Solidariti Untuk Aleppo: HTM berarak dari Masjid Asy-Syakirin ke Kedutaan Rusia

KUALA LUMPUR 17 Nov – Laungan takbir dan tahlil bergema di sepanjang jalan dari Masjid Asy-Syakirin, KLCC, ke Kedutaan Rusia di Jalan Ampang di sini, hari ini. Perarakan (long march) sepanjang 2 kilometer ini dianjurkan oleh Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) bagi menunjukkan solidariti umat Islam di Malaysia ke atas apa yang menimpa saudara-saudara mereka di Aleppo, Syria dan memberi mesej bantahan kepada Rusia di atas kekejaman mereka dalam membantai umat Islam.

Sekitar 500 orang peserta, termasuk wanita dan anak-anak turut menyertai perarakan bagi menunjukkan sokongan dan persaudaraan yang tidak berbelah bahagi terhadap umat Islam di Aleppo yang sedang dibantai habis-habisan oleh Rusia dalam usaha negara kafir itu membantu rejim al-Assad untuk menghancurkan Aleppo dan membunuh penduduknya.

Para peserta bergerak dari Masjid Asy-Syakirin kira-kira jam 10.30 pagi setelah selesai menunaikan solat hajat dan melakukan qunut nazilah secara berjemaah. Mereka tiba dan berhimpun di depan Kedutaan Rusia lebih kurang jam 11.45 pagi setelah berjalan kaki dengan penuh semangat dan tertib dari Masjid Asy-Syakirin, dengan diiringi dan dibantu oleh pasukan polis.

Dalam ucapan di hadapan Kedutaan Rusia, HTM mengutuk sekeras-kerasnya serangan dan menyampaikan mesej bantahan terhadap kekejaman negara kafir itu ke atas umat Islam di Aleppo. HTM juga turut membidas pemimpin umat Islam, termasuk Malaysia, yang tidak melakukan apa-apa untuk menyelamatkan Aleppo dan penduduknya.

“Pemimpin umat Islam sepatutnya menggerakkan tentera untuk berjihad di Aleppo, kerana inilah satu-satunya jawapan dan penyelesaian tuntas ke atas pembantaian yang dilakukan oleh Rusia, dengan sokongan penuh Amerika Syarikat yang ada di belakangnya, terhadap umat Islam di bumi Syam itu”, tegas Ustaz Abdul Hakim Othman di dalam ucapannya di hadapan kedutaan.

Ustaz Hakim turut mengingatkan pasukan tentera kaum Muslimin agar segera melancarkan jihad ke Aleppo dan tidak perlu lagi mematuhi pemimpin yang merantai kaki-kaki mereka selama ini. “Haram bagi tentera untuk mematuhi pemimpin yang tidak mentaati Allah. Dengan membiarkan darah-darah umat Islam terus mengalir di bumi Aleppo, para pemimpin ini sebenarnya telah memaksiati Allah SWT, dan tentera tidak lagi perlu mentaati mereka dan wajib segera bergerak ke Aleppo untuk membantu saudara-saudara seakidah yang sedang dibantai dengan dahsyat sekali di sana”, tegas Abdul Hakim yang juga merupakan Jurucakap HTM.

Di dalam mesej di depan Kedutaan Rusia itu, HTM menjelaskan sebab serangan besar-besaran Rusia ke atas Aleppo adalah kerana Rusia, termasuk Amerika Syarikat yang menggerakkannya, amat takut yang Negara Khilafah akan berdiri di Syam, kerana para pejuang serta penduduk Syam telah menolak segala perancangan Amerika yang mahukan negara sivil demokrasi di Syam. Justeru, ketakutan Amerika, Rusia dan rejim al-Assad akan kembalinya Khilafah di bumi Syam, telah menyebabkan mereka bertindak habis-habisan membunuh kesemua pejuang dan penduduk Syam.

Di akhir ucapannya, Ustaz Umar Hussein yang juga salah seorang pembicara dalam perhimpunan solidariti untuk Aleppo ini, menegaskan bahawa Hizbut Tahrir sedang berusaha siang dan malam di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, untuk menegakkan kembali Khilafah yang akan menjawab segala kebiadaban kuffar Barat ke atas umat Islam, yang akan membebaskan Syam dari cengkaman Barat dan seterusnya menyelamatkan umat Islam yang sedang tertindas. Umar, yang juga merupakan AJK Pusat HTM itu seterusnya menyeru dan mengajak seluruh hadirin khususnya dan umat Islam amnya, untuk bergabung bersama-sama Hizbut Tahrir dalam usaha Hizbut Tahrir menegakkan Khilafah yang telah dijanjikan oleh Allah dan RasulNya ini.

Perarakan dan perhimpunan aman ini diakhiri dengan doa memohon kemenangan daripada Allah SWT ke atas umat Islam dan kehancuran kepada puak kuffar musuh-musuh Allah, yang turut diaminkan oleh anggota polis yang bertugas.