Bantahan Fatwa Johor – 4.6b

Muat turun PDF
Isi Kandungan

(b) Kesan dari ketidakstabilan politik ini akan menimbulkan krisis perkauman dan memberi kesan kepada keharmonian dan keamanan negara.

Kami telah pun menjelaskan pada poin sebelumnya bahawa tuduhan JFNJ ke atas Hizbut Tahrir sangat tidak berasas ditinjau dari sudut mana sekali pun. Tidak cukup dengan pendustaan JFNJ ke atas Hizbut Tahrir dengan isu-isu akidah dan fiqh, isu politik pun tidak mahu dilepaskan oleh JFNJ untuk didustakan…Subhanallah! Tuduhan anda ini wahai JFNJ, telah membuka pekung di dada anda sendiri, selain menunjukkan betapa rendahnya tahap kepekaan politik anda terhadap isu-isu yang berlaku di Malaysia.

Anda menuduh kami sebagai mengancam keharmonian dan keselamatan negara. Hakikatnya, sejak masuknya Hizbut Tahrir ke Malaysia, fakta telah pun berbicara, dan sedang berbicara sama ada benar atau tidak tuduhan anda itu. Sesungguhnya fakta tidak pernah berbohong, tetapi manusialah yang suka membohongi fakta! Sudah berapa banyakkah krisis perkauman yang berlaku di Malaysia ini yang disebabkan oleh Hizbut Tahrir wahai JFNJ?

Siapakah yang menyebabkan ketidakstabilan politik di Malaysia?

Biarlah kami mengingatkan anda wahai JFNJ, bahawa negara ini sekarang memang sedang mengalami ketidakstabilan politik, dan semua orang tahu mengenainya; dan ketidakstabilan ini telah lama pun berlaku, dan semua orang juga tahu mengenainya. Manakala kebelakangan ini kita menyaksikan ketamakan dan perebutan kuasa yang begitu dahsyat di Malaysia sehingga rakyat sudah menjadi mual dan muak dengan politik, di samping menyatakan kemarahan mereka yang amat sangat kepada para politikus.

Lebih buruk, perebutan kuasa ini berlaku di saat pandemik COVID-19 melanda Malaysia, dan melanda dunia. Kita menyaksikan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan dan bertakhtanya kerajaan baru yang menggelar diri mereka sebagai Perikatan Nasional yang dipimpin oleh parti Bersatu, tetapi hakikatnya ditunjangi oleh UMNO dengan kerjasama daripada PAS. Semua ini berlaku kerana percaturan politik mereka yang rakus, sehingga mereka sanggup mengkhianati sekutu masing-masing yang sebelum ini tidur sebantal dengan mereka. Lebih buruk, mereka sanggup mengkhianati rakyat yang mengundi mereka!

Kita menyaksikan berlakunya lompat parti dan peralihan sokongan secara drastik dan ugut-mengugut sesama mereka, untuk menukar sokongan, baik dari kalangan ahli-ahli Parlimen mahu pun DUN, yang tidak pernah disaksikan oleh sejarah selama ini! Semua kerakusan dan perebutan kuasa ini berlaku di depan mata rakyat Malaysia, tanpa mereka peduli terhadap kemarahan rakyat, kemuakan rakyat dan kebajikan rakyat. Amat jelas bahawa apa yang dipedulikan oleh ahli-ahli politik ini hanyalah parti masing-masing dan tembolok masing-masing sahaja.

Inilah yang menyebabkan ketidakstabilan politik kebelakangan ini wahai JFNJ, dan jika anda mempunyai penglihatan, anda akan nampak bahawa hal ini tiada kaitan dengan Hizbut Tahrir sedikit pun! Rakyat marah dan meluat, bukan kepada Hizbut Tahrir, tetapi kepada parti-parti politik yang bertanding dalam demokrasi yang telah membentuk pemerintahan mahu pun yang menjadi blok pembangkang. Rakyat marah dan meluat, bukan kepada Hizbut Tahrir, tetapi kepada ahli-ahli politik, yang telah mengkhianati undi mereka dan mementingkan kuasa serta periuk nasi masing-masing. Rakyat kini telah sedar bahawa politikus dalam sistem demokrasi ini sama sahaja, sama-sama tamakkan kuasa dan habuan dunia. Disebabkan para politikus inilah, situasi politik di Malaysia tidak stabil. Seluruh rakyat tahu akan hal ini. Namun anda wahai JFNJ, anda menuduh Hizbut Tahrir yang telah menyebabkan ketidakstabilan politik!  Sungguh ajaib tuduhan anda ini!

