Apa yang perlu difahami di sebalik kemelut pelantikan KHN
Isu persaraan Tengku Maimun Tuan Mat selaku Ketua Hakim Negara (KHN) yang tidak disambung perkhidmatannya telah mencetuskan pelbagai reaksi, spekulasi, yang dalam masa yang sama, ada pihak yang cuba menangguk di air yang keruh.
Isu asalnya simple sahaja iaitu KHN telah mencapai umur persaraan wajib dan beliau perlu berundur untuk diganti oleh orang lain. Persaraan wajib ini merupakan peruntukan perlembagaan yang seharusnya dihormati oleh mereka yang selama ini menjunjung tinggi dokumen yang diberi oleh penjajah itu. Maka, secara perundangannya, tidak ada apa-apa isu yang seharusnya berbangkit dengan persaraan wajib ini. Malah, Tengku Maimun sendiri menyatakan yang beliau tidak kisah pun apabila perkhidmatannya tidak disambung kepada enam bulan lagi.
Namun, bagi sesetengah pihak yang lain, isu ini merupakan isu besar memandangkan KHN-KHN sebelum ini disambung perkhidmatan mereka, dan ada pihak yang membandingkan dengan jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, yang telah tiga kali disambung perkhidmatannya oleh Perdana Menteri. Jadi, kenapa tidak dengan Tengku Maimun, yang dikatakan telah berkhidmat dengan cemerlang dan lebih wajar disambung.
Isu ini bertambah panas apabila sembilan orang ahli parlimen PKR yang diketuai oleh Rafizi Ramli mengadakan sidang media dengan membongkar beberapa perkara dan menuntut ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat apa yang berlaku. Bagi pengamat politik, sidang media ini amat jelas mempunyai agenda dan kepentingan tersendiri oleh ahli-ahli PKR yang sudah “tidak sebulu” dengan Anwar.
Oleh itu, walaupun secara perundangan tidak ada apa yang salahnya dengan isu persaraan ini, namun secara politik, ia boleh dimanfaatkan untuk menjatuhkan orang yang ingin dijatuhkan. Jadi, kesempatan telah terbuka untuk mereka yang ingin menangguk di air keruh. Hal ini tidak ada bezanya dengan apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri sekarang, ketika menjadi pembangkang dahulu, di mana beliau memang terkenal “champion” menangguk di air yang keruh.
Sebagai Muslim, terdapat beberapa hakikat yang perlu difahami dari isu ini, agar pemikiran dan tindakan kita tidak terlari dari landasan yang benar:
- Badan kehakiman adalah pelaksana kepada undang-undang sedia ada
Badan kehakiman dalam negara ini hanyalah pelaksana kepada undang-undang sekular yang sedang diamalkan sekarang. Undang-undang yang menjadi rujukan mahkamah-mahkamah sivil di Malaysia bukanlah bersumberkan Al-Quran dan Al-Hadis, sebaliknya merupakan himpunan undang-undang yang datangnya daripada kafir penjajah yang diolah semula dan diluluskan oleh Parlimen.
Dalam sistem seperti ini, kesemua hakim, hatta KHN sekalipun, hanya berperanan melaksana dan mentafsir peruntukan undang-undang buatan manusia yang diwarisi sejak zaman penjajahan, serta melaksana dan mentafsir undang-undang yang diluluskan oleh ahli-ahli politik di Dewan Rakyat, apabila sesuatu kes dibawa ke hadapannya.
Dengan kata lain, siapa pun yang naik menjadi KHN, sebaik dan sehebat mana sekalipun orangnya, tugasnya hanyalah mempertahankan perlembagaan dan undang-undang yang diberikan oleh penjajah, serta menjadi pelaksana kepada undang-undang sekular yang sedia ada, tidak lebih dari itu.
- Campur tangan eksekutif terhadap badan kehakiman
Institusi kehakiman di negara ini juga tidak pernah benar-benar bebas daripada pengaruh eksekutif dan politik. Telah terbukti dalam banyak kes sebelum ini mengenai campur tangan pihak luar, khususnya eksekutif, terhadap badan perundangan. Konflik dalaman UMNO pimpinan Dr. Mahathir Mohamed pada tahun 1988 sehingga melahirkan UMNO (baru) yang berakhir dengan pemecatan Ketua Hakim Negara pada waktu itu, Tun Salleh Abbas, telah menggegarkan tanah air dengan konflik eksekutif-kehakiman. Begitu juga dengan kes pengaturan hakim dengan tersebarnya video klip V.K Lingam pada tahun 2007 juga turut menggoncang politik dan perundangan di Malaysia.
