Bahaya Liberalisme Dan Cara Menghapuskannya

Dengan mengambil kesempatan mengadakan himpunan sempena hari wanita baru-baru ini, yang turut disertai oleh kumpulan LGBT, setakat ini ia menjadi penonjolan terbesar golongan liberal di Malaysia di tempat awam. Golongan ini nampaknya semakin berani menonjol sejak Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara dan mereka nampaknya sudah tidak segan silu di era ‘Malaysia baru’ ini untuk menzahirkan segala kudis dan kurap di wajah mereka. Mereka semakin galak baik di lapangan mahupun di media sosial, tanpa mempedulikan kecaman orang ramai ke atas mereka. Mereka benar-benar memanfaatkan pentadbiran PH yang dilihat ‘mesra-liberal’ untuk menyebarkan virus-virus mereka di tengah-tengah masyarakat.

Golongan liberal memang sudah lama wujud di Malaysia dan mula mencuri perhatian di zaman pemerintahan Najib Razak. Dengan kata lain, di era Barisan Nasional (BN) lagi puak-puak ini sudah mula keluar dari fasa ‘persembunyian’ mereka dan beralih kepada fasa terang-terangan. Kerajaan BN pada waktu itu sebenarnya sudah pun memberi laluan yang mencukupi untuk mereka keluar, cuma sekarang laluan tersebut diperluaskan lagi oleh kerajaan PH.

Umat Islam rata-ratanya menolak pemikiran liberalisme, kecuali segelintir yang sudah taksub dengan pemikiran Barat. Pada amnya, pemikiran kufur yang berasal dari penjajah ini tidak mendapat tempat dalam masyarakat. Cumanya, ada beberapa kekeliruan (yang akan dijelaskan kemudian) dalam kalangan umat Islam yang menyebabkan umat menerima idea ini secara tidak sedar. Jika umat Islam memahami idea ini dengan benar dan memahami agenda Barat di sebaliknya, Insya Allah idea ini akan pasti ditolak dan ditentang habis-habisan oleh umat. Justeru, amat penting untuk kita menyedarkan umat Islam dengan cara mendedah dan mengungkapkan idea ini dengan benar agar umat yang mulia ini kembali kepada fikrah Islam yang sebenar, seterusnya melawan dan menguburkan idea busuk liberalisme ini sedalam-dalamnya.

Apakah kekeliruan umat Islam dalam hal ini? Antara yang utama ialah umat Islam hanya nampak liberalisme dalam aspek beragama, berpendapat dan tingkah laku. Tafsiran baru dan menyeleweng berdasarkan akal yang dilakukan oleh kaum liberal terhadap nas-nas Al-Quran dan Al-Hadis dan juga pendapat mereka berdasarkan hawa terhadap kefahaman Islam yang murni, ini semua ditolak oleh umat Islam kerana umat Islam memahami aspek ini dengan benar. Begitu juga dengan tingkah laku songsang dan di luar batas oleh puak liberal yang juga ditolak dan ditentang oleh umat Islam kerana umat Islam memahami kesalahan dan keharaman dalam aspek ini dengan cara yang benar.

Kekeliruan wujud apabila umat Islam gagal memahami akar permasalahan atau pengertian sebenar liberalisme sebagaimana yang muncul dan diamalkan di Barat serta dijaja oleh kaum kafir penjajah tersebut ke dunia Islam. Secara ringkasnya, idea liberalisme muncul di Barat tatkala mereka dicengkam dan ditindas oleh gereja dan golongan bangsawan atas nama agama (Kristian). Justeru, mereka melakukan perjuangan yang panjang untuk keluar daripada kongkongan agama dan gereja sehingga akhirnya mereka menang dalam perjuangan tersebut.

