Asean bakal wujud blok ekonomi mirip EU

Surin yakin Piagam akan diterima dalam tempoh setahun

JAKARTA: Setiausaha Agung Asean yang baru, Surin Pitsuwan yakin Piagam Asean yang akan mewujudkan blok ekonomi yang mirip kepada Kesatuan Eropah (EU) akan diterima sepenuhnya dalam tempoh setahun.

Masa depan Piagam Asean, yang ditandatangani pada Sidang Kemuncak di Singapura November lalu, diletakkan dalam keadaan keraguan apabila Kongres Filipina mengancam tidak akan menerimanya kecuali demokrasi dipulihkan di Myanmar, sebuah anggota Asean yang kini berada di bawah pentadbiran tentera.

Perdana Menteri Myanmar, Thein Sein akan mengadakan perbincangan dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dalam lawatannya ke Jakarta minggu depan.

Piagam itu memerlukan pengesahan semua 10 anggota sebelum sebuah blok ekonomi dan keselamatan merangkumi 560 juta penduduk boleh ditubuhkan.

‘Saya pasti ia akan mendapat penerimaan sepenuhnya daripada negara anggota,’ Surin memberitahu sidang akhbar selepas mengambil alih jawatan Setiausaha Agung dengan rasminya dalam satu majlis di Jakarta semalam.

‘Saya melihat penghujung tahun ini sebagai tempoh yang tidak terlalu jauh bagi mencapai matlamat kita.’ Piagam itu menuntut penubuhan sebuah badan hak asasi kemanusiaan peringkat serantau dan integrasi ekonomi tapi pengkritik menyatakan piagam itu tidak mencukupi untuk menghukum negara anggota seperti Myanmar, yang mengenakan tindakan ke atas golongan prodemokrasi September lalu dan masih meletakkan pemimpin pembangkang, Aung San Suu Kyi di bawah tahanan dalam rumah.

Surin, bekas Menteri Luar Thai yang juga dikenali sebagai pengkritik junta tentera berkata Asean berdiri teguh untuk membantu Myanmar dalam urusan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak asasi kemanusiaan.

‘Kita pastinya tidak akan masuk campur. Kita pasti juga tidak akan menekan tapi kita bersedia dan akan mencari jalan untuk membantu,’ katanya.

‘Harapan kita agar Myanmar dapat mengatasi masalah dalamannya seberapa cepat yang boleh.’ Dasar Asean tidak akan mencampuri hal ehwal dalaman negara anggota telah dibidas oleh sesetengah pihak.

Amerika Syarikat menyatakan hubungan dagangan bebas dengan Asean tidak mungkin dapat dilakukan sebab situasi politik, Kesatuan Eropah juga telah menggesa supaya isu Myanmar ini segera diatasi. Kedua-duanya mengenakan sekatan ke atas anggota junta dan mereka yang berkaitan di Myanmar.

Surin, rakyat Thai beragama Islam, 58, mempunyai kelulusan ijazah kedoktoran daripada Universiti Harvard, memuji Singapura kerana menjadi negara anggota Asean pertama yang menerima piagam berkenaan. –

Reuters

Sumber: Berita Harian 08/01/08

Ulasan:

Idea penyatuan negara-negara atas dasar kepentingan ekonomi adalah merupakan idea tulen dari ideologi Kapitalisme, iaitu mewujudkan pasaran barangan dan perkhidmatan tanpa batas sempadan wathaniyyah (patriotisme). Dengan adanya gabungan ini akan membuang segala sekatan ekonomi di antara satu sama lain, iaitu ke arah untuk melahirkan sistem ekonomi laissez-faire (ekonomi bebas). Tambahan pula penyatuan ini akan menjadi satu kekuatan kepada ASEAN dari segi ekonomi. Ideologi Kapitalisme terlalu menitik beratkan aspek ekonomi, jadi tidak hairanlah jika ideologi ini mengajak manusia untuk ‘bersatu’ di bawah kuasa ekonomi. Berita penyatuan begini disambut dengan pandangan yang positif sekali oleh golongan-golongan pemerintah dan rakyat yang sudah lama terjerat dengan ideologi ini. Tambahan yang mengesyorkannya pula adalah Surin, Muslim yang menjadi setiausaha ASEAN.