Jika dilihat sejak awal lagi urusan pelantikan hakim, termasuklah KHN, walaupun pelantikannya datang dari YDPA, tetapi YDPA hendaklah bertindak atas nasihat Perdana Menteri. Biar pun adanya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695) yang memberikan hak kepada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) untuk memilih orang berkelayakan yang sesuai yang wajar dilantik sebagai hakim mahkamah atasan, namun Suruhanjaya ini tetap perlu menghantar nama-nama untuk pertimbangan Perdana Menteri, bukannya menghantar secara langsung kepada YDPA.
Dengan kata lain, Perdana Menterilah orang yang berkuasa untuk mempertimbangkan, dan dialah yang mempunyai autoriti untuk menghantar nama-nama hakim kepada YDPA. Tidak disebut di dalam Akta berkenaan bahawa Perdana Menteri mesti terikat dengan nama-nama yang diberikan oleh Suruhanjaya, kerana peranan Suruhanjaya hanyalah sebagai pengesyor atau penasihat sahaja.
Di sini sudah termaktub dengan jelas campur tangan eksekutif terhadap kehakiman. Dengan kuasa yang ada padanya, maka sudah barang pasti seseorang Perdana Menteri akan dipengaruhi oleh pertimbangan politik, kesetiaan, atau ancaman terhadap kelangsungan kuasa pemerintahannya dalam memilih jawatan hakim-hakim mahkamah atasan, apatah lagi jawatan sepenting KHN.
- Ilusi prinsip Trias Politica dalam demokrasi di Malaysia
Ramai rakyat Malaysia yang yakin bahawa badan kehakiman senantiasa diselubungi oleh campur tangan politik (eksekutif) walaupun sukar atau tidak dapat dibuktikan. Ia seperti bau busuknya najis yang boleh dihidu oleh semua orang walaupun najisnya tidak kelihatan atau tidak ditemui. Hakim-hakim sendiri mengakui dari semasa ke semasa bahawa keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman sentiasa terhakis, yang atas dasar itulah para hakim yang ikhlas cuba untuk memulihkan kepercayaan rakyat terhadap mereka, dan terhadap institusi kehakiman.
Malangnya apa yang rakyat Malaysia masih belum yakin ialah pembohongan demokrasi, khususnya mengenai prinsip trias politica (pemisahan kuasa). Berdasarkan trias politica yang memisahkan kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman, ketiga-tiga badan ini, secara prinsipnya hendaklah bebas daripada campur tangan satu sama lain.
Di Malaysia, sebahagian besar anggota badan eksekutif datangnya dari legislatif, manakala pelantikan ke badan kehakiman pula dilakukan oleh eksekutif, dan sebagaimana telah disebutkan sebelum ini, badan kehakiman tidak pernah sunyi daripada campur tangan pihak eksekutif. Semua ini membuktikan bahawa konsep trias politica hanyalah sebuah ilusi, yang diguna untuk memperindah sistem demokrasi yang penuh kejelikan.
Kemelut pelantikan KHN yang sedang berlaku sekarang, dengan kegagalan Perdana Menteri menyerahkan senarai nama yang telah diberi oleh JAC kepada YDPA, membuktikan betapa prinsip ini hanyalah ilusi sejak awal. Pelantikan KHN oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri telah menjadikan proses ini bersifat politikal sejak awal.
Hakikat ini menunjukkan bahawa kuasa eksekutif tetap mempunyai pengaruh yang besar terhadap institusi kehakiman, sekali gus menafikan idealisme pemisahan kuasa yang sering dicanangkan oleh sistem demokrasi. Malah, ia memperkukuh lagi hakikat bahawa sistem sekular yang diterapkan hari ini membuka ruang luas kepada manipulasi dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak yang memegang kuasa melalui institusi yang kononnya dikatakan terpisah dan bebas antara satu sama lain.
- Kehakiman dalam Islam
Berbeza dengan demokrasi, Islam tidak pernah mengenal konsep trias politica. Kuasa tertinggi dalam Islam ada pada Khalifah, selaku wakil umat dalam pemerintahan untuk menerapkan hukum Allah (swt). Khalifahlah yang melantik semua orang di bawahnya termasuk ketua hakim (Qadhi Qudhat), dan Khalifah berhak untuk memberhentikannya, kecuali di saat Khalifah sedang dibicarakan oleh hakim.