Rakyat tidak cukup makan, rakyat kehilangan pekerjaan, rakyat kehilangan punca pendapatan, rakyat menanggung hutang yang tidak mampu dibayar, rakyat hidup dalam kesusahan dan pelbagai penderitaan lainnya, manakala “wakil-wakil” mereka tetap hidup dalam kemewahan. Malah wakil-wakil mereka yang sudah kaya raya itu mendapat kereta baru yang mewah yang segalanya mereka perolehi secara percuma, sedangkan rakyat ingin membeli basikal untuk anak-anak pun tidak mampu! Inilah realitinya yang menyebabkan rakyat meluat dan marah. Apa pun yang menimpa rakyat, ahli-ahli politik demokrasi ini tidak pernah mempedulikan semua itu, kerana habuan dunia adalah segala-galanya bagi mereka. Mereka tetap berebut takhta hingga sekarang! Apakah ketidakstabilan politik ini semuanya merupakan salah Hizbut Tahrir? Di manakah anda meletakkan mata dan hati anda wahai JFNJ?

Tidakkah anda ketahui bahawa jauh sebelum ini pun politik Malaysia tidak pernah stabil. Isu penyelewengan dan rasuah tidak pernah berkesudahan, malah seakan-akan sudah menjadi santapan harian. Rasuah dan penyelewengan ini bukan melibatkan seringgit dua, tetapi berpuluh bilion ringgit yang melibatkan pemimpin-pemimpin besar negara, dan sampai sekarang kes mereka masih lagi berjalan di mahkamah. Isu pembunuhan berprofil tinggi di Malaysia turut menjadi lumrah, dan tidak pernah dapat diselesaikan. Ini belum masuk lagi statistik jenayah yang amat menakutkan saban hari sehingga rakyat hidup dalam ketakutan dan kerisauan. Semua keburukan ini hanyalah secebis berita yang dilaporkan, manakala yang tidak dilaporkan hanya Allah (swt) sahaja yang tahu. Semua ini telah mencetuskan ketidakstabilan politik di Malaysia. Adakah semua ini juga salah Hizbut Tahrir wahai JFNJ?

Sejarah moden Malaysia juga menyaksikan puluhan demonstrasi besar-besaran yang telah berlaku. Orang buta pun tahu tentang berapa banyak demonstrasi anjuran Bersih yang telah menggegarkan negara kerana jumlah demonstran yang luar biasa besarnya. Semua demonstrasi ini menuntut pilihan raya yang bersih, yang bermaksud semua orang tahu bahawa pilihan raya di Malaysia tidak pernah bersih! Ini antara bukti nyata betapa tidak stabilnya politik di Malaysia. Adakah ini semua berpunca daripada Hizbut Tahrir wahai JFNJ?

Ini belum masuk lagi demonstrasi menuntut pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) suatu waktu dulu, demonstrasi menuntut penghapusan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), demonstrasi membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), dan banyak lagi. Dalam pada itu, terdapat pula segelintir pihak berkepentingan yang sengaja mencetuskan siri demonstrasi dan memainkan sesetengah isu demi meraih political mileage. Dengan kata lain, mereka sengaja mencipta ketidakstabilan politik, yang diharap akan memberi keuntungan kepada mereka. Apakah semua ketidakstabilan ini juga disebabkan oleh Hizbut Tahrir wahai JFNJ?

Lebih buruk daripada semua itu, terdapat bukti yang telah pun didedahkan dan diakui sendiri oleh mereka yang terlibat bahawa parti-parti pemerintah dan pembangkang menjalin hubungan dengan Central Intelligence Agency (CIA). Kerjasama ini dijalin bagi mendapatkan sokongan badan perisikan Amerika itu dalam meneguhkan kedudukan politik masing-masing di Malaysia. Begitu juga dengan pendedahan yang dibuat sendiri oleh Presiden International Republican Institute (IRI) yang berpusat di Washington, Daniel Twining bahawa mereka membantu parti pemerintah dan pembangkang di Malaysia, sejak tahun 2002 lagi, bagi memperkuatkan kedudukan masing-masing dalam pilihan raya! Sedangkan Amerika Syarikat merupakan negara kafir harbi dan musuh Islam yang nyata! Apabila perkara ini telah terdedah, politik di Malaysia turut tergoncang. Adakah ini juga salah Hizbut Tahrir wahai JFNJ?

