Anwar Memang Bermasalah, Tapi Selesaikah Masalah dengan Turunnya Anwar?
Beberapa siri demonstrasi telah dirancang oleh pihak pembangkang sebelum menuju demonstrasi besar pada 26 Julai nanti bagi mendesak Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan. Melihat kepada luahan rakyat di media sosial, tidak mustahil demonstrasi 26 Jun nanti akan mencipta satu lagi sejarah di Malaysia, kerana memang rakyat sangat marah, kecewa dan sudah meluat dengan “pembohongan” Anwar selama ini, yang nampaknya sudah “tidak ada maaf bagimu”.
Janji-janji manis reformasi yang tidak kunjung tiba, kes rasuah yang dilindungi, kos sara hidup yang semakin meningkat, amalan kronisme dan nepotisme, dan yang terbaru isu kenaikan cukai – semua ini telah menaikkan api kemarahan rakyat ke tahap yang maksimum.
Sakit hati rakyat memang sudah tidak terbendung, dan semua ini memang wajar melihat kepada sikap Anwar yang terlalu banyak meludah ke langit dan terkena ke muka sendiri. Dari orang kampung, orang bandar, pelajar universiti sampailah kepada orang-orang politik yang dahulunya membela Anwar, sekarang sudah berpaling arah setelah mereka mengenali sikap sebenar sosok yang mereka bela dan agung-agungkan suatu waktu dahulu.
Fenomena mendesak Perdana Menteri untuk meletak jawatan bukanlah perkara baru di Malaysia. Ia mula ketara sejak zaman Dr. Mahathir lagi, khususnya di akhir-akhir tempoh pemerintahan beliau. Selepas itu, setiap Perdana Menteri daripada Abdullah Badawi, Najib Razak, Mahathir (kali kedua), Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri semuanya tidak terkecuali daripada desakan untuk meletak jawatan.
Di sebalik desakan rakyat agar Perdana Menteri meletak jawatan, persoalan penting untuk rakyat ialah, adakah masalah negara ini, dan masalah rakyat akan selesai, atau setidaknya semakin berkurangan setelah bertukarnya Perdana Menteri? Sungguh malang apabila rakyat seolah-olah tidak pernah belajar dari sejarah bahawa pertukaran wajah Perdana Menteri hakikatnya tidak pernah merubah keadaan dan nasib rakyat, malah apa yang terbukti ialah sebaliknya iaitu keadaan dan nasib rakyat sering menjadi semakin buruk.
Kita tidak menafikan yang Anwar Ibrahim sangat bermasalah dari banyak sudut, khususnya dari sudut janji-janjinya yang tidak ditepati dan cakap tak serupa bikinnya yang kini dijadikan satira dan memenuhi media sosial. Namun persoalannya, apakah Perdana Menteri-Menteri sebelumnya tidak bermasalah, dan tidak dijadikan satira?
Jika rakyat menoleh sedikit ke belakang, rakyat tentunya masih ingat peristiwa setelah UMNO berjaya ditumbangkan, dan naiknya parti baru sebagai pemerintah, yang telah membuka lembaran baru sejarah di Malaysia. Orang yang naik menjadi Perdana Menteri ialah orang lama yang pernah didesak untuk meletak jawatan, malah dicop sebagai Maha Firaun di zamannya. Orang tersebut yang diberi peluang kedua dan sangat diharapkan dapat memperbaiki negara dan nasib rakyat, apatah lagi dengan muka-muka baru yang banyak mengisi pemerintahan negara, namun ternyata masalah negara tidak selesai dan nasib rakyat tidak berubah, sehingga beliau sekali lagi telah ditumbangkan akibat tekanan dari dalam sendiri.
