Amalan Bernilai Pahala bagi Perempuan yang datang Haid di Bulan Ramadhan

Oleh: Najmah Saiidah

Telah kita ketahui bersama bahawa shaum/puasa di bulan Ramadhan hukumnya diwajibkan bagi setiap muslim, demikian juga bagi muslimah adalah wajib hukumnya yang sudah baligh dan berakal sihat.

Bagi muslimah khususnya ada beberapa keadaan yang dibolehkan berbuka (tidak shaum) di siang hari pada bulan Ramadhan, salah satunya adalah ketika perempuan berada dalam keadaan haid dan nifas.

Muslimah yang sedang haid atau nifas di bulan Ramadhan dilarang melaksanakan shaum dan diwajibkan menggantinya (qadha’ puasa)  pada hari-hari lain. Kadang-kadang keadaan ini menjadikan perempuan tidak melakukan aktiviti apa pun di bulan Ramadhan.

Ya, kaum perempuan yang sedang datang bulan ataupun nifas, tentunya tidak boleh menjalani shaum Ramadhan selama sebulan dan ibadah-ibadah tertentu seperti solat dan mengaji al-Quran juga tidak dibolehkan. Akhirnya kita sebagai perempuan menjadi sedih kerana banyak amal soleh yang kita tidak boleh lakukan.

Pada asasnya hal ini merupakan perkara yang wajar, hal ini pun pernah dialami oleh Aisyah. Rasulullah SAW pernah menghibur Aisyah yang bersedih kerana tiba-tiba datang bulan, padahal belum sempat menjalankan manasik haji.

Dari ‘Aisyah RA berkata, “Kami keluar (safar) bersama Nabi SAW, dan tujuan kami hanyalah ibadah haji. Sampai ketika kami tiba di Sarif atau dekat dengannya, aku mengalami haid. Kemudian Nabi SAW masuk menemuiku sementara aku sedang menangis. Lalu baginda bertanya, ‘Apakah engkau mengalami nifas?’ [maksudnya adalah haid]. Aisyah berkata, “Aku jawab, ’Ya.’ Baginda SAW bersabda, ‘Sesungguhnya ini adalah sesuatu yang telah Allah tetapkan (takdirkan) bagi kaum wanita dari anak cucu Adam. Maka lakukanlah amalan-amalan haji, hanya saja janganlah engkau melakukan Tawaf di Kaabah sebelum engkau mandi (setelah suci dari haid).’ Aisyah berkata, ‘Kemudian Rasulullah SAW berkorban dengan menyembelih seekor lembu yang diniatkan untuk semua isterinya.’” (HR Bukhari – Muslim).

Perempuan yang ketika masuk bulan Ramadhan berada dalam keadaan haid atau sempat berpuasa Ramadhan, lalu kemudian datang bulan, maka tidak perlu bersedih, kerana ini adalah ketetapan Allah SWT.

Lagipun, ikhlas dan menjauhi larangan Allah juga termasuk ibadah. Lebih-lebih lagi, perempuan yang sedang haid atau nifas, masih boleh melakukan pelbagai aktiviti yang bernilai ibadah, untuk meraih keberkatan Ramadhan, sebab aktiviti bernilai pahala di bulan Ramadhan bukan hanya solat dan membaca al-Quran saja.

Sikap pertama yang wajib dipupuk oleh perempuan yang sedang haid di bulan Ramadhan adalah redha, kerana seorang hamba yang beriman memang tidak boleh bersikap kepada Penciptanya selain redha dengan ketentuan-Nya.

Allah berfirman, yang ertinya, “Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, bila mereka diajak kepada Allah dan Rasul-Nya agar Rasul menghukumi (mengadili) di antara mereka ialah ucapan. “Kami mendengar, dan Kami patuh”. Dan mereka Itulah orang-orang yang beruntung.” [TMQ an-Nur (24):51]

Kesedihan kerana tidak boleh berpuasa, solat, tarawih, membaca al-Quran kerana haid adalah perkara baik, kerana di antara ciri-ciri orang beriman adalah gembira ketika melakukan amal soleh dan susah hati ketika melakukan kemaksiatan.

