Apakah Kejayaan Sejati?

(Terjemahan)

Kejayaan didefinisikan sebagai “pencapaian sesuatu matlamat atau tujuan.” Matlamat atau tujuan ini boleh kelihatan sangat berbeza dari seorang individu kepada individu yang lain bergantung kepada nilai-nilai mereka.

Penyelidikan tentang istilah “kejayaan” dalam masyarakat Barat menunjukkan bahawa ia sering dikaitkan dengan pencapaian kewangan atau profesional. Contoh kejayaan seperti ini adalah mencapai kedudukan tinggi dalam sebuah syarikat, memperoleh wang yang cukup untuk membeli kereta mewah, beg tangan berjenama, pakaian mahal, dan pelbagai kemewahan lain.

Bentuk kejayaan lain yang sering dibincangkan dalam masyarakat Barat termasuk pencapaian kesetaraan gender, penegakan demokrasi, dan memperoleh “kebebasan” ala Barat.

Hidup dalam masyarakat ini telah menyebabkan ramai Muslim melihat kejayaan melalui lensa Barat. Apabila diminta untuk menggambarkan seorang wanita yang berjaya, ramai yang membayangkan seorang wanita berpakaian sut dengan skirt yang hanya sampai ke lutut, dengan rambut diikat ke belakang atau diluruskan. Ini berlaku walaupun Muslim sedar akan hukum syariah mengenai hijab dan pakaian bagi lelaki dan wanita. Adakah ini bermaksud Muslim tidak boleh mencapai kejayaan? Tidak.

Apabila membincangkan kejayaan, adalah penting untuk mengambil kira bahawa Barat menggunakan sistem berasaskan sekularisme, iaitu pemisahan antara agama dan kehidupan. Oleh itu, mereka tidak melihat agama sebagai bahagian penting dalam hidup mereka. Bagi mereka, adalah mustahil bagi seorang Muslimah untuk berjaya kerana hijabnya. Pengenalan idea ini dalam umat kita telah menyebabkan ramai Muslimah melakukan perkara yang haram dengan menanggalkan hijab mereka demi mencapai apa yang dianggap sebagai “kejayaan” oleh Barat.

Namun, adalah penting bagi saudari-saudari ini untuk ingat bahawa kejayaan yang mereka kejar itu hanya akan memberi mereka keuntungan dalam kehidupan dunia, tetapi tidak di akhirat. Rasulullah (saw) bersabda:

«مَا الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا مِثْلُ مَا يَجْعَلُ أَحَدُكُمْ إِصْبَعَهُ فِي الْيَمِّ فَلْيَنْظُرْ بِمَاذَا يَرْجِعُ»

“Demi Allah, apakah dunia ini dibandingkan dengan akhirat melainkan seperti seseorang yang mencelup jarinya ke dalam lautan, lalu lihatlah apa yang tinggal di jarinya?”

Kejayaan dalam Islam tidak bergantung kepada wang, kerana wang boleh hilang pada bila-bila masa dan tidak akan menyelamatkan seseorang daripada azab akhirat. Ia juga tidak bergantung kepada pencapaian profesional, yang boleh hilang sebaik sahaja seseorang yang lebih muda atau lebih berbakat ditemui. Ia juga tidak bergantung kepada kesetaraan gender, satu sistem yang cacat yang membuatkan wanita percaya bahawa mereka harus sentiasa berusaha lebih keras.

Bukan begitu, kerana dalam Islam, Allah (swt) menggambarkan kejayaan sebagai:

﴿قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ * الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ * وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ * وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ * وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ﴾

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kehormatannya,.” (TMQ Al-Mu’minun [23]: 1-5)

Allah (swt) juga berfirman:

﴿وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ * وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ﴾

“Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya;.” (TMQ Al-Mu’minun [23]: 8-9)

Namun, sebagai ganjaran atas kejayaan mereka, Allah (swt) tidak menawarkan beg tangan yang akan rosak dalam beberapa tahun, pakaian yang akan menjadi “lapuk” atau wang yang tidak akan membantu mereka di akhirat. Tidak demikian.

Sebaliknya, kejayaan dalam Islam diberi ganjaran dengan:

﴿أُوْلَئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ * الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ﴾

“Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi -Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya..” (TMQ Al-Mu’minun [23]: 10-11)

Inilah makna sebenar kejayaan. Ia tidak diukur berdasarkan berapa banyak wang yang anda hasilkan untuk sebuah syarikat kapitalis selepas melakukan perkara yang haram. Ia bukanlah tentang memperjuangkan kesetaraan gender dalam sistem yang melihat wanita sebagai boneka, dan bukan juga tentang meraikan “pemerkasaan wanita” dengan bekerja tanpa henti walaupun sedang hamil demi membolehkan syarikat terus mengaut keuntungan daripada mereka. Tidak.

Kejayaan adalah milik mereka yang mengikuti hukum Allah, yang berjuang untuk mendapatkan keredhaan-Nya. Mereka inilah yang akan memasuki syurga dan mencapai kejayaan sejati dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.

Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizb ut Tahrir oleh
Amatullah Hechmi