Aneh – Ahli Politik Melarang Politik
KUALA LUMPUR 9 Nov. – Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin hari ini meminta bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin supaya tidak menyertai sebarang parti politik untuk menyebarkan dakwah. Anggota Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, beliau yakin bahawa Dr. Mohd. Asri tidak akan menghadapi halangan dalam menyebarkan dakwah keagamaan ekoran kedudukannya yang diterima ramai sama ada kerajaan mahupun pembangkang. “Saya berpendapat bahawa Dr. Asri ini sudah sampai ke peringkat melangkaui politik partisan. Kedudukan dia diterima oleh masyarakat dari semua peringkat.
Sumber: Utusan Malaysia 11/11/09
Ahli Politik Sendiri Larang Terlibat Dengan Politik?
Sesuatu yang aneh dan lucu apabila membaca cadangan Zulkifli Nordin di atas. Ibarat cakap tak serupa bikin. Beliau sendiri seorang ahli politik tetapi dalam masa yang sama melarang orang lain terlibat dengan politik. Bukankah ini cadangan yang pelik? Hakikatnya, kita sebagai Muslim, setiap dari kita sepatutnya menjadi ahli politik Islam dalam erti kata seorang yang melakukan dan memikul tugas untuk melaksanakan kewajiban amar makruf dan nahi mungkar. Politik dari sudut pandangan Islam adalah mengambil dan mengatur urusan umat Islam samada di dalam negara mahupun luar negara dengan aturan Islam. Ahli politik Islam itu juga adalah individu yang akan melaksanakan tugas memuhasabah pemerintah. Inilah sebenarnya tugas politik yang paling besar ganjarannya sehinggakan Nabi SAW menyamakan kedudukan orang yang melakukan tugas ini dan jika dia mati ketika melakukan tugas politik tersebut maka kedudukan orang itu sama seperti Saidina Hamzah yang syahid di medan Uhud. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
”Penghulu para syuhada adalah Hamzah ibn Abdul Muthallib dan seseorang yang berhadapan dengan penguasa yang zalim lalu dia menasihati penguasa tersebut, kemudian dia dibunuh (oleh penguasa tersebut).” [HR Hakim].
Politik (siyasah) disebutkan dalam kamus Al-Muhit bermakna As-Siyasah (politik) yang berasal dari kata: Sasa –Yasusu – Siyasatan bi ma’na ra’iyatan (pengurusan). Al-Jauhari berkata: Sustu ar-raiyata siyasatan artinya aku memerintah dan melarang atas sesuatu dengan sejumlah perintah dan larangan. As-siyasah maksudnya: al-qiyamu ‘ala syaiin bima yashluhuhu (siyasah/politik adalah melakukan sesuatu yang memberi mashlahat padanya) (Lisanul Arab, Ibn Mandzur). Dengan demikian, politik/siyasah bermakna mengurusi urusan berdasarkan suatu aturan tertentu yang tentu berupa perintah dan larangan. Rasulullah SAW menggunakan kata siyasah (politik) dalam sabdanya: Adalah Bani Israil, urusan mereka diatur (tasusuhum) oleh para nabi. Setiap seorang nabi wafat, digantikan oleh nabi yang lain. Sesungguhnya tidak ada nabi sesudahku, dan akan ada para khalifah yang ramai (HR. Bukhari). Di dalam kitab Fath al-Bariy, pada syarah hadits ini , dijelaskan makna siyasah (politik): “(Mereka diurus oleh para Nabi), maksudnya, tatkala tampak kerusakan di tengah-tengah mereka, Allah pasti mengutus kepada mereka seorang nabi yang menegakkan urusan mereka dan menghilangkan hukum-hukum Taurat yang mereka rubah. Di dalamnya juga terdapat isyarat, bahwa harus ada orang yang menjalankan urusan di tengah-tengah rakyat yang membawa rakyat melewati jalan kebaikan, dan membebaskan orang yang terzalimi dari pihak yang zalim”. Oleh kerana itu sewajibnya Zulkifli Nordin khususnya dan seluruh umat Islam amnya menjadikan politik dari kaca mata Islam sebagai aktiviti utama mereka seharian bukan sebaliknya terbenam dengan politik sekular yang berkonsepkan matlamat menghalakan segala cara seperti mana yang ada pada hari ini. Jika Zulkifli Nordin melarang Dr Asri menceburi politik sewajibnya beliau juga turut keluar dari dunia politik yang ada pada hari ini. Yang pastinya: Politik Islam Yes! Politik Sekular No! Lihat SN 150 – Politik Kufur -VS – Politik Islam.