Jika anda memerhatikan politik Malaysia dengan teliti, dan yang paling penting, dengan ikhlas, sesungguhnya anda akan dapati bahawa ketidakstabilan politik di Malaysia ini tidak boleh lepas daripada sistem demokrasi yang diamalkan. Sistem ini mewujudkan manusia yang rakus untuk berkuasa, dan mewujudkan manusia yang tamak haloba dengan habuan yang terhidang apabila kuasa berada di tangan. Sistem ini penuh dengan penipuan, penindasan dan kezaliman, serta sangat mudah untuk dimanipulasi oleh mereka yang berkuasa, demi kepentingan kekuasaan mereka. Sistem ini jugalah yang menyebabkan dan membuka jalan kepada kuffar Barat untuk campur tangan dalam urusan negara. Atas dasar itulah kestabilan tidak pernah wujud dalam sistem ini.

Hizbut Tahrir berjuang untuk mewujudkan politik Islam (siyasah syar’iyyah) yang bersih, yang berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Hizbut Tahrir mahukan politik Islam inilah yang diamalkan oleh semua pihak, khususnya pemerintah. Hizbut Tahrir menjelaskan makna politik yang sebenar menurut Islam iaitu ri’ayah asy-syu’un al-ummah (pengaturan urusan umat) yang bermaksud pemerintah wajib mengatur umat ini dengan hukum-hakam Islam. Manakala tugas-tugas parti politik pula ialah untuk memuhasabah pemerintah sekiranya terdapat kezaliman dan kelalaian dalam pemerintahan mereka. Sekiranya politik seperti ini diamalkan, maka sudah tentu negara akan stabil, kerana tidak ada pihak yang akan saling berebut kekuasaan atau berusaha untuk menjatuhkan atau memburukkan satu sama lain, sebagaimana yang terjadi dalam sistem demokrasi sekarang. Inilah yang diserukan dan diusahakan oleh Hizbut Tahrir iaitu supaya pemerintah, parti politik dan umat Islam, mengamalkan politik Islam, bukannya politik kotor di bawah demokrasi.

Malangnya anda wahai JFNJ, anda telah menyalahkan Hizbut Tahrir sebagai pihak yang mewujudkan ketidakstabilan politik dalam negara! Bukalah sedikit pintu hati anda untuk menerima cahaya kebenaran wahai JFNJ!

Siapa punca krisis perkauman?

Tuduhan JFNJ seterusnya ialah Hizbut Tahrir sebagai punca berlakunya krisis perkauman akibat ketidakstabilan politik yang disebabkan oleh Hizbut Tahrir.

Wahai JFNJ, kami yakin anda memahami bahawa negara Malaysia ini terbina daripada gabungan parti yang diasaskan atas dasar kaum iaitu UMNO, MCA dan MIC yang mewakili tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India. Begitu juga dengan parti-parti lain dari Sabah dan Sarawak yang bertanding dalam pilihan raya yang juga kebanyakannya diasaskan atas dasar kaum. Kewujudan parti baru, termasuklah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), juga atas dasar kaum. Ini belum termasuk puluhan, atau mungkin ratusan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berdiri atau diasaskan atas dasar kaum. Apa yang pasti, kewujudan NGO-NGO ini adalah tidak lepas daripada duluan (precedent) yang telah dicipta oleh parti-parti politik yang berasaskan kaum selama ini.

