Artis Dijulang, Guru & Doktor Dicemuh!
Di sudut yang lain, doktor yang bergadai nyawa siang dan malam menyelamatkan nyawa ribuan manusia jarang diberi penghormatan sebesar itu, malah sering dipersalahkan atas kelemahan dan kecuaian yang berlaku. Mungkin tidak ramai yang prihatin apabila para doktor dan jururawat sentiasa berada di barisan hadapan setiap kali negara dilanda wabak penyakit yang merungsingkan semua. Lihat sahaja ketika ini, di saat seluruh dunia bimbang akan penyebaran virus influenza A (H1N1), para doktor berkorban nyawa, menanggung risiko kemungkinan dijangkiti wabak itu, apabila mereka dipertanggungjawabkan dengan tugas memeriksa setiap pelawat yang tiba di pintu masuk utama negara. Mereka dikerah bertugas siang dan malam semata-mata bagi mengawal penyebaran wabak ini kepada rakyat Malaysia. Perkara serupa juga berlaku ketika negara diserang virus JE dan virus Nipah. Para doktor dan jururawat jugalah yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia, sehingga ada di kalangan mereka yang turut dijangkiti virus itu. Selayaknya para doktor dan jururawat diberi penghormatan yang sebesar-besarnya atas jasa bakti menyelamatkan seluruh warga negara Malaysia tanpa mengira kaum dan ikutan agama daripada dijangkiti penyakit berbahaya ini.
Sumber : Sebahagian petikan tulisan rencana daripada Utusan Malaysia, 06/05/09
Artis Dijulang, Guru & Doktor Dicemuh!
Penulis patut dihargai kerana cuba mencetuskan kesedaran umum tentang pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh para doktor, guru, anggota pasukan keselamatan dan polis yang seolah-olah tidak mendapat penghargaan yang sewajarnya berbanding sumbangan seorang artis yang mendapat penghargaan dan ganjaran yang adakalanya mencecah nilai jutaan ringgit. Namun, penulis tidak pula menjelaskan bagaimanakah bentuk penyelesaian sebenar yang harus dilakukan. Corak kehidupan yang memberi pengiktirafan kepada industri hiburan dan sukan seperti di atas adalah satu manifestasi atau terhasil daripada penerapan sistem kapitalis. Kehidupan yang dihasilkan akibat penerapan sistem tersebut menjadikan keseronokan dan kenikmatan dunia (budaya hedonistic) sebagai tujuan hidup sehingga sanjungan dan ganjaran yang diberikan kepada golongan artis dan ahli sukan adalah keterlaluan dan sebaliknya golongan yang sepatutnya mendapat sanjungan dan ganjaran telah dicemuh dan ditohmah.
Jika dibandingkan ganjaran dan peruntukkan kepada industri hiburan dan sukan serta pembangunannya dengan peruntukkan dan dana yang disalurkan kepada sektor Kajian dan Pembangunan (Research and Development atau R&D) seperti di dalam bidang Sains, Perubatan, Kejuruteraan dan lain-lain, jumlahnya adalah tidak berbaloi. Pada satu masa peruntukan dan sumbangan samada daripada pihak kerajaan, separuh kerajaan dan swasta kepada bidang hiburan dan sukan adalah terlalu banyak. Bayangkan jika kesemuanya atau setidak-tidaknya sebahagian besar sumbangan itu disalurkan kepada bidang R&D, sudah tentu ia akan menghasilkan impak yang besar di dalam innovasi dan pembangunan yang seterusnya dapat memberikan pulangan yang besar kepada masyarakat.
Di dalam Islam, pembinaan tamadunnya amat bergantung kepada sumbangan para ilmuan, doktor, saintis, tentera, polis, qadhi, mufti, pegawai kastam dan guru. Golongan selainnya seperti artis dan ahli sukan tidak bertanggungjawab di dalam perlaksanaan, penyebaran dakwah dan perlindungan mabda Islam di dalam Daulah Islam. Disebabkan itulah kita tidak pernah mendengar para sejarawan menukilkan nama-nama artis atau ahli sukan Islam pada Zaman Keemasan dan Ketinggian Tamadun Islam dahulu berbanding nama-nama pemimpin dan saintis Islam yang mahsyur seperti Khalifah Umar ibn Aziz, Ibn Sina, Ibn Khaldun dan lain-lain lagi. Kalau ada pun, siapalah mereka jika dibandingkan dengan para pemimpin dan saintis Islam pada masa itu.
Jadi, masyarakat seharusnya bertanyakan apakah sumbangan para artis dan ahli sukan terhadap pembangunan negara? Adakah sumbangan mereka kepada pembangunan dan kemajuan negara setanding dengan sumbangan guru, pensyarah, doktor, tentera, polis, mufti, qadhi, saintis sehingga mereka boleh dijadikan idola masyarakat yang patut disanjungi? Atau apakah ada nas atau dalil yang menyatakan kerjaya artis hiburan dan ahli sukan akan dibalas pahala sehingga boleh meraih syurga di hari akhirat nanti?
Sistem sekular yang sedang diterapkan pada hari ini telah menghasilkan budaya yang hanya menjadikan keseronokan dan kenikmatan sebagai tujuan hidup telah menjadikan masyarakat leka dengan melihat dunia hiburan dan sukan itu sebagai sesuatu yang bernilai padahal ianya tidak lebih hanya sekadar mengasyikkan dan tidak mempunyai nilai apapun di dalam Islam.
Rasulullah bersabda yang bermaksud :
“ Termasuk dalam kebaikan Islamnya seseorang adalah meninggalkan sesuatu yang tidak penting baginya.” [HR Tirmizi dan Ibn Majah]