dunia Islam ini pekak, bisu dan buta terhadap rintihan penduduk Aleppo? Pendirian yang ditonjolkan oleh para penguasa ini, khasnya yang bersempadanan dengan Syria jelas menunjukkan bahawa mereka telah memilih untuk sehidup semati bersama-sama musuh-musuh umat Islam yang nyata. Sesungguhnya, keputusan yang mereka pilih itu pasti akan membinasakan nasib mereka di dunia ini dan juga di Akhirat kelak.
Aleppo, Syria dan seluruh dunia Islam mendambakan kembalinya Khilafah Rasyidah yang akan membebaskannya dari kemelut yang melanda, dan melindungi umatnya. Khalifah tidak akan sama sekali bacul, pengecut dan khianat sebagaimana para penguasa di dunia Islam saat ini.
Hanya dengan Khilafah, barulah umat ini akan terpelihara dan dilindungi daripada pihak yang tergamak membunuh mereka kerana keteguhan mereka berpegang kepada Islam.
ولاَ تَحْسَبَنَّ اللَّهَ غَافِلاً عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ الأَبْصَارُ
“Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku” [Ibrahim (14):42].
Sumber: hizb.org.uk