Anak-Anak Yatim Akibat Covid-19, Bagaimana Pengakhirannya?

Malaysia antara negara yang turut dilanda wabak Covid-19 sejak Januari 2020 dengan penularan jangkitan yang disyaki berasal dari Wuhan, China melalui kemasukan warganegaranya ke negara ini. Pelbagai kaedah telah diambil oleh pihak kerajaan untuk menangani penularan wabak pandemik tersebut. Namun pendekatan yang diambil nampaknya tidak mampu membendung penularan secara tuntas, sebaliknya pelbagai kluster tercetus dikala rakyat juga tidak memahami dengan baik pendekatan yang diambil oleh pihak bertanggungjawab.

Sehingga kini, negara kita telah berada dalam pandemik lebih kurang 1 tahun 10 bulan. Tempoh ini bukanlah satu tempoh yang singkat bagi semua masyarakat Malaysia. Kita semua telah menghadapinya dengan penuh cabaran demi memastikan penularan wabak ini dapat diatasi. Media arus perdana juga melaporkan angka korban akibat pandemik ini hampir saban hari meningkat walaupun ada satu ketika negara telah mampu menurunkan keluk penularan wabak tersebut. Alhasil, kesan dari wabak ini meninggalkan luka mendalam dalam masyarakat apabila ia meragut nyawa tidak mengira usia. Terkini, jumlah korban kematian dari laporan yang dikemaskini pada 3 November 2021, jumlah kumulatif kematian adalah sebanyak 29,091 kes. (1) Lebih menyedihkan apabila kes-kes korban Covid-19 ini turut melibatkan kumpulan ibu bapa, yang merupakan tonggak utama dalam sesebuah keluarga. Ini menyebabkan ramai kanak-kanak menjadi yatim dalam sekelip mata akibat ancaman wabak yang membawa maut ini.

Statistik pelajar yang telah menjadi yatim atau yatim piatu semakin meningkat sejak penularan wabak ini berlaku. Sebanyak 4696 orang murid sekolah dilaporkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia telah kehilangan ibu bapa atau salah seorang darinya, atau penjaga sehingga akhir September 2021. Statistik ini menunjukkan satu angka kehilangan yang besar dalam tempoh pandemik melanda. Staistik pelajar menjadi yatim paling ramai dicatatkan di negeri Selangor sebanyak 1669 orang, diikuti negeri Johor sebanyak 578 orang dan seterusnya di Kuala Lumpur sebanyak 488 orang. (2)

Susulan daripada laporan perkembangan ini, timbul dibenak kebanyakan pihak apakah nasib mereka selepas ini? Bagaimana dengan persekolahan mereka? Tiadanya ibu bapa dan penjaga yang akan menguruskan kehidupan mereka, semestinya memberikan impak besar ke atas kehidupan kanak-kanak kerana ibu bapa dan penjaga merupakan tempat bergantung utama golongan kanak-kanak. Justeru, pada siapa mereka akan bergantung harapan untuk menghadapi hari-hari mendatang? Mungkin inilah persoalan yang terlintas dalam fikiran kita sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan cakna dengan kisah mereka ini. Namun persoalan utamanya apakah yang boleh dan wajar kita lakukan dalam kapisiti sebagai anggota masyarakat?

Umum mengetahui menjadi tanggungjawab waris keluarga terdekat untuk mengambil peranan dalam menguruskan kehidupan anak-anak yatim ini. Keluarga terdekat seperti datuk-nenek, bapa dan ibu saudara antara keluarga yang layak mengambil tanggungjawab untuk menjaga anak-anak yatim ini. Namun dalam era pandemik ini, telah timbul pula krisis ekonomi yang turut mempengaruhi perekonomian kebanyakan keluarga. Hal ini sedikit sebanyak menjadi cabaran besar yang memberi kesan kepada kebanyakan isi rumah semasa tempoh pandemik. Hal ini sejajar dengan kenyataan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyatakan bahawa kesan pandemik adalah gangguan terhadap ekonomi  dan ini menyebabkan pendapatan isi rumah golongan M40 juga telah beralih sekelip mata kepada B40.(3) Relatifnya, masalah beban ekonomi  atau tanggungan ekonomi keluarga yang sedang dialami oleh kebanyakan rakyat hari ini turut akan mempengaruhi kemampuan keluarga untuk menjaga anak-anak ini. Justeru masalah inilah yang perlu diambil berat oleh pihak pemerintah.