At-Tirmidzi meriwayatkan, dari Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang kebaikan yang dilakukannya membuatnya bahagia, dan keburukannya membuatnya susah, maka dia adalah seorang mukmin.” (HR At-Tirmidzi)

Patut pula difahami oleh kaum perempuan, bahawa ketika dia tidak berpuasa Ramadhan kerana haid maka hal itu bermakna dia sedang menjalankan perintah Allah, kerana Allah melarang perempuan haid berpuasa. Ertinya, dia sedang beramal soleh sebagaimana mereka yang berpuasa tanpa ada perbezaan.

Justeru perempuan haid tersebut sedang menjalankan perintah Allah dengan cara yang lebih ringan daripada mereka yang berpuasa yang perlu menahan lapar dan dahaga.

Dalilnya adalah hadis dari Abu Sa’id Al Khudri ia berkata“Rasulullah SAW pada hari raya EidulAdha atau EidulFitri keluar menuju tempat solat, baginda melalui kaum perempuan seraya bersabda, ‘Wahai kaum perempuan! Hendaklah kalian bersedekah, sebab ditunjukkan kepadaku bahawa kalian adalah yang paling banyak menghuni neraka.’ Kami bertanya, ‘Apa sebabnya wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, ‘Kalian banyak melaknat dan banyak kufur terhadap suami. Dan aku tidak pernah melihat makhluk yang kurang akal dan agamanya yang boleh mengalahkan lelaki yang kuat tekadnya selain kalian.’ Kami bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, apa tanda dari kurangnya akal dan lemahnya agama?’ Baginda menjawab, ‘Bukankah persaksian seorang perempuan separuh dari persaksian lelaki?’ Kami jawab, ‘Benar.’ Baginda berkata lagi, ‘Itulah kekurangan akalnya. Dan bukankah seorang perempuan bila dia sedang haid dia tidak solat dan puasa?’ Kami jawab, ‘Benar.’ Baginda berkata, ‘Itulah kekurangan agamanya.’” (HR Bukhari)

Lafaz “Bukankah seorang perempuan bila dia sedang haid dia tidak solat dan puasa” menunjukkan bahawa di zaman Rasulullah SAW sudah diketahui bahawa perempuan yang haid tidak berpuasa dan tidak solat.

Oleh kerana solat lima waktu dan puasa Ramadhan hukumnya wajib, sedangkan kaum perempuan yang sedang haid di zaman Rasulullah SAW malah tidak melakukannya, maka hal ini bermakna bahawa puasa dan solat memang dilarang bagi perempuan yang sedang haid.

Ini bermakna, jika dilakukan, maka puasa dan solat tersebut tidak sah dan ia melakukan keharaman, malah melanggar perintah Allah dan berdosa.

Jadi, redha adalah sikap pertama yang harus dibangun. Sikap redha adalah sebahagian daripada amal soleh, bahkan termasuk di antara amal soleh yang paling agung.

Lalu amal soleh apa yang boleh dilakukan oleh seorang perempuan, ketika sedang haid di bulan Ramadhan?

Banyak sekali aktiviti di bulan Ramadhan yang mempunyai nilai pahala, yang boleh dilakukan oleh seorang perempuan dalam keadaan haid.

Mari kita lihat petikan khutbah Rasulullah ketika akan memasuki bulan Ramadhan.

Rasulullah SAW bersabda,

“Wahai manusia! sesungguhnya kamu akan dinaungi oleh bulan yang sentiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan; Bulan yang Allah telah menjadikan puasanya suatu fardhu, dan qiyam di malam harinya suatu tathawwu’. Barang siapa mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan perkara kebaikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardhu di dalam bulan yang lain.”

“Ramadhan itu adalah bulan sabar, sedangkan sabar itu adalah pahalanya syurga. Ramadhan itu adalah bulan memberi pertolongan (syahrul muwasah) dan bulan Allah memberikan rezeki kepada mukmin di dalamnya.”

“Barang siapa memberikan makanan berbuka kepada seseorang yang berpuasa, yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya dari neraka. Orang yang memberikan makanan itu memperoleh pahala seperti orang yang berpuasa tanpa sedikitpun berkurang.”

