Bagaimana Islam Menjamin Kehidupan Rakyat (Siri 2/2)

Ketiga: Sekiranya ketua keluarga tidak mampu mencari nafkah, mungkin kerana sakit, cacat, uzur dan sebagainya atau sering mengabaikan keluarganya, Islam mensyariatkan kepada setiap ahli waris atau kerabat terdekat sebagai pihak yang bertanggungjawab memenuhi keperluan asas. Allah (swt) berfirman:

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَا تُضَارَّ وَالِدَةٌ بِوَلَدِهَا وَلَا مَوْلُودٌ لَهُ بِوَلَدِهِ ۚ وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذَٰلِكَ

“Kewajipan ayah memberi makan dan pakai kepada ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kemampuannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan ayah (menderita) kerana anaknya, ahli waris pun berkewajipan demikian” [Al-Baqarah (2): 233].

Ahli waris yang mampu, bermula dari keluarga terdekat kemudian yang jauh, berkewajipan untuk membantu dalam urusan nafkah apabila muncul keadaan-keadaan yang memerlukan. Seorang anak wajib memberikan nafkah kepada orang tuanya yang tidak mampu, dan begitulah seterusnya. Rasulullah (saw) bersabda:

أَنْتَ وَمَالُكَ ِلأَبِيْكَ

“Kamu (si anak) dan hartamu adalah untuk bapamu” [HR Ibnu Majah].

Dalam hadis yang lain Rasulullah (saw) bersabda:

وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ: أُمَّكَ وأَبَاكَ، وأُخْتَكَ وأَخَاكَ، ثُمَّ أَدْنَاكَ أَدْنَاكَ

“Mulailah (memberi nafkah) dari orang-orang yang menjadi tanggunganmu, ibumu, ayahmu, saudara perempuanmu, saudara lelakimu, kemudian kerabatmu yang jauh, kerabatmu yang jauh, kerabatmu yang jauh.” [HR an-Nasa’i]

Keempat: Islam telah mewajibkan kepada jiran tetangga atau masyarakat setempat (yang mampu) untuk memenuhi keperluan asas terhadap jiran mereka yang memerlukan. Sabda Rasulullah (saw):

مَا آمَنَ بِي مَنْ بَاتَ شَبْعَانَ وَجَارُهُ جَائِعٌ إِلَى جَنْبِهِ وَهُوَ يَعْلَمُ بِهِ

“Tidak beriman kepadaku orang yang pada malam hari tidur dalam keadaan kenyang sementara jirannya kelaparan padahal dia mengetahui hal itu” [HR at-Tabarani]

Dalam hadis yang senada:

 لَيْسَ الْمُؤْمِنُ الَّذِي يَشْبَعُ وَجَارُهُ جَائِعٌ

“Bukanlah orang yang beriman, siapa saja yang berada dalam keadaan kenyang sedangkan tetangganya dalam keadaan lapar” [HR Bukhari].

Rasulullah (saw) juga bersabda:

وَأَيُّمَا أَهْلُ عَرْصَ ة أَصْبَحَ فِيهِمْ امْرُؤٌ جَائِعٌ فَقَدْ بَرِئَتْ مِنْهُمْ ذِمَّةُ الله تَعَالَى

“Penduduk negeri mana pun yang berada pada pagi hari, yang di tengah-tengah mereka ada orang yang kelaparan, maka jaminan Allah telah lepas daripada mereka” [HR Ahmad, al-Hakim dan Abu Ya’la].

Sebagaimana telah dijelaskan, bantuan jiran atau masyarakat hanyalah bersifat sementara, agar pihak yang dibantu tidak mudarat atau meninggal kerana kelaparan. Ini kerana tugas mencari nafkah atau memberi nafkah untuk seseorang secara berterusan bukanlah tugas jiran atau masyarakat. Untuk jangka panjang, pemerintahlah yang berkewajipan untuk menunaikan tugas ini, kerana pemerintah adalah pemelihara rakyatnya.