Sayang sekali apabila penyatuan di bawah Daulah Khilafah yang diserukan oleh Hizbut Tahrir di seluruh dunia di pandang ‘igauan’ oleh sesetengah pihak dan ada suara-suara sumbang yang memperlecehkan idea ini, sedangkan idea penyatuan umat Islam di bawah satu kepemimpinan tunggal (Daulah Khilafah) adalah fikrah dan kewajipan yang muncul dari Al-Quran dan Al-Hadis sendiri. Ianya bertolak dari pemikiran Islam dan ideologi Islam. Hizbut Tahrir menolak dari mengajak umat Islam bersatu secara partial (sebahagian) kemudian berpecah dalam aspek lain, bahkan Hizbut Tahrir mengajak umat Islam di seluruh dunia agar bersatu dalam aspek Pemerintahan, Politik, Ekonomi, Sosial (kemasyarakatan) dan segalanya, kerana umat Islam adalah umat yang satu. Hal ini merupakan tuntutan yang jelas dari wahyu, bukan rekaan atau perkara baru, dan inilah juga pandangan yang jelas dari para ulama, baik salaf mahupun khalaf.

Pastinya ada beberapa kebaikan (kemaslahatan yang terindera) yang dapat kita rasakan jika umat Islam seluruh dunia bersatu. Antaranya:-

Politik: Penyatuan ini akan menggabungkan komposisi umat Islam berjumlah 1.4 bilion di bawah satu payung pemerintahan yang akan menjadikannya satu super power dunia, iaitu mempunyai akumulasi dari modal insan dan sumber alam yang terbesar. Ia menjadi ibarat seberkas lidi, jika selama ini ianya adalah sebatang lidi sahaja.

Ekonomi: Sumber manusia dan alam yang banyak sekarang berada di tanah kaum Muslimin, misalnya petroleum, emas dan sebagainya. Di samping pasaran buruh dan pasaran barangan yang begitu besar di kalangan kaum Muslimin sendiri.

Strategi: Taburan demografi umat Islam adalah terlalu strategik, iaitu mereka menguasai hampir keseluruhan Selat Utama Dunia kecuali Selat Bering dan Terusan Panama. Ini menjadikan kedudukan mereka secara semula jadinya adalah kuat, jika berlaku penyatuan. Di mana jika ada mana-mana negara yang mengancam atau memerangi umat Islam mereka boleh menghalang kapal dagang negara tersebut dari melalui terusan-terusan utama dunia yang mereka kuasai ini.

Ketenteraan: Jika 1% sahaja dari umat Islam di seluruh dunia ini dikerahkan untuk menjadi tentera maka kita telah berjaya merekrut sebanyak 1.4 juta anggota tentera dan bilangan ini adalah amat besar sekali.

Inilah beberapa kebaikan yang dapat kita kecapi jika bersatu di bawah satu kepimpinan Daulah Khilafah, iaitu satu negara yang wajib ke atas umat Islam sedunia. Walaupun pihak rejim AS dan pemimpin sekular yang ada sekarang cuba menghalang berdirinya negara ini, namun negara ini tetap akan muncul kerana dua sebab:-

(1) Adanya gerakan Islam yang berterusan berusaha untuk mengembalikan semula Khilafah ini dan pendapat umum masyarakat di seluruh dunia telah mula terbentuk dan semakin bersetuju dengannya.

(2) Adanya Basariyyah (berita gembira) dari Rasulullah saw bahawa Daulah Khilafah akan berdiri untuk kali keduanya. Sabdanya,

“…Kemudian akan muncul khilafah ala minhaj Nubuwwah” [HR Ahmad]