Setiap kali perhimpunan agung UMNO misalnya, isu ketuanan Melayu akan dibangkitkan. Ini belum masuk lagi acara-acara yang diselenggarakan dari semasa ke semasa atas tema Melayu. Pendek kata, isu ketuanan Melayu, dan apa jua yang terkait dengan bangsa Melayu sering dibincangkan di pelbagai platform. Semua ini menjadi pembakar kepada semangat Melayu. Pendek kata, api perkauman tidak pernah dipadamkan di bumi Malaysia ini. Atas dasar itu kita menyaksikan kaum Cina dan India juga terus memperjuangkan hak mereka dan menuntut kesetaraan, atau setidaknya menuntut lebih banyak keistimewaan sebagaimana yang dikecapi oleh orang Melayu. Pada bulan Oktober 2019 telah diadakan satu Kongres Maruah Melayu yang telah mengumpulkan ramai pemimpin politik Melayu. Kemudian, kaum Cina pula ingin mengadakan Kongres Organisasi Cina sebagai respons terhadap Kongres Maruah Melayu. Kesemua ini menimbulkan sentimen rasisme dan rantaian perkauman yang tidak berkesudahan di Malaysia.

Wahai JFNJ, Hizbut Tahrir-kah yang mencetuskan semua semangat dan isu perkauman ini?

Sudah menjadi tabiat parti atau organisasi mana pun yang berasaskan kaum, bahawa mereka akan sentiasa berjuang dan mengutamakan kaum masing-masing, kerana sememangnya itulah matlamat penubuhan mereka. Malah parti politik yang berasaskan kaum sering memainkan isu-isu perkauman demi meraih sokongan pengikut mereka. Sudah tidak terhitung banyaknya kenyataan yang dikeluarkan oleh parti politik dan NGO Melayu yang telah mencetuskan polemik perkauman, yang tidak perlu kami sebut satu per satu di sini. Adakah mata anda sudah dimasuki oleh debu-debu yang dihembuskan oleh syaitan wahai JFNJ, sehingga anda tidak nampak bahawa parti politik dan NGO Melayu inilah yang sebenarnya telah mencetuskan krisis perkauman, ketidakstabilan politik dan menggugat keharmonian negara, yang semuanya dapat disaksikan di hadapan mata sejak dulu hingga sekarang! Sebaliknya anda menuduh Hizbut Tahrir sebagai pencetus krisis perkauman!

Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang mempunyai sekolah vernakular, yang tidak dapat dinafikan bahawa hal ini sebenarnya telah menyemai dan menyuburkan semangat perkauman dari era persekolahan rendah lagi.

Di samping itu, politik Malaysia juga tidak pernah stabil kerana adanya usaha pihak-pihak tertentu untuk memisahkan Sarawak dan Sabah dari Malaysia. Semua ini adalah berpunca daripada pembinaan negara atas dasar bangsa, serta wujudnya begitu banyak parti dan gerakan-gerakan atas nama bangsa, yang semuanya mencorakkan cara berfikir rakyat ke arah perjuangan bangsa. Jika di Sabah dan Sarawak, sentimen kenegerian sering dimainkan, tidak kurang dengan Johor yang amat terkenal dengan istilah “bangsa Johor”, semua ini telah menambah suburkan lagi sentimen kenegerian, yang semuanya menjejaskan kesatuan dan kekuatan umat Islam. Sedangkan Islam telah mengajar kita bahawa mulianya kita bukan kerana bangsa atau tempat tinggal, tetapi kerana agama (Islam).

Semua perjuangan bangsa ini adalah haram, dan Hizbut Tahrir amat tegas menyatakan keharamannya sejak dahulu hingga kini. Justeru, kami sungguh hairan bagaimana anda boleh memfitnah Hizbut Tahrir sebagai penyebab kepada krisis perkauman tatkala pihak yang menjadi punca kepada krisis ini dapat disaksikan dan diketahui oleh orang buta sekalipun!

Tidakkah anda pernah membaca penulisan atau mendengar ucapan kami bahawa kami mengharamkan perjuangan bangsa, dan menyeru umat Islam agar meninggalkan perjuangan bangsa? Tidakkah anda pernah membaca penulisan atau mendengar ucapan kami bahawa kami menyeru umat Islam agar bersatu atas dasar akidah Islam semata-mata, bukan atas dasar bangsa?

Tidakkah anda mahu sedar wahai JFNJ bahawa semua parti dan organisasi berasaskan perkauman ini hidup subur kerana dibenarkan oleh sistem demokrasi? Sedangkan Islam mengharamkannya dengan sejelas-jelasnya.

