Apa pilihan umat Islam selepas PAU 2015
UMNO yang merupakan parti pemerintah di Malaysia telah pun melabuhkan perhimpunan agungnya Sabtu lepas. Kalau sebelum ini, agenda perjuangan Melayu dijulang habis-habisan, tetapi tumpuan perhimpunan kali ini lebih kepada memulihkan masalah dalaman UMNO yang kronik, khususnya perbalahan antara Presiden dan Timbalan Presiden parti.
Sebagai perhimpunan terbesar sebuah parti yang memerintah Malaysia, umat Islam sedikit sebanyak seharusnya peka dengan apa yang diperkatakan di dalam perhimpunan agung UMNO (PAU). Setidaknya kita perlu melihat apakah agenda Islam yang dibawa oleh UMNO dalam perhimpunan kali ini, jika ada.
Ternyata, perhimpunan selama empat hari itu tidak ada bezanya dengan perhimpunan agung UMNO selama ini yang tidak pernah mengangkat Islam sebagai agenda utama, malah Islam hanya menjadi agenda sisipan yang hanya diangkat oleh perwakilan yang prihatin, itu pun sekadar hal-hal yang sangat juz’i. Terlalu nyata bahawa Islam bukanlah agenda utama parti assabiyyah Melayu itu sejak dulu hingga kini.
Apa pun, perkara penting yang mesti menjadi perhatian umat Islam di Malaysia ialah, apakah yang boleh diharapkan daripada PAU kali ini? Ke manakah UMNO akan bawa rakyat Malaysia selepas ini? Ke manakah hala tuju umat Islam selepas melihat dan mendengar apa yang diperkatakan oleh parti pemerintah dalam perhimpunan terbesar mereka itu?
Umat Islam secara umumnya telah lama sedar bahawa Islam bukanlah menjadi agenda perjuangan UMNO walaupun UMNO kerapkali mendakwa demikian tanpa rasa malu dengan pembohongannya itu. Jadi, persoalannya sekarang ialah, apakah umat Islam masih terus ingin bergantung harap pada sebuah parti sekular yang sudah semakin reput dengan pelbagai penyakit dalaman ini, untuk terus memerintah Malaysia?
Oleh yang demikian, selepas menyaksikan PAU kali ini, ada baiknya untuk umat Islam mula berfikir pilihan-pilihan yang ada kepada mereka dalam usaha memastikan sistem pemerintahan Malaysia ini menjadi lebih baik dan dirahmati oleh Allah SWT:-
Pertama; Terus menyokong UMNO yang semakin rebah ini dan kekal berada dalam pemerintahan sistem demokrasi sekular yang menerapkan hukum buatan manusia, bukannya hukum Allah dan terus kekal berada dalam pelbagai masalah dan penderitaan hasil buah tangan UMNO.
Kedua; Mengharapkan parti-parti pembangkang yang majoritinya Muslim, tetapi juga memperjuangkan sistem demokrasi sekular, yang juga sedang menghadapi masalah dalaman yang kronik di samping sudah hilang arah tuju perjuangan dan tidak pernah tetap pendiriannya.
Ketiga; Beralih arah ke parti yang majoritinya non-Muslim yang nampaknya semakin kuat, tetapi sudah jelas tidak mahukan Islam yang pastinya dilaknat oleh Allah SWT.
Keempat; Mendukung dan berjuang bersama parti yang ingin menerapkan Islam secara kaffah dengan menggantikan secara total sistem demokrasi yang penuh kekufuran dan kerosakan ini dengan sistem Khilafah yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya melalui penegakan Negara Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah.
Sesungguhnya pilihan ada di tangan umat Islam. Setiap individu diberi akal dan ilham oleh Allah SWT untuk memahami baik dan buruk, benar dan salah, atas setiap pilihan yang dilakukan. Pilihan yang benar sudah pasti akan membawa negara ini kepada kesejahteraan dan dirahmati Allah, walaupun ia memakan sedikit masa dan pengorbanan untuk merealisasikannya. Apa yang lebih penting, setiap Muslim itu mesti ingat bahawa selain dapat melihat kesannya di dunia dengan pilihan yang diambilnya, kesannya di akhirat adalah jauh lebih besar. Di sinilah pentingnya untuk setiap Muslim melakukan pilihan yang sesuai dengan syarak dan kepentingan ukhrawi, bukannya mengikut hawa nafsu dan kepentingan duniawi.