Kelima: Kewajipan pemerintah memberi nafkah. Dalam keadaan di mana tidak ada satu pihak pun yang dapat memenuhi keperluan asas ini, maka negaralah (pemerintah) yang secara langsung wajib melaksanakan tanggungjawab ini. Dalam Islam, negara (melalui Baitul Mal) berfungsi menjadi penjaga orang-orang yang lemah dan memerlukan ini, kerana di bahu pemerintahlah letaknya kewajipan memelihara rakyatnya.

Bagi mereka yang layak menerima zakat, maka negara wajib memberikan mereka zakat sebagaimana perintah Allah (swt) di dalam Al-Quran:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

“Bahawasanya zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, miskin, amil, para mu’allaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) hamba, orang-orang yang berhutang, untuk (jihad) fi sabilillah dan ibnu sabil, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan oleh Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana” [At-Taubah (9): 60].

Sekiranya harta zakat tidak ada atau tidak mencukupi, maka negara wajib mencari sumber lain dalam rangka menunaikan kewajipan ini. Negara tetap bertanggungjawab dalam apa jua keadaan berdasarkan keumuman hadis:

الإِمَامُ رَاعٍ وَهْوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

“Pemimpin adalah pemelihara dan dia bertanggungjawab terhadap orang yang dipelihara (rakyat)nya” [HR Muslim].

Malah, kewajipan negara untuk menafkahi rakyatnya yang memerlukan, tidak pernah terhenti sehingga seseorang itu meninggal sekali pun. Rasulullah (saw) bersabda:

مَنْ تَرَكَ مَالاً فَلِوَرَثَتِهِ وَمَنْ تَرَكَ كَلاً فَإِلَيْنَا

“Siapa sahaja yang mati dan meninggalkan harta, maka harta tersebut adalah untuk warisnya; manakala siapa sahaja yang mati dan meninggalkan tanggungan (tanpa harta), maka atas kamilah tanggungannya” [HR Bukhari].

Dalam hadis yang senada:

فَأَيُّمَا مُؤْمِنٍ مَاتَ وَتَرَكَ مَالاً فَلْيَرِثْهُ عَصَبَتُهُ مَنْ كَانُوْا، وَمَنْ تَرَكَ دَيْناً أَوْضَيَاعًا فَلْيَأْتِنِي فَأَنَا مَوْلاَهُ

“Mukmin mana pun yang mati dan meninggalkan harta, maka hendaklah dia mewariskan hartanya itu kepada keluarganya; dan siapa saja yang mati dan meninggalkan hutang atau orang tanggungan, maka serahkanlah kepadaku (kerana) sesungguhnya akulah penanggungnya” [HR Bukhari, Muslim dan Abu Daud]

Hadis-hadis ini menerangkan bahawa tanggungjawab dalam memenuhi keperluan asas adalah terletak di bahu pemerintah di kala tidak ada siapa pun lagi yang dapat memenuhi keperluan tersebut. Perlu diperhatikan bahawa Rasulullah (saw) bukan hanya bersabda dalam kedudukan baginda sebagai seorang Rasul, tetapi juga sebagai seorang ketua negara. Ini jelas terlihat dengan sikap yang sama yang telah diambil oleh para Khulafa’ dalam menangani isu yang sama.

Masalahnya Ada Pada Pemerintah & Sistem, Bukan Pencen

Sesungguhnya umat Islam, bahkan umat manusia dahulunya tidak pernah kenal mengenai pencen dan mereka tetap boleh hidup tanpa memerlukan pencen. Di sinilah kaum Muslimin perlu meyakini bahawa rezeki itu datangnya daripada Allah (swt) dan Dia telah menjamin rezeki setiap orang baik Muslim mahupun kafir, sejak dari dalam kandungan hinggalah ke liang lahad. Firman-Nya:

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُمْ ثُمَّ رَزَقَكُمْ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ

“Allah-lah yang menciptakan kamu, kemudian memberimu rezeki, kemudian mematikanmu, kemudian menghidupkanmu (kembali)” [Ar-Rum (30): 40].

