Aurat Diatur untuk Memuliakan Wanita

Oleh: Ummu Naira

Pandangan Islam terhadap wanita dan sifat semula jadi mereka.

Sebelum kedatangan Islam, bangsa Arab memperlakukan wanita sebagai manusia yang tiada nilai. Kaum wanita ketika itu dianggap sebagai harta benda yang boleh diwarisi. Jika seorang suami meninggal, maka walinya berhak terhadap isterinya.

Wali tersebut berhak menikahi si isteri tanpa mahar, atau mengahwinkannya dengan lelaki lain dan maharnya diambil oleh si wali, atau dia juga boleh menghalangnya untuk berkahwin lagi. Bayi perempuan dianggap sebagai aib sehingga mereka (Arab Jahiliah) menanam bayi perempuan yang baru lahir hidup-hidup.

Kemudian Rasulullah SAW datang membawa risalah Islam untuk melenyapkan semua bentuk kezaliman tersebut dan mengembalikan semula hak-hak kaum wanita.

Islam juga telah menetapkan bagaimana seorang suami perlu memperlakukan isteri. Islam memberikan penghargaan yang tinggi buat para wanita sebagai ibu dan pengurus rumah tangga. Wanita dijamin hak-hak ekonomi dan kewangannya setiap saat.

Islam mengizinkan kaum wanita untuk bekerja tetapi bukan dalam keadaan diperhambakan, ditindas atau dihina. Wanita dibolehkan untuk bekerja dalam persekitaran yang terjamin keamanan dan martabatnya sehingga statusnya dalam masyarakat sentiasa terjaga.

Satu kekeliruan yang besar jika masih ada yang berpandangan negatif terhadap ajaran Islam dan hukum-hukumnya. Ini kerana, dalam hukum-hukum Islam terkandung hikmah yang tujuannya adalah untuk melindungi dan memuliakan wanita baik dalam hukum perkahwinan, rumah tangga, pewarisan, pergaulan dan banyak lagi.

Syariat Islam telah menempatkan wanita sebagai saudara yang kedudukannya setara dengan kaum lelaki. Di dalam Al-Quran, seruan untuk beriman dan melaksanakan hukum Allah diberikan sama kepada lelaki mahupun wanita. Kaum wanita bukanlah warga kelas ke dua yang boleh ditindas oleh kaum lelaki termasuklah suami mereka sendiri.

Nabi SAW bersabda :

إنَّمَا النِّسَاءُ شَقَائِقُ آلرِّجالِ

“Sesungguhnya wanita itu adalah saudaranya para lelaki.” (HR. Ahmad)

Lebih dari itu, syariat Islam juga memberikan perlindungan secara menyeluruh kepada wanita. Islam menutup peluang terjadinya kejahatan terhadap wanita serta menghalang apa saja yang akan membawa kemudaratan terhadap wanita. Salah satunya adalah dengan syariat menutup aurat dengan sempurna.

Syariat Islam Membawa Maslahat dan Tidak Cenderung Pada Jenis Jantina

Pornografi dalam Islam sudah jelas bagaimana batasan hukumnya sepertimana yang disebut dalam Al-Quran iaitu seluruh tubuh wanita adalah aurat di hadapan lelaki bukan mahram kecuali muka dan telapak tangan.

Aisyah ra. telah menceritakan bahawa Asma binti Abu Bakar pernah masuk ke ruangan wanita dengan pakaian yang nipis. Maka Rasulullah SAW pun berpaling seraya berkata, “Wahai Asma’, sesungguhnya wanita itu jika telah baligh tidak patut menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, sambil menunjuk telapak tangan dan wajahnya.” (HR Muslim)

Ajaran tentang menutup aurat dengan sempurna kepada para muslimah sudah ada di dalam Al-Quran surah An-Nur ayat 31 (perintah memakai tudung) dan surah Al-Ahzab ayat 59 (perintah memakai jilbab/jubah) serta surah Al-Ahzab ayat 33 (tidak tabarruj atau berhias secara berlebihan dalam berpakaian atau bersolek).

Setiap syariat Islam pasti mengandungi maslahat di dalamnya. Namun demikian, taatnya seorang Muslimah terhadap aturan Allah bukanlah kerana ada manfaat atau menghindari mudarat, tetapi kerana motivasi utamanya adalah untuk mencari keredhaan Allah SWT.

Jadi, memuat naik foto setengah telanjang atau bahkan sedang telanjang di akaun media sosial termasuk dalam aktiviti menayangkan aurat yang sudah jelas dilarang oleh syariat.

Menayangkan aurat di media sosial boleh termasuk dalam pornografi yang berpotensi merosakkan akhlak dan moral manusia dan diancam dengan hukuman takzir yang dalam kaca mata hukum Islam merupakan hak Khalifah untuk mengatur kadar berat atau ringannya hukuman.

Secara dasarnya, hukuman yang diberikan tetap berpandukan asas yang sudah ditetapkan dalam Al-Quran dan hadis seperti keadilan dan sebagainya. Tidak perlu risau kerana hukum Islam adalah hukum yang adil dan tidak cenderung pada jantina.

#auratwanita
#keadilanIslam
#IslamRahmatalLilAlamin
#IslamMengaturKehidupan
#Muslimah