Dari sini, Barat yang sebelumnya berada dalam zaman kegelapan, berjaya keluar daripadanya dan mereka (golongan cendekiawan dan gerejawan) sepakat untuk memisahkan urusan agama dari kehidupan. Perjuangan untuk membebaskan diri daripada belenggu agama dan gereja ini merangkumi kebebasan yang mutlak yakni dalam segala bentuknya, sehingga agama tidak boleh masuk campur sedikit  pun dalam menentukan sistem dan aturan hidup. Agama hanya dihadkan sebatas hubungan manusia dengan Penciptanya (persoalan ibadat) di dalam gereja sahaja. Malah siapa yang tidak mahu percaya akan kewujudan Pencipta pun tidak mengapa. Inilah akar kepada idea kebebasan (liberalisme) yang muncul dan diamalkan di Barat yang telah mereka bawa serta racuni umat Islam dengannya, yakni bebas dalam melakukan apa sahaja tanpa batas. Paling penting, agama tidak boleh mengatur kehidupan dan manusia boleh menentukan sendiri setiap perkara tanpa terikat dengan agama.

Idea liberalisme yang mereka perjuangkan merangkumi segala aspek kehidupan, bukan sahaja ibadat dan tingkah laku. Idea ini mencakupi aspek politik, pemerintahan, ekonomi, perundangan, uqubat, pendidikan, dasar luar negeri dan sebagainya. Inilah cakupan luas liberalisme yang muncul dan diperjuangkan di Barat. Dari sinilah umat Islam perlu memahami makna sebenar liberalisme iaitu sebuah idea di mana manusia mempunyai kedaulatan mutlak atau hak yang tidak terbatas untuk melakukan apa sahaja tanpa terikat dengan agama. Inilah pengertian, amalan dan agenda liberalisme yang datangnya dari Barat yang ingin mereka tanamkan ke minda setiap Muslim. Mereka mahu umat Islam berfikir dan mengamalkan cara hidup bebas seperti mereka dan mereka tidak akan berdiam diri selagi cara hidup dan milah mereka tidak menjadi ikutan bagi umat Islam.

Idea Kebebasan Tidak Ada Dalam Islam

Barat berjaya meracuni minda umat Islam apabila mereka membawa idea kebebasan (freedom), apatah lagi apabila mereka menyerang beberapa hukum Islam yang dilihat membelenggu seperti perhambaan, aurat, ikhtilat, hudud dan sebagainya. Serangan mereka bahkan sampai ke aspek pemerintahan Islam (Khilafah) yang dikatakan kejam, mundur, barbaric, penuh kebencian dan pelbagai tuduhan lagi. Para ulama sendiri mula terpesona dengan keindahan konsep freedom bawaan Barat sehingga sebahagian mereka tergelincir dan terperangkap dengan menyatakan bahawa Islam juga mempunyai konsep hurriyyah (freedom), murunah (fleksibiliti) dan hukum Islam boleh disesuaikan mengikut zaman dan tempat. Malah para ulama ini sampai mengatakan bahawa Islam tidak mempunyai sistem pemerintahan yang terperinci dan terpulang kepada manusia untuk menerapkan sistem jenis apa asalkan baik dan adil, termasuklah sistem demokrasi yang berasal dari Barat pun boleh diambil. Dalam rangka mempertahankan Islam, para ulama ini telah tergelincir ke dalam gaung yang dalam.

Sesungguhnya Islam tidak pernah mengenal konsep freedom mahupun liberalisme sebagaimana yang dijaja oleh Barat. Dalam Islam, setiap Muslim tidak bebas melakukan apa sahaja menurut kehendaknya, tetapi ia ‘terikat’ dengan hukum syarak. Terikat dengan hukum syarak bukan bermaksud yang Islam adalah agama yang kejam, jumud atau membelenggu sebagaimana serangan Barat ke atas Islam. Terikat dengan hukum syarak bermaksud kehidupan setiap Muslim diatur oleh agama dan ia ‘bebas’ melakukan apa sahaja selama mana diizinkan oleh agama. Inilah peranan agama yakni untuk mengatur manusia sesuai dengan kehendak Penciptanya. Golongan gereja telah merubah ajaran Kristian dan menggunakan nama agama dan Tuhan untuk menindas penganutnya. Oleh sebab itulah orang-orang kafir Barat melihat Kristian (pada waktu itu) sebagai agama yang kejam, menindas dan membelenggu. Walhal tidak demikian halnya dengan Islam, kerana Islam adalah agama rahmat dan Al-Quran sebagai asas ajaran Islam tetap dipelihara oleh Allah (swt) dari sejak ia diturunkan sehinggalah ke hari kiamat.