Al-Qadha’ (Kehakiman) merupakan salah satu daripada 13 struktur pemerintahan negara Khilafah di mana Khalifah merupakan ketua kepada kesemua 13 struktur yang ada. Tidak ada pemisahan kuasa sebagaimana trias politica dalam demokrasi. Qadhi (hakim) hendaklah seorang yang faqih kerana dia bertugas untuk memutuskan hukum di antara manusia berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya. Jadi, dalam Islam, Al-Qadha’ bukanlah badan yang tersendiri yang terpisah daripada kuasa Khalifah, dan ia merupakan badan pelaksana kepada hukuman wahyu. Inilah perbezaan ketara antara kehakiman dalam Islam dan demokrasi.
Individu vs Sistem
Sebagai Muslim, kita tidak seharusnya larut dalam kemelut pelantikan KHN ini dari sudut kelewatan Perdana Menteri, calon yang layak, penubuhan RCI dan sebagainya. Ini kerana, jika Perdana Menteri bertindak pantas dan tidak memilih bulu sekali pun dalam melantik calon yang paling layak untuk mengisi kerusi nombor satu perundangan tersebut, KHN yang baru tidak akan ada bezanya dengan KHN yang lama dari sudut pelaksana kepada undang-undang sekular di negara ini.
Ini kerana, persoalan mendasar terletak pada sistemnya, bukan pada orangnya. Selagi sistem sekular yang memisahkan agama daripada kehidupan ini terus berkuat kuasa, maka selagi itulah KHN atau badan kehakiman tidak akan pernah bebas, tidak akan pernah keluar dari kepompong kebatilan, ketidakadilan, penyalahgunaan kuasa dan permainan politik. Apa yang mesti difahami oleh umat Islam ialah, bukannya penggantian individu yang akan merubah landskap politik atau perundangan negara, tetapi penggantian sistem – daripada sistem demokrasi-sekular kepada sistem Islam di bawah negara Khilafah yang akan menerapkan hukum Allah secara kaffah.
Maka, tiada beza signifikan siapa pun yang menjadi Ketua Hakim Negara atau siapa yang menjadi Perdana Menteri, kerana keseluruhan kerangka perundangan yang diguna pakai pada hari ini berpaksikan sekularisme. Sistem inilah (demokrasi-sekular) yang membentuk peranan institusi kehakiman itu sendiri di mana seorang individu yang hebat sekali pun, jika ia ingin membersihkan sistem ini, atau sebahagian daripada sistem ini, tidak lebih umpama membersihkan tong najis dari dalam tong itu sendiri. Akan bersihkah individu itu, dan akan bersihkah tong itu?
Penutup
Sesungguhnya kehebatan dan keadilan seseorang hakim bukan diukur dengan kebebasannya dari campur tangan politik, atau dari ketepatannya mentafsir undang-undang, atau dari pandangan jauhnya mengenai reformasi institusi, tetapi diukur dari sudut keterikatannya kepada Al-Quran dan As-Sunnah dalam memutuskan sesuatu kes. Jika ia memutuskan berdasarkan selain dari Al-Quran dan As-Sunnah, ini merupakan sebuah kejahilan dan kebatilan yang akan menjerumuskannya ke dalam dosa dan neraka. Manakala jika ia memutuskan berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah, inilah yang benar (haq), yang dipuji oleh Rasulullah (saw) dan ia berhak mendapat syurga-Nya. Sabda baginda (saw):
الْقُضَاةُ ثَلَاثَةٌ وَاحِدٌ فِي الْجَنَّةِ وَاثْنَانِ فِي النَّارِ فَأَمَّا الَّذي فِي الْجَنَّةِ فَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَقَضَى بِهِ وَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَجَارَ فِي الْحُكْمِ فَهُوَ فِي النَّارِ وَرَجُلٌ قَضَى لِلنَّاسِ عَلَى جَهْلٍ فَهُوَ فِي النَّارِ
“Hakim itu ada tiga (jenis), satu akan ke syurga dan dua akan ke neraka. Hakim yang ke syurga adalah hakim yang mengetahui akan haq (kebenaran) dan memutuskan dengannya. Manakala hakim yang mengetahui akan haq lalu ia menyimpang darinya ketika memutuskan perkara, maka ia ke neraka. Demikian juga dengan hakim yang memutuskan perkara atas dasar kejahilan, maka ia juga ke neraka” [HR Abu Daud].
Wallahu a’lam.