Para sahabat berkata, “Ya Rasulullah, tidaklah semua kami memiliki makanan berbuka puasa untuk orang lain yang berpuasa. Maka bersabdalah Rasulullah SAW, “Allah memberikan pahala kepada orang yang memberi sebutir kurma, atau seteguk air, atau sehirup susu.”

Dialah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya ampunan, dan akhirnya pembebasan dari neraka. Barang siapa meringankan beban dari hamba (termasuk di sini para pembantu rumah) nescaya Allah mengampuni dosanya dan memerdekakannya dari neraka. Oleh kerana itu banyakkanlah empat perkara di bulan Ramadhan; dua perkara untuk mendatangkan keredhaan Tuhanmu, dan dua perkara lagi kamu sangat berhajat kepadanya.”

“Dua perkara yang pertama ialah mengakui dengan sesungguhnya bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan memohon ampun kepada-Nya. Dua perkara yang kamu sangat memerlukannya ialah memohon syurga dan perlindungan dari neraka.”

“Barang siapa memberi minum kepada orang yang berbuka puasa, nescaya Allah memberi minum kepadanya dari air kolam-Ku dengan suatu minuman yang dia tidak merasakan haus lagi sesudahnya, sehingga dia masuk ke dalam syurga.” (HR Ibnu Huzaimah)

Dari khutbah Rasulullah ini, kita akan dapati ada sekurang-kurangnya 4 (empat) amalan yang boleh dilakukan oleh perempuan yang sedang haid, iaitu:

  1. Melakukan amal kebaikan di bulan Ramadhan sama dengan menunaikan suatu fardhu di bulan yang lain;
  2. Memberikan makanan kepada yang berpuasa akan memperoleh pahala seperti orang yang berpuasa tanpa sedikit pun berkurang, bahkan walau dengan hanya memberi sebutir kurma, seteguk air, atau sehirup susu;
  3. Meringankan beban hamba atau para pekerjanya, nescaya Allah mengampuni dosanya dan memerdekakannya dari neraka;
  4. Memberi minum kepada orang yang berbuka puasa, maka Allah memberi minum kepadanya dengan suatu minuman yang dia tidak merasakan haus lagi sesudahnya, sehingga dia masuk ke dalam syurga.

Selain itu, banyak lagi aktiviti lain yang dijelaskan dalam ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW, iaitu:

Pertama: Berkhidmat (melayani/membantu) kepada orang lain, terutama orang yang berpuasa.

Sesungguhnya Khidmat, sekecil apa pun adalah amal soleh. Dari Jabir bin Abdullah ia berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Setiap kebaikan adalah sedekah. Dan di antara bentuk kebaikan adalah kamu berjumpa saudaramu dengan wajah yang menyenangkan. Dan kamu menuangkan air dari bekas air ke dalam cawan milik saudaramu.” (HR At-Tirmidzi).

Menuangkan air pada cawan saudara adalah sebuah bentuk pelayanan. Rasulullah SAW menyebutnya termasuk perkara makruf sebagaimana berwajah ramah juga disebut makruf.

Sesuatu yang disebut makruf adalah amal soleh, sehingga boleh dikatakan khidmat adalah amal soleh. Lebih utama lagi jika yang dilayani adalah orang yang berpuasa, kerana melayani orang yang berpuasa dan meringankan mereka boleh membuat yang melayani mendapatkan ganjaran sebagaimana orang yang berpuasa.

Kedua: Mendorong orang lain beramal soleh.

Hal ini termasuk amal soleh dan membuat pelakunya mendapatkan pahala sebagaimana orang yang beramal soleh tersebut.