Setelah berjaya memisahkan agama daripada kehidupan (sekularisme), orang-orang Barat terpaksa mencari jalan lain untuk mengatur hidup bermasyarakat dan bernegara. Dari sinilah lahirnya ideologi Kapitalisme dan demokrasi di mana segala sistem dan undang-undang untuk mengatur kehidupan mereka, telah disepakati untuk ditentukan oleh mereka sendiri secara majoriti. Dengan kata lain, mereka telah sepakat meletakkan hak untuk membuat undang-undang di tangan manusia dan peranan agama telah dihadkan ke dalam gereja semata-mata, dan agama sama sekali tidak berperanan dalam mengatur kehidupan harian mereka. Inilah klimaks kepada kejayaan orang-orang kafir Barat dalam perjuangan mereka untuk membebaskan diri daripada cengkaman gereja dan agama mereka. Bermula dari idea untuk bebas (daripada cengkaman agama), akhirnya mereka berjaya dan idea ini (liberalisme) menjadi cara hidup dan perjuangan mereka hingga kini. Idea dan perjuangan inilah yang mereka bawa ke dunia Islam dan mereka ingin umat Islam menjadi seperti mereka.

Atas dasar itulah, umat Islam perlu sedar dan wajib menolak idea liberalisme yang berasal dari kuffar Barat ini. Melalui idea ini, manusia telah menafikan hak Allah (swt) untuk mengatur kehidupan, dan lebih parah apabila idea ini diterapkan dalam sistem pemerintahan, ia memberi dampak yang besar kepada masyarakat dan negara. Sistem demokrasi yang lahir daripada akidah sekularisme ini telah membawa bersamanya empat tonggak kebebasan untuk manusia iaitu kebebasan berakidah/beragama, bertingkah laku, bersuara dan kepemilikan. Sistem demokrasi dengan keseluruhan tonggaknya itu telah menjamin idea liberalisme untuk terus hidup dan subur. Sistem ini dengan segala idea kebebasan yang dibawanya sungguh amat bertentangan dengan Islam dan telah membawa malapetaka ke atas umat yang mulia ini sejak ia mula diterapkan.

Berdasarkan idea liberalisme, hukum Allah (swt) tidak ada tempatnya dan tidak boleh berperanan dalam pemerintahan negara. Manusia bebas membuat undang-undang mengikut akalnya tanpa terikat dengan agama. Agama tempatnya ialah di masjid-masjid dan surau-surau sahaja. Perlembagaan negara lebih tinggi daripada Al-Quran dan As-Sunnah sehingga apa sahaja hukum dalam Al-Quran dan As-Sunnah yang bertentangan dengan perlembagaan akan terbatal dengan sendirinya. Hukum wahyu sama sekali tidak boleh memasuki Parlimen, malah jika dapat masuk sekalipun akan tertakluk kepada kelulusan manusia dan boleh ditendang dengan cukup mudah.

Bukan itu sahaja, banyak lagi keharaman lainnya yang dibawa oleh idea liberalisme yang selama ini gagal difahami oleh umat yang mulia ini. Contohnya, umat Islam secara amnya memahami bahawa haram untuk orang kafir menjadi pemerintah dan menguasai kita. Hal ini dinyatakan dengan jelas dalam Al-Quran [lihat An-Nisa (4):141]. Namun, umat Islam tidak nampak secara jernih bahawa sistem demokrasi itu sendirilah yang membenarkan orang-orang kafir untuk menjadi pemerintah dan menguasai orang-orang Islam. Perlembagaan Malaysia tidak pernah menghalang orang-orang kafir daripada memegang jawatan nombor satu dalam negara. Umat Islam tidak mahu orang kafir menjadi ketua negara tetapi dalam masa yang sama masih mempertahankan sistem demokrasi yang membenarkan orang kafir menjadi ketua negara. Inilah kekeliruan yang amat nyata.

