Apakah Para Ilmuan Islam “Malu-Malu” Untuk Menyatakan Kebenaran?
BANGI 19 Feb. – Undang-undang Islam tidak mengira jantina dalam mengenakan hukuman sebat mandatori terhadap tiga jenis kesalahan jenayah syariah di negara ini iaitu minum arak, zina dan qazaf (tuduhan berzina). Pensyarah di Kulliyyah Undang- Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datin Dr. Paizah Ismail berkata, hukuman sebat wajib dikenakan kepada pesalah jenayah tersebut tanpa mengira lelaki atau perempuan kerana ia tidak boleh digantikan dengan hukuman lain. Katanya, pesalah dalam kes-kes berkaitan juga boleh dikenakan hukuman penjara atau denda atau gabungannya tetapi sebatan tidak boleh diganti dengan hukuman lain. Menurut beliau, hanya yang berbeza ialah perempuan disebat dalam keadaan duduk dan berpakaian menutup aurat sementara lelaki dalam keadaan berdiri.
”Sebatan dilaksanakan ketika pesalah wanita duduk bagi mengelak aurat wanita terdedah, kerana mereka wajib menutup aurat sekalipun sudah meninggal dunia. ”Hukuman sebat adalah wajib dalam kes hudud seperti zina, qazaf (tuduhan berzina) dan minum arak dan tidak boleh ditukar kepada hukuman lain setelah pihak pendakwa berjaya mengemukakan bukti mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada siri Forum Hadhari di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini semalam. Beliau antara tiga ahli panel membahaskan Undang-undang Islam dan Hukuman Sebat Wanita pada forum anjuran Institut Islam Hadhari UKM dan Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) di sini hari ini. Katanya, walaupun hukuman yang dijatuhkan itu tidak mengikut undang-undang Islam sepenuhnya, namun ia perlu diterima seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bagi orang-orang Islam yang sabit kesalahan tersebut katanya, boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau disebat tidak melebihi enam kali atau mana-mana kombinasi hukuman. Menurutnya, hukuman sebat adalah lebih baik daripada menjalani hukuman penjara kerana selain tidak mengalami kecederaan, pesalah juga tidak menghadapi masalah dibuang kerja atau berpisah dengan keluarga. Ditanya apakah denda yang diperuntukkan itu memadai dengan kesalahan mengikut undang-undang Islam, Paizah berkata, dalam keadaan realiti sekarang ini, semua pihak perlu menerima seadanya. “Jika hendak yang lain daripada apa yang diperuntukkan, ia bertentangan pula dengan Perlembagaan, tetapi sekurang-kurangnya hukuman itu boleh menyedarkan dan mendidik mereka yang telah melanggar hukum Islam,” katanya.
Dalam pada itu, pensyarah di Fakulti Undang-Undang UKM, Dr. Jasri Jamal pula berkata, tiada peruntukan spesifik dalam enakmen, akta atau ordinan Tatacara Jenayah Syariah yang mengecualikan pesalah perempuan dan lelaki berusia lebih 50 tahun dikenakan sebatan. Menurutnya, peruntukan umum dalam undang-undang tatacara jenayah menyebut: “Peruntukan ini hendaklah terpakai apabila tertuduh dihukum sebat dan perkataan tertuduh itu tidak merujuk jantina dan umur,” katanya. Maka itu kata beliau, undang-undang itu terpakai kepada semua pesalah yang dijatuhkan hukuman sebat dalam Mahkamah Syariah. Beliau seterusnya memberitahu, kebanyakan daripada undang-undang berkaitan sebat syariah yang dilaksanakan di Wilayah Persekutuan dan Kelantan menyamai dengan yang digunapakai di Pakistan. Sementara itu Pensyarah di Kuliyyah Undang-undang UIAM, Prof. Madya Dr. Nasimah Hussin mencadangkan agar akta yang ada sekarang dipinda supaya hukuman ke atas pesalah boleh ditingkatkan. Menurutnya, akta yang dipinda pada 1984 tidak boleh menjatuhkan hukuman maksimum seperti menjatuhkan hukuman sebat 40 rotan ke atas kesalahan minum arak seperti dalam undang-undang Islam sebenar.
