Anggota HTM mula bela diri

SHAH ALAM 19 Okt – “Risalah yang saya dituduh edar itu tidak melanggar fatwa” – ini antara keterangan yang diberikan oleh Azmi Rahman Mat Zuini, semasa menjawab soalan peguam pada hari pertama dipanggil membela diri di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Risalah tersebut berkenaan dengan kerajaan teknorat dalam sistem demokrasi, yang tidak ada kaitan pun dengan fatwa ke atas Hizbut Tahrir, jelas beliau.

Dalam sesi soalan utama itu, beliau selanjutnya menjelaskan bahawa semasa ditangkap oleh pegawai penguatkuasa JAIS pada 14/04/2017, risalah yang dijadikan bahan kes tersebut tidak pun berada di tangannya.

Beliau juga tidak diberitahu sebab-sebab penangkapan pada waktu itu, tetapi terus dibawa ke pejabat JAIS dan terpaksa menunggu lebih sejam sebelum dilepaskan.

Beliau dipanggil untuk memberi keterangan di pejabat JAIS lebih kurang seminggu kemudian, dan setelah selesai memberi keterangan, beliau diberi notis untuk hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan.

Saya tidak berapa ingat soalan-soalan yang ditanyakan kerana kes sudah agak lama. Selepas diberi notis untuk hadir ke mahkamah, saya hadir pada hari yang dinyatakan, tetapi diberitahu oleh pihak mahkamah bahawa fail masih belum masuk dalam sistem, keluh beliau dalam nada kesal.

Oleh kerana mahkamah hari ini bersidang agak lewat kerana peguam mempunyai urusan lain, maka sesi soalan utama tadi tidak dapat diselesaikan, dan akan bersambung pada 11/01/2023.