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ ۖ نَحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu” [Al-Isra’ (17): 31]

قُلْ مَنْ يَرْزُقُكُمْ مِنَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ قُلِ اللَّهُ

“Katakanlah: “Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi?” Katakanlah: “Allah” [Saba’ (34): 24]

Dengan begitu banyak ayat dan hadis tentang rezeki yang telah pun dijamin oleh Allah (swt), maka setiap Muslim tidak seharusnya risau mengenai hari tua sehingga perlu bergantung kepada pencen. Apa yang mereka perlu lakukan ialah berusaha mencari rezeki, dan dalam masa yang sama berusaha untuk memastikan masyarakat dan negara mengamalkan Islam secara kaffah, kerana jaminan kehidupan yang baik hanya terdapat dalam Islam. Setia[ Muslim harus ingat ingat bahawa rezeki itu datangnya dari Allah, bukannya dari pemerintah.

Memuhasabah pemerintah adalah sangat penting kerana wujudnya masalah pada hari ini ialah akibat daripada penerapan sistem Kapitalisme oleh pemerintah, yang bersifat zalim dan menindas. Dalam sistem kapitalis, rakyat perlu membayar segenap perkara yang dikenakan oleh pemerintah seperti air, elektrik, pendidikan, kesihatan, keamanan, cukai dan sebagainya. Ini antara penyebab penderitaan rakyat apatah lagi yang berpendapatan rendah atau sederhana.

Sedangkan dalam Islam, kesemua itu wajib diberikan oleh pemerintah secara percuma, dan haram bagi pemerintah mengenakan bayaran ke atas perkara-perkara tersebut apatah lagi cukai yang bermacam jenis yang sangat menindas rakyat.

Manakala dalam masa yang sama pemerintah wajib mengagihkan keuntungan hasil bumi seperti minyak, gas dan pelbagai galian kepada setiap individu rakyat, bukannya memasukkan ke dalam kantung mereka. Bayangkan apabila rakyat mendapat semua hak ini, maka sudah pasti kehidupan rakyat sangat terjamin. Inilah jaminan Islam terhadap rakyat.

Oleh yang demikian, jika Islam diterapkan dalam kehidupan individu, bermasyarakat dan khususnya bernegara, maka setiap Muslim tidak seharusnya risau mengenai hari tua mahu pun hari muda. Sekiranya Islam diterapkan, tidak ada siapa pun yang memerlukan pencen, kerana jaminan hari tua, bahkan hari muda, sudah pun ditetapkan oleh Allah (swt) yang Maha Memberi Rezeki.

Kesimpulan

Sesungguhnya segala masalah yang dihadapi oleh rakyat pada hari ini adalah berpunca daripada tidak adanya penerapan Islam oleh negara. Sejak runtuhnya Khilafah kira-kira 100 tahun yang lalu, kesemua negara kaum Muslimin telah bertukar menjadi sekular dan menerapkan sistem yang diberikan oleh penjajah.

Maka, untuk menyelesaikan masalah kesengsaraan hidup yang dihadapi oleh rakyat pada hari ini, tidak boleh tidak, keseluruhan sistem mesti ditukar. Sistem sekular wajib ditukar kepada sistem Islam. Negara sekular wajib ditukar kepada Negara Islam (Khilafah).

Setiap individu Muslim mesti berusaha melakukan perubahan ini dengan serius, kerana ia bukan sahaja wajib, malah tinta emas sejarah Islam telah membuktikan bahawa hanya dengan penerapan Islam sahajalah rakyat akan hidup dengan sejahtera dan terjamin keperluan mereka.

Wallahu a’lam