Sumber : Utusan Malaysia, 20/02/2010
Apakah Para Ilmuan Islam “Malu-Malu” Untuk Menyatakan Kebenaran?
Firman Allah SWT: “Hanya semata-mata yang takut kepada Allah daripada kalangan hamba-Nya ialah ulama.” [TMQ Al-Fathir (35) : 28].
Jelas dari ayat di atas para ulama dinilai kerana sikapnya dan bukannya kerana ilmunya semata-mata. Oleh itu, jika kita memahami apa yang diperkatakan oleh para ilmuan yang berbicara di dalam majlis forum anjuran Institut Islam Hadhari UKM dan Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM), kita akan dapat melihat bahawa ada kelompongan yang perlu diisi oleh para ilmuan yang ada pada hari ini. Nampaknya para ilmuan Islam yang berbicara di majlis tersebut lebih mengkompromikan hukum Islam dengan undang-undang sekular. Para ilmuan Islam ini sewajarnya memahami kedudukan ulama sebagai golongan pewaris kepada nabi. Rasulullah SAW bersabda,
”Ulama’ itu pewaris kepada para nabi” [HR Ibnu Nadjar dari Anas r.a. Hassan].
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:
“Perumpamaan para ulama di muka bumi adalah seperti bintang-bintang di langit yang memberi petunjuk kepada musafir dan pelayar di waktu malam, apabila terlindungnya bintang tersebut mereka akan terpinga-pinga kehilangan petunjuk.” [Hadith iwayat Imam Ahmad].
Oleh kerana itu bagaimana mungkin seorang ilmuan Islam boleh mengatakan “…jika hendak yang lain daripada apa yang diperuntukkan, ia bertentangan pula dengan Perlembagaan, tetapi sekurang-kurangnya hukuman itu boleh menyedarkan dan mendidik mereka yang telah melanggar hukum Islam,” … “…mencadangkan agar akta yang ada sekarang dipinda supaya hukuman ke atas pesalah boleh ditingkatkan. Menurutnya, akta yang dipinda pada 1984 tidak boleh menjatuhkan hukuman maksimum seperti menjatuhkan hukuman sebat 40 rotan ke atas kesalahan minum arak seperti dalam undang-undang Islam sebenar”??
Bukankah kenyataan-kenyataan ini memberi makna kita mencampuradukkan yang hak dengan yang batil. Apakah para ilmuan Islam kita hari ini diselubungi dengan ketakutan untuk menyatakan perkara yang hak?
“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya”. [TMQ Al Baqarah (2) : 42].
Bukankah perlembagaan kufur yang diguna pakai oleh negara kini adalah merupakan penghalang terbesar untuk Islam diterapkan secara sempurna dan menyeluruh dalam kehidupan hari ini?
Wahai para ilmuan Islam! Wahai para ilmuan Islam! Wahai para ilmuan Islam! Kamu sendiri mengakui dan mengetahui bahawa undang-undang syariah yang ada pada hari ini adalah undang-undang yang tidak syari’ sebenarnya, lantas apa lagi yang kamu tunggu? Ilmu Islam yang ada pada kamu itu bukanlah hanya sekadar untuk memenuhi wacana keintelektualan semata-mata tetapi lebih jauh dari itu, ilmu yang ada pada kamu itu perlu diperjuangkan supaya ia benar-benar dibumikan dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara. Janganlah kerana habuan dunia yang sedikit, mata, telinga, mulut dan hati-hati kamu tertutup dari menyatakan kebenaran. Lihatlah betapa beraninya SIS dan yang seangkatan dengannya membenci segala bentuk “bau” yang berkaitan dengan syariah. Bagaimana pula dengan kamu wahai para ilmuan Islam? Kamu wajib berani menyatakan perkara yang hak walaupun ianya pahit!! Sabda Rasulullah SAW:
“Berkata benarlah walaupun ianya pahit”.