Dari Abu Mas’ud Al Anshari dia berkata, seorang lelaki datang kepada Nabi SAW seraya berkata, “Wahai Rasulullah, jalan kami telah terputus kerana haiwan tungganganku telah mati, oleh kerana itu bawalah saya dengan haiwan tunggangan yang lain.” Maka baginda bersabda, “Saya tidak memilikinya.” Tiba-tiba ada seorang lelaki yang berkata, “Wahai Rasulullah, saya dapat menunjukkan seseorang yang dapat membawanya (memperoleh penggantinya).” Maka baginda bersabda, “Barang siapa dapat menunjukkan suatu kebaikan, maka dia akan mendapatkan pahala seperti orang yang melakukannya.” (HR Muslim)

As-Shon’ani menjelaskan “menunjukkan” boleh dilakukan dengan cara memberi saranan kepada orang lain untuk melakukan kebaikan, atau memberitahu orang yang ingin melakukan kebaikan untuk berjumpa dengan orang tertentu, memberi nasihat atau memberi peringatan”. (Subul As-Salam vol.4 hlm 170).

Oleh kerana itu wanita haid yang mengejutkan orang lain untuk bersahur dan berpuasa maka dia mendapatkan pahala seperti pahala orang yang sahur dan berpuasa.

Ketiga: Memperbanyakkan istighfar dan sedekah.

Secara khusus Rasulullah SAW amat menggalakkan agar memperbanyakkan istighfar dan sedekah kerana baginda diperlihatkan bahawa kaum perempuan adalah penghuni neraka yang paling banyak.

Nasihat Rasulullah SAW ini sepatutnya mendapat perhatian lebih dari kaum perempuan, kerana Rasulullah SAW adalah insan yang paling tahu sesuatu yang paling menyelamatkan umatnya di akhirat.

Istighfar dan sedekah sepatutnya lebih dititikberatkan di bulan Ramadhan kerana bulan ini adalah bulan yang paling mulia di antara seluruh bulan.

Keempat: Memperbanyakkan zikir.

Kaum perempuan yang haid ketika Ramadhan dianjurkan memperbanyakkan zikir baik dengan lisan mahupun dengan hatinya.

Di antara dalil yang menunjukkan keutamaan zikir adalah firman Allah yang bermaksud: “Ingatlah Aku, nescaya aku akan mengingatmu” [TMQ al-Baqarah (2): 152].

Di antara lafaz zikir yang boleh diamalkan secara istiqamah adalah lafaz yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, dalam hadis dari Abu Hurairah yang menuturkan; Rasulullah SAW bersabda: “Ada dua kalimat yang ringan di lisan, berat di timbangan, dan disukai Arrahman iaitu Subhanallah wabihamdihi dan Subhaanallahul ‘azhiim.” (HR Bukhari)

Kelima: Memperbanyakkan doa.

Doa adalah ibadah. Ibadah merupakan amal soleh. Seorang perempuan boleh memperbanyakkan doa di bulan Ramadhan ini.

Dari An-Nu’man bin Basyir dari Nabi SAW baginda bersabda, “Doa adalah ibadah” (H.R. Abu Dawud). Terutama sekali berdoa pada sepertiga malam terakhir dan waktu antara azan dengan iqomah (iqamat), kerana waktu tersebut adalah waktu mustajab berdoa.

KeenamTholabul ‘Ilmi.

Mencari ilmu termasuk amal soleh yang boleh dilakukan perempuan haid di bulan Ramadhan baik dilakukan dengan menghadiri majlis ilmu mahupun mempelajari isi buku ataupun dari media sosial.

Banyak nas yang menunjukkan keutamaan mencari ilmu. Di bulan Ramadhan biasanya bertaburan majlis ilmu. Tentu saja kita akan memilih kajian yang paling bermanfaat bagi agama, dan mula mempelajari ilmu-ilmu Islam yang fardhu ain terlebih dahulu.

Allah berfirman, yang ertinya: “Yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya, mereka Itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka Itulah orang-orang yang mempunyai akal.” [TMQ az-Zumar (39): 18].

Telah sangat jelas bahawa seorang perempuan ketika sedang haid, walaupun dia tidak berpuasa, tetapi terdapat banyak amal soleh yang boleh dilakukan olehnya. Di antaranya menyediakan makanan untuk berbuka, memperbanyakkan sedekah, memperbanyakkan zikir, dan sebagainya.

Justeru,kaum wanita tidak perlu bersedih ataupun kecewa, kerana tetap banyak ladang pahala yang boleh dilakukan. Wallahu a’lam bissawwab.