Baiknya AS ingin bantu mangsa banjir!
Dalam kekalutan tragedi banjir besar yang melanda negara dan kerajaan dikecam kerana lambat bertindak dan tidak mahu mengisytiharkan darurat, kedengaran pula berita yang Amerika Syarikat (AS) menyediakan bantuan sebanyak RM525,000 bagi membantu mangsa banjir. Sungguh malang bagi umat ini, apabila lebih 50 pemimpin di dunia Islam membisu dengan musibah yang melanda negara ini, AS selaku negara kafir harbi pula yang “ingin menolong”!
Banjir kali ini memang menyerlahkan keburukan pemerintah dalam menangani urusan umat, khususnya yang sedang ditimpa bencana. Bukan sahaja pada waktu air bah naik dengan drastik, malah sehingga kini, selepas air bah kering, bantuan daripada kerajaan ke atas mangsa banjir masih belum nampak, walaupun kerajaan pimpinan Najib Razak telah pun mengumumkan bantuan kecemasan sebanyak RM500 ribu. Ratusan ribu mangsa masih tetap merintih dan mengharap di samping dalam masa yang sama terpaksa melalui kehidupan harian yang sungguh sukar dek kemusnahan harta benda yang begitu banyak.
Pendek kata, ratusan ribu saksi mata telah melihat dan mengalami sendiri penderitaan dan keperitan hidup kerana bantuan yang tidak kunjung tiba di saat yang sangat-sangat diharapkan. Semasa air naik, mangsa menyabung nyawa untuk menyelamatkan diri, kini mangsa dihimpit pula kesusahan untuk meneruskan hidup dengan ketiadaan harta benda dan pencemaran udara yang teruk akibat debu-debu lumpur yang kering.
Sungguh AS tidak malu sedikit pun berlakon baik untuk menghulurkan bantuan walaupun tak seberapa. Apa yang pasti, sudah tentu bantuan daripada AS ini akan melalui saluran rasmi kerajaan sebelum sampai kepada mangsa, itu pun kalau sampai. Persoalannya, apakah kerajaan yang sudah terbukti tidak boleh diharapkan menguruskan sumber sendiri ini dapat diharapkan untuk terus mengurus bantuan banjir yang datang dari sumber lain?
Itu dari satu sisi, dari sisi yang lain, sesungguhnya daftar kejahatan AS ke atas umat Islam sudah tidak tertulis panjangnya. Begitu juga dengan watak hero oleh AS setiap kali bencana alam menimpa kaum Muslimin, juga sering dilakonkan oleh negara kuffar ini. Kita sudah masak dengan lakonan baik AS, sebagaimana kita sudah masak dengan lakonan baik oleh pemerintah Muslim ke atas kita. Merekalah yang membuat kerosakan di muka bumi ini. Merekalah yang membuatkan manusia menderita dan sengsara akibat kejahatan yang mereka lakukan, sama ada ke atas manusia, haiwan mahupun alam sekitar.
Mereka harus sedar bahawa lakonan mereka itu tidak akan bertahan lama kerana umat Islam lama-kelamaan akan sedar dan dapat mengenali siapa mereka sebenarnya.
Sumber : Sinar Harian