Apa Di Sebalik Rungutan Penduduk Sarawak Terhadap Isu Perjanjian Malaysia 1963?

Isu berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selalu hangat di perkatakan, khususnya apabila tiba bulan September setiap tahun. Ini kerana, 16 September merupakan hari ulang tahun penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura yang membentuk Persekutuan Malaysia. Ia semakin hangat diperkatakan apabila terkait dengan pilihanraya negeri di kedua-dua negeri iaitu Sabah dan Sarawak dan selalu menjadi modal untuk berkempen dalam rangka memenangi hati pengundi. Isu ini turut dimainkan oleh segelintir pihak dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

Sejarah Sarawak bukan hanya bermula apabila terbentuknya Persekutuan Malaysia, mahupun apabila Sarawak “merdeka” daripada British pada 22 Julai 1963, namun ia jauh lagi ke belakang daripada itu iaitu semenjak ia menjadi sebahagian daripada Kesultanan Brunei pada kurun ke-17. Pada waktu itu, negeri ini dikenali dengan nama Sarawak Darul Hana ketika di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei iaitu Sultan Ibrahim Ali Omar Shah yang lebih dikenali sebagai Sultan Tengah (1627-1657).

Sarawak (yang pada asalnya hanyalah kawasan sekitar bahagian Kuching pada hari ini) diserahkan kepada keluarga Brooke yang didukung oleh kerajaan British setelah mereka berjaya menumpaskan pemberontakan tempatan angkara perebutan kuasa. Oleh itu, sekiranya terdapat sesetengah individu mahupun kelompok yang melihat sejarah Sarawak hanya terbatas semenjak bermulanya kerajaan Rajah Putih Sarawak (Raja Brooke) ataupun setelah Sarawak “merdeka” pada 22 Julai 1963, ia merupakan suatu fakta yang tidak tepat.

Namun begitu, penulisan ini bukannya hendak menelusuri sejarah pembentukan negeri (atau sesetengah masyarakat tempatan cuba membiasakan menyebutnya sebagai negara) Sarawak, tetapi ingin melihat sudut kenapa timbulnya suara-suara yang ingin “melihat kembali semangat Perjanjian Malaysia 1963” yang dikatakan telah lama terhakis.

Berdasarkan penelitian dan pemerhatian, antara sebab kenapa isu  ini timbul adalah kerana:

Pertama: Ketidakseimbangan pembangunan antara Sarawak dan Semenanjung

Ini bukanlah suatu tuduhan yang tidak berasas. Namun inilah hakikat yang perlu diterima oleh semua pihak. Pembangunan kemudahan awam seperti jalan raya, sekolah, hospital, bekalan air dan elektrik di Sabah dan Sarawak secara umumnya begitu jauh tertinggal berbanding apa yang telah lama dinikmati penduduk di Semenanjung. Ramai penduduk tempatan merasakan yang pemimpin dari Semenanjung telah mengaut hasil bumi yang ada di sini dan dibawa ke sana untuk membangunkan kemudahan awam penduduk di sana sehingga mengetepikan hak pembangunan yang sama untuk penduduk Sarawak.

Malah, masih banyak kawasan yang tidak menerima air terawat dan masih banyak kawasan yang tidak dibekalkan dengan elektrik selama 24 jam sehari. Itu belum diceritakan berkaitan kemudahan-kemudahan lain seperti sekolah dan khidmat kesihatan seperti klinik dan hospital. Namun dalam masa yang sama, pemimpin-pemimpin Sarawak tetap rakus mengumpul harta untuk diri, keluarga dan kroni tidak kiralah ia diletakkan di dalam negara mahupun di luar negara.

Kedua: Kekuasaan Politik

Sebahagian penduduk Sarawak merasakan pemimpin-pemimpin mereka sekadar menjadi pak turut kepada pemimpin-pemimpin di peringkat persekutuan (baca: Putrajaya) dan tidak mampu untuk memperjuangkan hak-hak rakyat Sarawak seperti yang dijelaskan pada poin yang pertama tadi. Keadaan ini menyebabkan timbulnya sentimen seperti “Sarawak Untuk Sarawak”, mahupun ada yang lebih ke depan dengan melaungkan pemisahan Sarawak daripada Malaysia agar pemimpin Sarawak memiliki kuasa penuh ke atas negeri yang sangat kaya ini.

Selain itu, sentimen rakyat yang membentuk “majoriti” dikuasai oleh golongan “minoriti” juga wujud dalam kalangan penduduk Sarawak. Golongan non-Muslim merasakan mereka ditindas dan dianaktirikan oleh kaum minoriti Melayu (yang rata-ratanya adalah Muslim) kerana mereka memiliki kuasa politik yang lebih dominan sejak dahulu.

Walhal, pada hakikatnya sekiranya Sarawak dipimpin oleh kaum majoriti seperti Iban dan Cina, ia belum tentu menjamin mereka tidak akan melakukan salah guna kuasa, rasuah serta mengayakan kaum kerabat dan kroni masing-masing. Langsung tidak mustahil akan berlaku jauh lebih teruk daripada apa yang berlaku di depan mata sekarang ini.

Jika dicermati, isu ini timbul adalah berdasarkan emosi semata, walhal hakikatnya sumber hasil daripada bumi Sarawak selama ini telah banyak dikaut oleh pemimpin-pemimpin negeri serta kroni-kroni mereka. Ke mana perginya hasil balak yang berjumlah RM5 bilion setahun itu? Hutan banyak ditebang hingga menjadi punca kepada banjir di sesetengah kawasan. Contohnya seperti yang terjadi di kawasan pedalaman Kapit yang dinaiki air tidak lama dahulu kerana kawasan hulu yang dahulunya menjadi kawasan tadahan air telah digondolkan.

Sarawak juga merupakan pengeluar arang batu dan gas asli terbesar di Malaysia. Belum lagi mengambil kira hasil-hasil lain seperti keindahan muka bumi, gunung-ganang, air terjun, gua dan lain -lain yang boleh menjana pendapatan untuk dinikmati bersama oleh penduduk.

Akar permasalahan bukanlah kerana ‘kuasa politik’ itu tidak berada di tangan orang tempatan, tetapi kerana tidak amanahnya pemimpin yang ada dalam menyantuni dan menyebarkan kemakmuran kepada rakyat. Malah, sistem yang dilaksanakan pula memang memberi peluang kepada mereka untuk terus berkuasa dan meneruskan aktiviti-aktiviti pecah amanah mereka.

Kebanyakan pemimpin negeri yang ada hari ini lahir di atas dulang emas dan memang turun temurun daripada golongan bangsawan yang sudah biasa hidup senang dengan mengaut kekayaan rakyat. Hatta, sekiranya berlakunya pemisahan Sarawak dari Malaysia, tidak mustahil keadaan akan jauh lebih buruk kerana mereka akan lebih mudah untuk bertindak sesuka hati mereka.

Itulah permasalahan utama, iaitu rosaknya pemimpin dan keberadaan sistem politik yang membenarkan mereka ini terus merajalela meragut hak rakyat. Tidak kiralah sama ada Sarawak dipimpin oleh kerajaan yang ada sekarang, mahupun dipimpin oleh pihak pembangkang, selagi permasalahan besar ini tidak ditangani, selagi itulah permasalahan ini akan terus menerus terjadi dan segala ketidakpuasan itu pastinya akan terus berlarutan.

Ir. Yusuf Muhammad