Apakah Benar Kita Sudah Merdeka?
Kita perlu memahami maksud kemerdekaan yang hakiki. Erti kemerdekaan yang sebenarnya adalah apabila kita (sebagai umat Islam) mampu memerdekakan diri kita daripada dua aspek, iaitu luaran dan dalaman. Dalam erti kata yang lebih jelas, kita perlu merdeka dari sudut penjajahan yang berbentuk fizikal dan juga mental (pemikiran). Justeru, bagaimana mungkin kita mampu untuk melaungkan ‘Merdeka, Merdeka, Merdeka’ sedangkan pada hakikatnya kehidupan kita pada saat ini masih lagi diatur oleh sistem dan peraturan yang sepenuhnya dihadiahkan oleh Barat. Lihatlah sistem pemerintahan saat ini yang masih mengambil demokrasi sebagai asas pemerintahan. Umat Islam dengan tanpa rasa bersalah masih mengamalkan ajaran Trias Politika (prinsip pengasingan kuasa) dalam negara, yang mana ia adalah ‘sunnah’ yang dicipta daripada ajaran B. Mostequieu dan juga John Luke. Begitu juga dalam sistem ekonomi, para pemimpin yang berkuasa masih terus setia mengekalkan sistem ekonomi kapitalisme yang berasakan kepada riba. Dalam sistem sosial pula, negara memberikan kebebasan mutlak kepada rakyatnya untuk melakukan segala perkara-perkara yang jelas-jelas diharamkan oleh Islam selagimana ia tidak mengganggu orang lain. Pergaulan bebas antara lelaki dan wanita kini adalah lumrah dalam kehidupan masyarakat. Malah hubungan sesama jenis juga sudah tidak dilihat janggal. Masyarakat bebas untuk berpakaian mengikut menurut hawa nafsu masing-masing tanpa ukuran halal haram. Tidak terkecuali dalam aspek perundangan dan kehakiman, undang-undang ‘uqubat Islam (hudud, qisas, takzir dan mukhalafat) yang mana hukum-hakamnya masih terus dicampakkan ke dalam tong sampah. Sistem pendidikan dalam seluruh negeri-negeri umat Islam termasuklah Malaysia masih tetap menjadikan sekular sebagai asas acuannya. Apatah lagi jika kita melihat polisi luar negeri seluruh dunia Islam pada hari ini, dakwah dan jihad sememangnya tidak termaktub dalam visi dan misi negara.
Jika diteliti seluruh aspek-aspek yang disebutkan di atas, jelas lagi nyata dapat dilihat bahawa Malaysia dan negara-negara umat Islam yang lain adalah negara yang masih lagi dijajah terutamanya dari segi pemikiran dan sistem yang digunakan dalam mengatur negara. Oleh yang demikian, aspirasi kemerdekaan yang diuar-uarkan sepatutnya tidak diarahkan hanya kepada acara-acara simbolik yang bersifat peringatan tahunan semata-mata, tetapi ia juga mestilah menyentuh seluruh pada aspek isinya secara menyeluruh. Apabila disentuh tentang cinta kepada negara, ia bukan bermaksud berbangga dengan mengibarkan Jalur Gemilang pemberian penjajah dan pada masa yang sama terus diam membisu serta redha dengan cara hidup penjajah untuk subur berjalan dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara. Itu bukanlah cara yang benar untuk meluahkan rasa cinta kepada negara mengikut Islam. Justeru, berwaspadalah dengan sebarang slogan yang dilaungkan agar umat Islam tidak terus tertipu dengan apa yang disogokkan oleh para pemimpin sekular yang sedang berkuasa di saat ini.
Sumber : utusan.com.my