Apabila pemimpin sudah tidak boleh diharap

Mungkin ramai yang terlepas pandang mengenai usaha seorang pemandu teksi, Noorazlan Ismail, 49, yang berjalan kaki dari Johor Bahru ke Istana Negara, Kuala Lumpur, dalam usahanya menggesa kerajaan agar membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Secara kebetulannya” pada masa beliau tiba di Istana Negara pada 3 April lepas, Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Wan Saiful Wan Jan dan wakil tiga NGO turut berada di situ untuk menyerahkan memorandum kepada YDPA dalam isu yang sama. Walaupun sukar dipercayai, tetapi itulah kebetulannya.

Isu yang ingin dikupas di sini bukanlah peristiwa “kebetulan” tersebut, tetapi usaha seorang bapa daripada kaum marhaen yang sangat memerlukan duit, untuk menyampaikan sendiri mesejnya kepada YDPA agar merubah keputusan kerajaan yang tidak disukainya, setelah kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan pengeluaran khas KWSP.

Berjalan kaki sejauh 300 km selama 6 hari itu bukanlah suatu yang mudah sehingga ada yang menganggapnya sebagai kerja gila, tetapi itulah yang telah dilakukan oleh pemandu teksi tersebut demi membuka mata kerajaan.

“Ini cara saya dan usaha demi menuntut kerajaan khususnya perdana menteri melihat kesusahan rakyat seperti saya”, tegas Noorazlan. “Biar saya penat harungi perjalanan ini, ini perjuangan saya demi masa depan anak-anak,” katanya lagi.

Realiti di Malaysia sejak dulu hingga kini, apabila banyak pihak sudah tidak berpuas hati dengan kerajaan, dan setelah segala usaha untuk menuntut sesuatu daripada kerajaan tidak mendatangkan hasil, maka jalan terakhir ialah dengan “menuntut”nya daripada YDPA.

Justeru, apabila berlaku “tuntutan” rakyat secara langsung terhadap YDPA, hal ini menjadi bukti bahawa rakyat sudah putus asa dengan kerajaan, dan bukan itu sahaja, ia sekali gus menjadi bukti akan kezaliman kerajaan terhadap rakyat.

Walaupun tidak semua orang sanggup melakukan seperti apa yang dilakukan oleh Noorazlan, hakikatnya terdapat begitu ramai rakyat Malaysia yang sedang dihimpit kesusahan, yang memerlukan wang bukan sahaja untuk membayar hutang, bahkan untuk menafkahi diri sendiri, anak-anak serta isteri.

Walaupun kita yakin kerajaan tidak akan menukar keputusannya hanya dengan usaha seorang pemandu teksi yang sanggup berjalan kaki sejauh 300km, setidaknya kisah ini perlu membuka mata rakyat bahawa pemimpin yang ada sekarang tidak boleh diharap!

Rasulullah (saw) telah pun memperingatkan kita tentang kewujudan pemimpin seperti ini, yang memimpin dengan menyusahkan kehidupan rakyatnya. Bukan sekadar itu, Rasulullah (saw) telah berdoa kepada Allah (sw) agar memberatkan kehidupan pemimpin seperti ini;

اللَّهُمَّ مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِمْ فَاشْقُقْ عَلَيْهِ وَمَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَرَفَقَ بِهِمْ فَارْفُقْ بِهِ

“Ya Allah, siapa saja yang diberi tanggung jawab untuk mengurus urusan umatku dan dia telah menyusahkan mereka, maka susahkanlah dia. Siapa sahaja yang mengurus urusan umatku dengan mempermudahkan mereka, maka permudahkanlah dia” [HR Muslim].

Seorang pemimpin yang bertakwa akan selalu sedar bahawa Allah (swt) senantiasa melihat dirinya yang menyebabkannya takut untuk menimpakan apa jua kesusahan kepada rakyat, dan akan sentiasa mempermudahkan urusan rakyatnya.

Hal ini pernah dicontohkan oleh Khalifah Umar (ra) yang pada waktu itu memimpin wilayah Khilafah yang sudah agak luas meliputi Jazirah Arab, Farsi, Iraq, dan Syam (Syria, Jordan, Lebanon dan Palestin), serta termasuk Mesir. Umar begitu takut bukan sahaja untuk berlaku zalim ke atas manusia yang menjadi rakyatnya, malah termasuk haiwan, sehingga beliau pernah berkata,

“Andaikan ada seekor haiwan di Iraq terperosok di jalan, aku takut yang Allah akan meminta pertanggungjawaban atasku mengapa tidak mempersiapkan jalan yang baik (untuk haiwan tersebut).”

Kisah pengorbanan Noorzalan ini hanyalah secebis daripada kisah penderitaan rakyat di negara ini. Rakyat seharusnya membuka mata bahawa kezaliman yang menimpa mereka pada hari ini bukanlah disebabkan oleh pemimpin yang korup semata-mata, tetapi juga kerana sistem yang mereka terapkan!

Setiap pemimpin yang ada mendakwa bahawa merekalah jaguh demokrasi, merekalah orang yang paling memahami demokrasi, merekalah penerap dan penjaga demokrasi yang sebenar. Perdana Menteri yang ke-10 ini pun tidak terkecuali. Malah, beliau seorang yang sangat terkenal melaungkan “suara rakyat ialah suara keramat”.

Hakikatnya, apabila rakyat menuntut untuk dikembalikan sedikit duit KWSP yang jelas merupakan hak rakyat, pelbagai helah dan alasan diberikan.

Inilah pemimpin dan inilah sistem yang ada pada hari ini, yang kedua-duanya seharusnya ditolak oleh rakyat kerana penuh dengan hipokrasi dan penipuan. Rakyat, khususnya umat Islam wajib berjuang untuk menukar pemimpin dan sistem yang buruk ini.

Sesungguhnya umat Islam memerlukan pemimpin yang baik dan juga sistem yang baik, untuk menjadikan kehidupan mereka baik. Pemimpin yang baik untuk umat Islam ialah Khalifah manakala sistem yang baik pula ialah Khilafah, tidak ada lagi yang lain.

Wallahu a’lam.