Bantahan Fatwa Johor – 4.1e
(e) Mengingkari takwil (al-Nabhani: al-Shaksiah al-Islamiyyah jilid 1, cetakan keenam, tahun 2003, halaman: 56).
Kami paparkan di sini muka surat 56 sepenuhnya. Muka surat tersebut berada di bawah tajuk “Asal-Usul Mutakallimin dan Metodologinya”. Kami andaikan rujukan yang dibuat oleh JFNJ ialah bermula dari baris ke-6 hingga akhir perenggan.
Terjemahan:
Ada pun aspek pembahasan lainnya, iaitu pandangannya terhadap ayat-ayat mutasyabihat, para ahli kalam tidak merasa puas dengan keimanannya terhadap ayat-ayat mutasyabihat secara global tanpa adanya perincian. Setelah mengkaji ayat-ayat tersebut secara keseluruhan, mereka mengumpulkan ayat-ayat yang secara zahir terdapat kontradiksi di dalamnya, seperti al-jabr dan al-ikhtiar, juga ayat-ayat yang di dalamnya tampak jismiyatullah (bentuk jasad Allah). Akal telah mendominasi mereka dalam memahami ayat-ayat tersebut. Mereka bersikap lancang terhadap sesuatu di mana orang-orang selain mereka tidak akan berbuat lancang seperti itu. Mereka membawa setiap perkara kepada ar-ra’yu (pendapat berdasarkan akal). Apabila mereka telah sampai kepada ra’yu-nya tadi, mereka bersandar kepada ayat-ayat yang – menurut pendapat mereka kontradiktif -, lalu mereka melakukan takwil. Takwil adalah ciri pertama yang sangat tampak pada ahli kalam (Mutakallimin). Jika suatu pembahasan mengarah pada bahawa Allah tidak terikat (bebas) dengan arah dan tempat, maka mereka mentakwil ayat-ayat tersebut seraya mengisyaratkan bahawa Allah (swt) berada di atas langit. Mereka juga mentakwil al-istiwa’ ‘ala al-arsy dengan bersemayamnya Allah di atas kerusi arsy. Jika suatu pembahasan mengarah kepada penafian (peniadaan) arah bagi Allah dan mata manusia tidak mungkin melihat-Nya, maka mereka mentakwilkan pemberitahuan (al-ikhbar) dengan menyatakan bahawa manusia melihat Allah. Demikianlah takwil merupakan salah satu alat ahli kalam dan menjadi ciri khas paling menonjol yang membezakan mereka daripada para pendahulu mereka.
Siapa pun yang membaca muka surat 56 di atas, nescaya tidak akan menjumpai satu ayat atau indikasi pun yang menunjukkan bahawa Hizbut Tahrir mengingkari takwil! Justeru, mengatakan yang Hizbut Tahrir mengingkari takwil itu hanyalah semata-mata kesimpulan yang dibuat oleh JFNJ sendiri, sama ada kerana salah memahami konteks pembahasan, atau kerana sengaja ingin membuat kesimpulan seperti itu dalam usaha yang bersungguh-sungguh untuk memfitnah Hizbut Tahrir!
Apa pun, hakikatnya kesimpulan yang dibuat oleh JFNJ itu ternyata salah, kerana Hizbut Tahrir tidak pernah mengingkari takwil! Bagaimana mungkin sejumlah cerdik pandai yang ada dalam JFNJ, kesemuanya boleh membuat kesimpulan yang sama, dan salah dalam pembacaan!? Hal ini hampir mustahil terjadi kecuali telah ada kesepakatan untuk membuat kesimpulan sedemikian atas niat tertentu. Sekali lagi kami ulangi, siapa pun yang mempunyai kebolehan membaca, lalu membaca muka surat 56 berkenaan, atau malah jika ia membaca keseluruhan bab yang berkenaan, nescaya tidak akan menjumpai mana-mana ayat atau indikasi yang menunjukkan bahawa Hizbut Tahrir mengingkari takwil.
Untuk makluman JFNJ, Hizbut Tahrir tidak pernah membahaskan isu takwil secara khusus dalam mana-mana kitab mutabannat-nya. Hanya terdapat sedikit penjelasan dalam kitab Asy-Syakhsiyyah al-Islamiyyah Jilid I, Bab Tafsir, muka surat 287 di mana Hizbut Tahrir menjelaskan pengertian dan perbezaan antara tafsir dan takwil sebagai berikut:
Terjemahan:
“Tafsir adalah penjelasan yang diinginkan (yang dimaksud) oleh lafadz. Sedangkan takwil adalah penjelasan yang diinginkan (yang dimaksud) oleh makna.”
Hizbut Tahrir tidak pernah mengingkari, menolak atau pun mengkritik takwil, melainkan mengkritik manhaj kelompok Mutakallimin yang menjadikan akal, bukannya al-Quran, sebagai asas dalam melakukan takwil. Itulah apa yang disampaikan oleh Hizbut Tahrir dalam muka surat yang berkenaan dan dalam keseluruhan bab berkenaan.
Siapa pun yang membaca bab berkenaan akan dapat memahami dengan mudah akan apa yang disampaikan oleh Hizbut Tahrir. Hizbut Tahrir menjelaskan bahawa dalam membincangkan isu-isu mutasyabihat, golongan Mutakallimin telah terperangkap kerana menjadikan akal sebagai asas dalam melakukan takwil. Sebagai contoh, dalam perbincangan mengenai sifat Allah (swt), golongan Mutakallimin terperangkap apabila mereka meletakkan akal manusia sebagai asas dalam perbincangan mereka mengenai zat dan hubungannya dengan sifat Allah (swt) sehingga pemahaman yang diperoleh tidak menghasilkan kepastian dan ketenangan. Oleh kerana sifat Allah (swt) adalah di luar dari pemahaman akal manusia, sekiranya penakwilan perlu dibuat, ia mestilah datang daripada al-Quran itu sendiri.
Wahai JFNJ! Apakah terlalu susah untuk anda memahami pembahasan yang terdapat dalam kitab Hizbut Tahrir, walhal anda adalah sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada mereka yang berpendidikan? Atau anda sebenarnya berpura-pura tidak memahami, atau sengaja ingin memesongkan fakta? Jika benar anda susah untuk memahaminya, maka ubatnya amat mudah iaitu bertanya, sebagaimana sabda Rasulullah (saw):
فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ
“Sesungguhnya ubat kepada kebodohan adalah bertanya” [HR Abu Daud]
Ketahuilah wahai JFNJ bahawa kami sentiasa terbuka dan bersedia untuk menjelaskan isi kandungan kitab kami kepada anda, kerana kami mempelajarinya dan mengajarkannya, dan kamilah yang paling memahaminya. Namun malangnya anda telah memilih untuk melanggar perintah Allah (swt) dalam bertabayyun! Anda tidak mahu bertabayyun dengan kami, dan anda memilih untuk membuat kesimpulan sendiri mengenai apa yang anda baca, yang hakikatnya jelas menunjukkan niat sebenar anda ke atas Hizbut Tahrir.