Ashobiyah Merupakan Produk Demokrasi

PORT DICKSON 3 Okt. — Calon Pas bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang Zulkefly Mohamad Omar hari ini mengakui beliau bukan anak tempatan Bagan Pinang, satu faktor yang mungkin memberi kelebihan kepada calon Barisan Nasional (BN).

Zulkefly yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan berkata, soal anak tempatan tidak timbul kerana beliau dilahirkan di Lenggeng, juga di negeri itu.

“Saya anak watan Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai calon Pas menentang bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dari BN bagi pilihan raya kecil pada 11 Oktober ini.

Zulkefly berkata, isu “anak tempatan” tidak timbul kerana Mohd. Isa yang juga Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, bukan berasal dari negeri itu sebaliknya dilahirkan di Melaka.

Bagaimanapun berbanding Zulkefly, Isa yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun sejak 1982 dibesarkan di Kampung Bagan Pinang, malah veteran UMNO itu amat disegani penduduk setempat kerana ketokohan dan keramahannya.

Zulkefly sebelum ini pernah bertanding sebanyak tiga kali pada pilihan raya umum 1999, 2004 dan 2008 bagi kawasan DUN Lenggeng tetapi tidak pernah menang.-Bernama

Sumber: Utusan Malaysia 3/10/09

Inilah hakikat kebebasan bersuara dalam praktik sistem demokrasi! Pilihanraya merupakan ‘gelanggang’ yang diguna untuk bertelagah, jatuh-menjatuh dan bersaing memekarkan kemungkaran. Pentas politik demokrasi menampilkan calon-calon wakil rakyat yang hanya pandai bermain kata-kata untuk menarik para pengundi tanpa peduli halal mahupun haram. Apa sahaja yang boleh digunakan demi meraih kemenangan akan menjadi falsafah politik, termasuk bersaing menyerukan ashobiyyah, patriotisme mahupun nasionalisme. Mereka nampaknya amat berbangga dengan status ashobiyyah yang wujud dalam diri mereka. Bukankah assobiyyah itu haram di sisi Islam bahkan mengundang risiko perkauman yang sangat tinggi!?

Assobiyyah sudah sedia maklum keharamannya. Keharaman menyerukannya juga jelas dinyatakan dalam hadis Nabi SAW;

“Aku perintahkan kamu lima perkara : Mengikuti jama’ah, mendengar, taat, hijrah dan berjihad di jalan Allah dan sesungguhnya orang yang keluar dari jama’ah sekadar sejengkal maka sesungguhnya ia telah menarik tali Islam dari lehernya melainkan ia kembali semula kepada jama’ah. Barangsiapa yang mengajak kepada di’ayah (seruan) jahiliyyah maka sesungguhnya dia adalah sebahagian dari timbunan sampah sarap Jahannam walaupun dia berpuasa, bersolat dan ia menyangka sebagai seorang Islam” [HR Ahmad dan Tirmidzi]

Mereka inilah produk-produk demokrasi yang terus menerus mengekalkan pengukuhan sistem kufur itu di kalangan umat Islam. Mereka inilah yang sebenarnya menjadi punca perpecahan yang dilarang oleh Islam. Mereka tidak sedar bahawa mereka diperolok oleh demokrasi yang selama ini membelenggu posisi umat Islam di kancah kehinaan. Sedarlah wahai kaum Muslimin, ashobiyyah itu adalah haram. Janganlah kita berpecah-belah akibat manfaat yang kita kira menguntungkan diri sendiri padahal jalan itu mendapat murka dari Allah Ta’ala. Jauhilah ashobiyyah, bersatulah kerana Islam, demi Allah, bukan selainnya.