Aurat Gimnas : Di saat kilauan emas lebih diutamakan berbanding tuntutan syariah
Kecoh seketika apabila gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi dikritik hebat melalui media sosial kerana sut sukan yang dipakainya dalam Sukan Sea di Singapura baru-baru ini. Sut ketat acara gimnastik yang dipakai Farah bukanlah satu sut yang baru, cuma menjadi polemik apabila dikatakan terlalu seksi dan menampakkan “lurah” kemaluan atlet tersebut.
Pujian wajar diberikan kepada hamba Allah yang memberikan teguran tentang perkara ini, walaupun ternyata orang yang menegur tersebut dikritik pula oleh Farah sendiri dan penyokongnya. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin menegaskan dalam akaun Twitternya bahawa siapa pun tidak layak menghakimi Farah yang telah menyumbang emas kepada negara itu. Perbuatan Farah hanya layak dihakimi oleh Yang Maha Kuasa semata-mata dan Khairy meminta agar atlet negara tersebut tidak diganggu.
Mufti Perak, dalam responsnya terhadap persoalan ini menyatakan bahawa sukan gimnastik tidak sesuai untuk wanita kerana menunjukkan aurat dan bentuk tubuh badan sudah jelas haram hukumnya bagi mereka. Jika mahu juga menyertainya, gimnas berkenaan perlu mencari serta memakai pakaian yang menutup aurat dan sekali gus mungkin tidak sesuai dengan sukan berkenaan.
Menutup aurat merupakan sebuah kewajipan yang terpikul ke atas setiap individu Muslim yang mukallaf. Bahkan kewajipan ini merupakan suatu perkara yang termasuk dalam kategori “maklum min al-din bi al-dharurah” iaitu suatu perkara dalam agama yang tiada sebab untuk tidak diketahui, malah tidak memerlukan fatwa daripada seorang mufti pun untuk mengesahkannya.
Walaupun setiap Muslim mengetahui akan kewajipan ini, termasuklah Khairy sendiri, tetapi kenyataan yang beliau keluarkan itu tidaklah mengejutkan kerana rata-rata rakyat Malaysia sudah faham taraf berfikir seorang menteri di Malaysia!!! Mungkin Khairy juga tidak memandang salah kejadian sekumpulan pelancong yang berbogel di Gunung Kinabalu baru-baru ini dan juga di sebuah pantai di Pulau Pinang tidak lama dulu kerana Menteri Belia dan Sukan itu, “aurat” adalah urusan mereka dengan Tuhan yang tidak perlu diganggu.
Adanya pihak yang membela Farah Ann yang jelas melakukan keharaman itu menunjukkan bagaimana cara berfikir segelintir Muslim masih diracun dengan idea kebebasan yang berasal dari Barat. Memenangi emas dan mengharumkan nama negara dianggap lebih penting daripada menutup aurat yang diwajibkan oleh Allah SWT. Persoalan aurat dianggap sebagai persoalan peribadi antara manusia dengan Penciptanya dan masyarakat tidak sewajarnya masuk campur. Idea kebebasan individu yang menjadi tunjang kepada sistem demokrasi hari ini ternyata menjadi punca kepada lahirnya pemikiran rosak sebegini. Inilah cara berfikir yang merosakkan individu itu sendiri dan juga merosakkan masyarakat secara amnya.
Ini bukan persoalan menghakimi, sebaliknya persoalan mencegah kemungkaran kerana mencegah kemungkaran itu wajib dilakukan oleh setiap Muslim, malah bagi Negara, ia merupakan satu kewajipan yang wajib diambil tindakan (dikenakan uqubat/hukuman).
Lebih jauh, persoalan menutup aurat, mencegah kemungkaran dan mengenakan uqubat, bukan sahaja ditujukan kepada sukan gimnastik, malah apa sahaja sukan yang mendedahkan aurat pelakunya, baik lelaki mahupun wanita, semuanya tidak terkecuali seperti renang, bola sepak, bola jaring, bina badan, badminton, lumba lari dan sebagainya.
Sesungguhnya kerosakan yang berlaku ini bukanlah persoalan individu semata-mata, tetapi persoalan sistem yang telah rosak dari akarnya. Kita mesti melihat bahawa isu aurat gimnas ini bukanlah berpunca daripada pegangan individu yang rosak semata-mata, sebaliknya bertitik-tolak daripada idea kebebasan dalam sistem demokrasi yang diagung-agungkan oleh manusia.
Segala jenis sukan, baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa, tidak boleh lepas daripada “sistem” yang mengatur negara tersebut, yang membenarkan, malah menggalakkan aktiviti dan perkembangan sukan. Halal dan haram tidak menjadi pegangan, tetapi “nama” negara dan “manfaat” yang diraih dari sukan, itulah yang dijadikan pegangan. Negara demokrasi seperti Malaysia tidak terkecuali, malah sukan telah menjadi satu “industri” yang sangat jelas berorientasikan keuntungan, hasil daripada akidah kapitalisme yang telah membaluti industri sukan nasional dan antarabangsa.
Sedangkan di dalam Negara Islam (Khilafah), tidak pernah dan tidak akan wujud bentuk sukan yang mengandungi unsur haram dan jika tetap terjadi, maka setiap pelakunya wajib dihukum. Kaum Muslimin terkenal dengan melakukan aktiviti “sukan” seperti memanah, menunggang kuda, berenang, bermain pedang dan seumpamanya, yang kesemuanya dilakukan dalam rangka untuk berjihad di jalan Allah, tidak sebagaimana sukan pada hari ini yang semakin menjauhkan manusia daripada Allah.
Wallahu a’lam.