Sistem demokrasi juga membenarkan wanita menjadi ketua negara, walaupun hal itu diharamkan secara jelas oleh Islam. Perkara ini sudah maklum dalam mana-mana sistem demokrasi di mana-mana negara sekalipun. Malah, kita telah menyaksikan beberapa negeri kaum Muslimin yang mengamalkan demokrasi seperti Indonesia, Pakistan dan Bangladesh, melantik wanita sebagai ketua negara. Perlembagaan Malaysia juga langsung tidak menghalang perkara ini, malah negara ini hampir mendapat Perdana Menteri wanita setelah PH menang PRU-14 yang lepas. Walaupun Islam mengharamkan wanita menjadi ketua negara, tetapi demokrasi yang berpaksikan kepada idea liberalisme menghalalkannya, dan umat Islam yang terkeliru tetap menerima demokrasi dengan berlapang dada. Ada juga yang sedar tetapi merasakan tidak ada pilihan, kerana demokrasi masih menjadi sistem terbaik pada pandangan mereka. Umat ini inginkan Islam dan sayangkan Islam, namun sayangnya dalam masa yang sama mereka tetap berpegang teguh kepada sistem yang jelas-jelas bertentangan dengan Islam.

Ini belum mengambil kira bidang ekonomi dan sosial yang juga turut dipengaruhi oleh idea liberalisme dalam skala yang cukup besar. Malaysia mengamalkan sistem ekonomi kapitalis yang berasal dari Barat. Sistem yang bertunjangkan ribawi ini sudah mendarah daging dalam masyarakat sehingga umat sudah tidak terasa akan keharamannya. Walaupun Allah (swt) dan RasulNya (saw) mengisytiharkan perang terhadap mereka yang terlibat dengan riba, namun kita semua maklum bahawa sebahagian besar daripada umat ini masih tegar-riba dan tidak mahu melepaskan keharaman ini. Kewujudan ustaz-ustaz yang turut terlibat dengan riba, malah “menghalalkannya” dengan pelbagai alasan, memburukkan lagi keadaan. Begitu juga dengan cukai, saham, insurans, judi, arak dan sebagainya yang diharamkan oleh Islam, namun semua ini bebas diamalkan dalam sistem ekonomi kapitalis kerana agama tidak boleh masuk campur dalam urusan negara.

Sistem ekonomi kapitalis juga tidak pernah memperhatikan persoalan pemilikan harta (ownership of properties) dalam sesebuah negara. Siapa sahaja bebas memiliki apa sahaja termasuk harta milik umum (public properties) seperti minyak, gas asli, emas, arang batu, bauksit dan sebagainya. Walhal dalam Islam, kesemua public properties yang jumlahnya tidak putus ini adalah milik umat dan tidak boleh dimiliki oleh negara, mana-mana syarikat mahupun individu. Tugas negara hanyalah mengelola public properties untuk kemaslahatan umat dan wajib mengembalikan keuntungannya kepada umat. Kebebasan pemilikan dalam sistem ekonomi kapitalis menjadikan manusia rakus, apatah lagi pemerintah yang di tangannya ada kekuasaan. Maka kita menyaksikan bagaimana kekayaan negara dikaut sehabisnya oleh pemerintah dan kroni-kroni mereka daripada kalangan pemilik modal (kapitalis), manakala rakyat terus berada dalam keadaan tertindas. Inilah kebebasan dalam berekonomi yang sebenarnya telah menyengsarakan umat ini sejak sekian lama.