Ada cadangan supaya anak-anak yatim ini ditempatkan di rumah kebajikan sekiranya tiada ahli keluarga terdekat yang boleh membantu menguruskan kehidupan mereka. Langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terkait hal ini adalah dengan menyediakan 36 institusi kanak-kanak dan daripada jumlah tersebut 7 institusi dikhaskan kepada anak-anak yang kehilangan ibu bapa serta tiada waris. (4) Namun yang menjadi persoalannya di sini adalah adakah institusi-institusi ini mampu untuk menampung bilangan anak-anak yatim ini serta memberikan perkhidmatan perlindungan terbaik untuk mereka? Jika diperhatikan, rumah kebajikan yang menempatkan anak-anak yatim sedia ada pun masih memerlukan penambahbaikan dalam pelbagai aspek dan tidak mampu menampung bilangan yang semakin meningkat.

Hilang tempat bergantung dikala krisis melanda bukanlah situasi yang mudah bagi anak-anak ini. Kesihatan mental mereka juga akan terganggu apatah lagi bagi anak yang masih kecil yang perlu diurus sepenuhnya oleh orang dewasa, dan memerlukan kasih sayang serta perhatian ibu bapa untuk pertumbuhannya. Menghadapi hari-hari mendatang tanpa orang tersayang disisi sepanjang masa akan mempengaruhi corak kehidupan masa hadapan mereka. Membesar menjadi insan yang sihat mental dan fizikal serta berpendidikan sempurna adalah satu cabaran yang perlu dihadapi oleh anak-anak yatim ini. Lebih-lebih lagi tatkala isu keciciran pendidikan dan krisis kesihatan mental dikalangan kanak-kanak semakin membimbangkan mutakhir ini.

Justeru, selain tanggungjawab saudara mara dan masyarakat, tindakan perlindungan yang menyeluruh dan sewajarnya perlu diambil oleh pihak pemerintah bagi memastikan generasi yang lahir dan akan membangunkan peradaban dunia itu adalah terlahirnya dari generasi anak-anak yang cukup sokongan fizikal dan mentalnya, terpenuhi keperluan dalam kehidupannya dan terjamin pendidikannya tidak mengira status mereka, adakah yatim ataukah mempunyai ibu bapa. Dan semestinya tidak ada perlindungan serta penjagaan terbaik buat anak yatim, melainkan polisi pemeliharaan dan penjagaan yang dilaksanakan adalah berdasarkan tuntutan syarak.

Hal ini kerana syariat Islam telah menetapkan tuntutan khusus dalam hal ehwal anak yatim. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 220 yang bermaksud: “Mereka menanyakan kepadamu (Muhammad) tentang anak-anak yatim. Katakanlah, “Memperbaiki keadaan mereka adalah baik!” Dan jika kamu mempergauli mereka, maka mereka adalah saudara-saudaramu. Allah mengetahui orang yang berbuat kerosakan dan yang berbuat kebaikan. Dan jika Allah menghendaki, nescaya Dia datangkan kesulitan kepadamu. Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.”

Inilah asas pengurusan terhadap anak yatim yakni kewajipan berbuat ihsan kepada anak yatim bukan hanya oleh kerabatnya saja, bahkan menjadi kewajipan bagi setiap kaum muslimin. Inilah juga yang sepatutnya dijadikan parameter oleh kerajaan dalam merangka polisi dan mengatur urus hal ehwal anak yatim. Hanya dengan pemeliharaan berasaskan syariatlah, insyaAllah akan terubat segala kebimbangan masyarakat terhadap banyaknya anak yatim dan nasib mereka tatkala negara dilanda krisis hebat seperti sekarang.

Wallahua’lam.

Dr Ainul Amali

(Lajnah I’lamiyah MHTM)

 

Sumber berita:

1) https://www.astroawani.com/berita-malaysia/covid-19-data-dan-informasi-setakat-ini-dikemas-kini-setiap-hari-250959

2) https://www.hmetro.com.my/rencana/2021/09/757301/nasib-anak-yatim-covid-19

3) https://www.astroawani.com/berita-malaysia/anjakan-baharu-tangani-kos-sara-hidup-pastikan-kaedah-bantuan-lebih-efektif-324073

4) https://www.sinarharian.com.my/article/166204/BERITA/Nasional/Nasib-anak-yatim-akibat-Covid-19-dibela