‘Bakar’lah sistem yang menyuburkan korupsi
Tindakan membakar karikatur Perdana Menteri Malaysiaoleh mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam protes “Gempur Rasuah Sabah 2.0” telah menjadi tumpuan negara, termasuk oleh Perdana Menteri sendiri. Ramai yang menyokong, dan tak kurang juga yang mengecam tindakan tersebut kerana dikatakan melampau.
Perhimpunan dan tindakan membakar karikatur tersebut sangat jelas disasarkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa tokoh utama negeri Sabah yang dikaitkan dengan skandal rasuah.
Dengan tulisan “Madani Pelindung Perasuah Sabah” yang tertera bersama karikatur yang dibakar, mesejnya cukup jelas iaitu mahasiswa sangat marah dan kecewa dengan Anwar atas pelantikan tokoh politik yang sudah terkenal korup mengisi jawatan tertinggi negeri dan diamnya Anwar atas skandal rasuah Sabah, yang melibatkan ramai tokoh politik dari parti pemerintah, dengan jumlah wang yang bukannya sedikit.
Dengan emosi kemarahan yang meluap-luap, maka tidak hairanlah tindakan seperti itu terjadi. Mungkin dengan cara itu sahajalah para mahasiswa tersebut dapat menarik perhatian negara atas isu yang sebegitu besar, yang telah lama berakar umbi di negeri di bawah bayu itu.
Namun sayangnya, ada persoalan utama yang tidak difahami oleh ramai mahasiswa iaitu apakah punca masalah atau punca korupsi yang berleluasa bukan sahaja di Sabah, tetapi di seluruh Malaysia. Punca masalah inilah yang seharusnya difahami dan ditangani, barulah solusi kepada masalah dapat dicapai. Membakar karikatur penguasa, biar pun mesejnya cukup jelas dan sampai, namun masih belum tepat mengenai sasaran dalam mencari solusi.
Ibarat penumpang yang marahkan pemandu mabuk, yang sememangnya wajar dimarahi, malah wajar diganti pun, tetapi para penumpang gagal melihat bahawa bas yang mereka naiki merupakan sebuah bas yang buruk lagi rosak, yang membahayakan mereka sejak awal. Bas seperti ini, jika ditukar pemandunya kepada pemandu yang baik dan cekap sekalipun, ia tetap membahayakan. Inilah yang perlu difahami oleh para mahasiswa.
Sistem demokrasi yang ada sekarang sudah terbukti buruk dan rosak, dan para penguasa yang mengendalikan sistem ini pula terdiri daripada mereka yang korup. Sistem ini telah menyaksikan pergantian penguasa berkali-kali tetapi hasilnya tetap sama – korupsi berlaku di mana-mana, dan rakyat tetap menderita. Ini kerana, para penguasa yang lahir daripada, dan dalam sistem ini, semuanya telah terbukti “mabuk”. Maka, mana mungkin penumpang bas akan berada dalam keadaan selamat apabila pemandunya “mabuk”.
Mahasiswa harus faham bahawa apa yang sepatutnya ditukar bukan sahaja penguasanya, tetapi sistemnya. Justeru, tindakan membakar karikatur atau apa jua tekanan yang diberikan ke atas penguasa, jika berjaya sekali pun menurunkan sang penguasa dari singgahsananya, ia tidak akan menyelesaikan masalah, selagi sistemnya masih kekal. Tidak ada gunanya menggantikan seorang pemandu mabuk dengan pemandu mabuk yang lain, apabila bas yang dinaiki merupakan bas yang sama – yang buruk lagi rosak.
Jika para mahasiswa benar-benar menginginkan perubahan, apa yang sepatutnya “dibakar” ialah sistem demokrasi yang buruk dan rosak ini, yang membenarkan para penguasa dan para perasuah hidup bebas dan terus berkuasa. Dalam usaha untuk menukar sistem, bukan bererti penguasanya dibiarkan begitu sahaja, kerana muhasabah ke atas penguasa mesti sentiasa berjalan, dan ia hendaklah berjalan seiring dengan kewajipan menukar sistem yang diterapkan oleh penguasa tersebut.
Inilah hakikat yang perlu difahami oleh para mahasiswa, bahawa sistem demokrasi sekular inilah yang merupakan sarang, tempat pembiakan dan perlindungan perasuah. Sistem ini memberikan kuasa mutlak kepada manusia untuk menggubal undang-undang yang berpihak kepada mereka, dan melantik siapa sahaja yang mereka mahu tanpa mengira kaki rasuah atau bukan, ke posisi apa sahaja yang mereka mahu, hatta ke posisi pemerintahan sekali pun.
Keberanian mahasiswa memang wajar dipuji, namun keberanian ini bukan sahaja perlu diterjemah di jalanan, tetapi dengan sebuah perjuangan yang syarie untuk menumbangkan sistem demokrasi kufur warisan penjajah, lalu menggantikannya dengan sistem Islam (Khilafah) warisan Rasulullah. Lebih daripada itu, mahasiswa perlu mempelajari dan mengetahui secara mendalam sistem Islam yang bakal diterapkan, agar apabila kuasa berada di tangan pada suatu hari nanti, mereka tidak akan mengulangi kejahilan dan kezaliman para penguasa sebelum mereka.
Para pemuda yang dididik oleh Rasulullah di zaman awal Islam, mereka berusaha “membakar” habis-habisan sistem taghut yang bertentangan dengan Islam. Mereka tidak menuntut reformasi atau pembaikan (islah) terhadap sistem jahiliah di Mekah, tetapi berjuang untuk menukar (taghyir) sistem kufur tersebut kepada sistem Islam secara inqilabi dan menyeluruh. Walaupun perubahan yang diperjuangkan tidak berlaku di Mekah, tetapi kemenangan telah dicapai di Madinah.
Inilah generasi terbaik yang seharusnya kita contohi – generasi yang tahu arah perjuangan, tahu apa yang perlu diubah, jelas matlamat, berani dan tegas dalam sikap dan sentiasa mengikut panduan wahyu.
Demonstrasi jalanan, pembakaran karikatur, ucapan yang berapi-api dan sebagainya, tanpa adanya usaha untuk merubah sistem, maka ia akan berhujung kepada hal yang sama. Anwar Ibrahim sendiri, dan ramai lagi rakan-rakan beliau, merupakan jaguh perjuangan jalanan sebelum berjaya menduduki kerusi kekuasaan. Namun, beliau tidak pernah berjuang untuk merubah sistem, tetapi hanya sekadar untuk melakukan islah atau reformasi. Lihatlah hasilnya di hadapan mata kita sekarang apabila beliau telah bertakhta, beliau bukan sahaja gagal menunaikan banyak janji reformasi, tetapi lebih malang dari itu, siapakah yang akhirnya menjadi pelindung kepada perasuah?
Jadi, para mahasiswa perlu sedar bahawa apa yang seharusnya “dibakar” sehancur-hancurnya ialah sistem yang telah melahirkan dan menyuburkan perasuah. Bangkitlah sebagai generasi yang menyeru kepada perubahan sistem, bukan perubahan orang – dari sistem demokrasi sekular kepada sistem Islam. Sesungguhnya dunia sedang menunggu para pemuda yang tidak hanya memiliki sikap berani, tetapi tahu untuk apa dan ke arah mana keberanian itu digunakan.