Kini, giliran Perdana Menteri ke-10 pula didesak habis-habisan untuk meletak jawatan. Ya benar kita memang marah, dan kita memahami kemarahan rakyat yang membuak-buak terhadap siapa pun yang merupakan “kaki kelentong” atau “kaki kencing”, namun berbalik kepada soalan mendasar, adakah masalah akan selesai dengan menukar watak utama, sedangkan pentas dan skripnya masih sama? Jika jawapannya ya, maka ada logiknya untuk watak utama ditukar. Namun benarkah begitu?
Rakyat seharusnya sedar dan berfikir sudah berapa kali watak utama bertukar, apakah nasib mereka telah berubah? Apakah keadaan mereka, dan keadaan negara menjadi lebih baik daripada sebelumnya? Apakah rakyat dapat apa yang mereka inginkan selama ini? Dan persoalan yang jauh lebih penting, apakah setelah bertukar watak utama, hukum Allah (swt) ditegakkan, sebuah hukum yang sememangnya akan menjamin kesejahteraan rakyat dan negara?
Inilah hakikat yang seharusnya disedari oleh rakyat – masalah sebenar bukanlah terletak pada individu pemimpin semata-mata, tetapi pada sistem yang rosak yang terus dipertahankannya. Sistem apa lagi jika bukan sistem demokrasi warisan penjajah? Sistem demokrasi yang menjadi kerangka pemerintahan hari ini adalah sistem kufur buatan manusia yang memisahkan agama daripada kehidupan, dan memberi ruang kepada mereka yang berkuasa untuk melakukan apa sahaja termasuk menipu dan menindas rakyat.
Mereka boleh menipu rakyat dengan pelbagai manifesto yang manis semasa pilihan raya, dan apabila mereka berkuasa dan gagal melaksanakannya, lalu mereka menyatakan bahawa manifesto bukanlah kitab suci. Mereka boleh menindas rakyat dengan pelbagai cukai dan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, lalu mereka menyatakannya bahawa ia adalah untuk pembangunan negara dan kebaikan rakyat. Mereka boleh menipu rakyat kononnya mereka akan membanteras rasuah habis-habisan, lalu apabila mereka berkuasa, mereka menyelamatkan dan mempertahankan kaki rasuah. Setelah melakukan semua ini, mereka mendakwa bahawa pemerintahan mereka ialah pemerintahan demokrasi – sebuah pemerintahan yang datangnya dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat.
Di sinilah rakyat perlu sedar bahawa selagi pentas dan skripnya tidak berubah, tetapi yang berubah hanyalah para pelakonnya, maka rakyat akan terus dipersembahkan dengan persembahan yang sama – sebuah persembahan yang rakyat seharusnya sudah tahu apa skripnya dan bagaimana kesudahannya.
Oleh itu, desakan menurunkan Anwar semata-mata tanpa menggantikan sistem warisan kafir penjajah yang dipertahankan oleh Anwar, hanya akan membuka pintu kepada munculnya seorang lagi ‘Anwar’ yang baru – yang mungkin lebih retorik, lebih oportunis, atau lebih zalim lagi. Selagi sistem demokrasi ini kekal, wajah pemimpin boleh bersilih ganti berapa kali sekali pun, tetapi apa yang pasti ialah kezaliman dan pengkhianatan akan tetap berulang. Inilah skripnya.
Justeru, apa yang diperlukan oleh rakyat, khususnya umat Islam, bukanlah pergantian wajah pemimpin semata-mata, tetapi pergantian sebuah sistem – dari sistem kufur demokrasi kepada sistem Islam. Umat Islam memerlukan sebuah perubahan sistem yang menyeluruh, bukan sekadar pembaikan atau tambal sulam di sini dan di sana pada sistem yang sama oleh orang yang berbeza.
Selagi sistem ini tidak berubah, selagi itulah masa, wang dan tenaga umat Islam dihabiskan ke arah yang tidak mendatangkan manfaat buat mereka, sebaliknya mendatangkan manfaat kepada orang-orang tertentu yang sedang mengintai untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh Anwar. Lalu kitaran penderitaan, pengkhianatan dan kezaliman akan terus berputar mengelilingi umat Islam.
Wallahu a’lam.