Dari segi sosial, pendedahan aurat di khalayak ramai, pergaulan dan seks bebas, konsert-konsert liar, kelab malam dan sebagainya telah lama merosakkan masyarakat. Kes perzinaan, anak luar nikah dan pembuangan bayi sudah tidak terbendung dan terhitung. Ini semua adalah kesan daripada idea liberalisme yang masuk ke dunia Islam. Dewasa ini lebih parah lagi dengan masuknya budaya songsang dari Barat, LGBT, yang telah berjaya melahirkan golongan keji yang mengamalkan dan mendukung perbuatan jijik itu, termasuk dalam kalangan umat Islam. Tidak sebagaimana politik, pemerintahan dan ekonomi, masuknya idea liberalisme dalam bidang sosial ini lebih disedari dan ditolak oleh sebahagian besar umat Islam. Di sinilah pentingnya untuk umat Islam sedar, bahawa liberalisme bukan hanya terjadi di bidang sosial atau ‘agama’ sahaja, malah dalam seluruh aspek kehidupan, apabila manusia ingin bebas dari aturan Sang Pencipta dan meletakkan kedaulatan di tangannya sendiri.

Bagaimana Menghapuskan Liberalisme

Umat Islam perlu faham bahawa liberalisme adalah satu bentuk fahaman yang sama sekali tidak dapat dipisahkan daripada sistem demokrasi itu sendiri. Demokrasi lahir dari akidah sekularisme, sebuah idea yang mana manusia ingin hidup bebas tanpa terikat dengan agama. Daripada akidah yang mendewakan kebebasan inilah lahirnya pelbagai bentuk kebebasan yang menjadi tonggak kepada demokrasi. Maka, demokrasi dan liberalisme mustahil dapat dipisahkan, apalagi demokrasi menjadi penjaga serta pengembang idea liberalisme, sehingga tidak mungkin untuk memisahkan salah satu daripada keduanya.

Demokrasi adalah ibarat kilang yang mengeluarkan segala macam produk haram termasuk liberalisme. Tidak ada satu pun produk halal yang keluar daripada kilang ini kecuali haram belaka. Umat Islam terkeliru apabila hanya nampak keharaman dalam beberapa produk tertentu, lalu menentangnya, namun tidak nampak keharaman dalam banyak lagi produk lain, lalu mengambilnya. Malah, umat Islam terperangkap dalam kekeliruan yang paling besar apabila hanya menentang beberapa produk haram tertentu keluaran kilang demokrasi, tetapi terus membiarkan, bahkan ada yang mendukung kilang itu sendiri untuk terus beroperasi.

Di sinilah umat Islam perlu meletakkan kefahaman dan tindakan yang benar jika ingin menghapuskan liberalisme. Produk kufur ini tidak akan terhapus selagi mana kilang yang mewujudkannya terus beroperasi. Menjadikan liberalisme sebagai sasaran serangan pada umumnya kelihatan bagus, namun jika kilangnya terus dibiarkan tanpa diserang bertubi-tubi hingga hancur, maka sudah pasti serangan ke atas liberalisme akan menemui kegagalan, selain merupakan tindakan yang sia-sia. Ringkasnya, tidak mungkin untuk menghapuskan liberalisme tanpa menghapuskan demokrasi. Ingatlah bahawa demokrasi merupakan sistem kufur yang berasal dari Barat yang menafikan hak Allah (swt) sebagai Al-Musyarri’ (Pembuat hukum) dan memberikan hak tersebut kepada manusia. Justeru, haram untuk umat Islam mengambil demokrasi, menerapkannya dan menyebarluaskannya. Satu-satunya pengganti kepada sistem demokrasi adalah sistem Khilafah, yang mana kewujudan Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah untuk kali yang kedua sudah pun dikhabarkan oleh Rasulullah (saw). Kita hanya perlu berusaha untuk merealisasikannya.

Wallahu a’lam.

 Ustaz Abdul Hakim Othman
Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia