Apakah Benar Di antara Agama Ada Titik Persamaan?
Ustaz Wan Ji Wan Hussin, Editor Syariah sebuah syarikat penerbitan buku ketika membentangkan kertas kerja ‘Penggunaan Kalimah Allah bagi Masyarakat Bukan Islam’ berkata, tidak ada nas yang jelas melarang masyarakat bukan Islam untuk menggunakan kalimah Allah. Disebabkan itu, umat Islam mesti menunjukkan keadilan Islam untuk semua manusia dengan memberikan hak-hak kepada mereka yang berhak menggunakan kalimah Allah. “Islam itu agama yang adil dan keadilan Islam itu untuk semua seperti mesti dalam semua perkara, termasuk dalam menggunakan nama Allah. “Isu kalimah ‘Allah’ lebih jelas kalau dilihat pada (konteks) orang Islam dilarang minum arak, tetapi pengharaman itu tidak boleh kita sehingga kita menafikan hak masyarakat Islam meminum arak,” ujarnya. Tegasnya lagi, apabila Allah tidak melarang masyarakat bukan Islam dari menggunakan nama ‘Allah’, bermakna terdapat hikmah yang berupa kebaikan yang besar berbanding kemudaratan yang kecil, seperti pandangan Imam al-Baidhowi dan Imam asy-Syatibi ketika membahaskan hukum-hakam Islam.
Sumber : Harakahdaily, 04/02/2010
Apakah Benar Di antara Agama Ada Titik Persamaan?
Dengan rasa tanpa bersalah Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat, Dr Muhd Nor Manuty menyeru umat Islam supaya menghayati konsep mencari titik persamaan dengan penganut-penganut agama yang lain dalam berdakwah. Apakah benar di antara Islam dengan kufar ada titik persamaan? Jika ya, di mana? Apakah dari sudut akidahnya ataupun dari sudut syariatnya? Bukankah Islam itu dari Allah SWT sedangkan agama lain yang ada hari ini lahir dari hawa nafsu manusia? Bukankah Islam datang untuk menghapuskan agama-agama lain termasuklah agama samawi yang terdahulu, Yahudi dan Nasrani? Bagi Islam, persoalan dalam menentukan dan menilai sesuatu agama itu adalah dari sudut akidah yang melahirkannya. Yang menyedihkan, ramai umat Islam pada hari ini, termasuklah para ilmuannya telah terpengaruh samada secara sedar mahupun tidak dengan konsep dan idea pluralisme. Mereka melihat seolah-olah wujud titik persamaan di antara Islam dengan agama lain. Hakikatnya, titik persamaan antara Islam dan agama lain tidak pernah wujud dan tidak akan pernah wujud. Cukup firman Allah SWT ini sebagai peringatan untuk kita bersama.
“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam”. [TMQ A_li-‘Imraan (3) : 19]. “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi”. [TMQ Ali-‘Imraan (3) : 85].
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. “Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. “Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. “Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”. [TMQ Al-Kafiruun (109) : 1-6].
Wahai umat Islam berhati-hatilah kalian dengan perangkap pluralisme. [SN205: AGAMA BARU ITU BERNAMA PLURALISME!]