Hizbut Tahrir telah menjelaskan dengan terperinci mengenai bahaya nasionalisme (perkauman) dalam kitab kami at-Takatul al-Hizbi, dan dijelaskan di dalamnya bagaimana racun nasionalisme ini sebenarnya telah ditanam oleh Barat ke dalam benak kaum Muslimin sehingga kaum Muslimin berpecah belah, malah sehingga Daulah Khilafah juga hancur kerananya.

Seterusnya dalam kitab kami, Muqaddimah ad-Dustur, kami telah jelaskan dengan terperinci bahawa dalam sebuah Negara Islam, satu-satunya bentuk organisasi yang dibenarkan hanyalah yang berasaskan kepada akidah Islam, bukannya berasaskan selain itu. Hizbut Tahrir membahas Surah Ali Imran ayat 104, satu-satunya ayat di dalam al-Quran yang menjelaskan mengenai kewajipan dan fungsi sebuah “pertubuhan” dalam Islam. Mana-mana pertubuhan yang bercanggah dengan perintah ayat ini adalah haram untuk ditubuhkan, termasuklah pertubuhan yang diasaskan atas dasar kaum, kerana memperjuangkan kaum (ashabiyyah) itu adalah haram dan berdosa. Berikut kami paparkan Fasal ke-21 dalam kitab Muqaddimah ad-Dustur:

Terjemahan:

Fasal 21: Setiap Muslim mempunyai hak untuk menubuhkan parti politik dalam rangka memuhasabah pemerintah dan sebagai jalan untuk mencapai pemerintahan, dengan syarat asas penubuhannya adalah akidah Islam dan segala peraturan yang ditabanninya adalah bersesuaian dengan syariat. Penubuhan parti tidak memerlukan izin. Mana-mana parti yang ditubuhkan bukan atas asas Islam adalah dilarang.

…jika parti itu ditubuhkan untuk menjalankan sesuatu yang diharamkan seperti menyeru kepada perkauman, atau untuk menyebarkan idea yang bertentangan dengan Islam atau seumpamanya, maka penubuhan parti-parti sedemikian adalah dilarang dan akan dicegah oleh negara, dan setiap orang yang terlibat dengannya akan dikenakan hukuman…

Begitulah tegasnya Hizbut Tahrir dalam isu perkauman dan penubuhan parti berasaskan perkauman, sehingga Hizbut Tahrir memasukkannya ke dalam perlembagaan yang dicadangkan oleh Hizbut Tahrir. Ini semua kerana Islam mengharamkannya, selain untuk mengelak berlakunya krisis perkauman. Sejak sekian lama, Hizbut Tahrir-lah satu-satunya parti yang menyeru umat Islam agar meninggalkan perkauman (ashabiyyah), malah menyatakan dengan jelas bahawa haram untuk mengasaskan parti atau gerakan atas dasar perkauman. Hizbut Tahrir tidak pernah memperjuangkan kaum dan mengharamkan parti serta apa jua seruan kepada perkauman. Jadi, bagaimana mungkin anda boleh menuduh Hizbut Tahrir sebagai pencetus krisis perkauman. Di manakah kewarasan anda wahai JFNJ?

Mungkin anda terlepas pandang Sautun Nahdhah yang pernah kami keluarkan khusus tentang isu perkauman ini wahai JFNJ, iaitu keluaran 7 September 2007 (SN138). Jadi kami kemukakan di sini pautannya agar anda dapat membacanya jika anda menginginkan kebaikan dan kebenaran:

https://mykhilafah.com/sn138-assabiyyah-dan-wathaniyyah-pencetus-malapetaka-dan-perpecahan/

Kami petik sedikit apa yang terkandung di dalamnya untuk perhatian anda:

Nasionalisme adalah satu konsep yang bercanggah dengan ajaran Islam kerana ia mengikat dan menyatukan manusia atas dasar bangsa atau keturunan, walhal satu-satunya cara yang benar untuk mengikat dan menyatukan umat Islam adalah berdasarkan ikatan akidah. Bersatu atas dasar jalur keturunan atau bangsa jelas-jelas diharamkan oleh Islam. Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasullullah (saw) bersabda,

“Bukanlah dari kami orang-orang yang menyeru kepada ashabiyyah, berperang atas dasar ashabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyyah”.

Terdapat banyak peristiwa di dalam sirah di mana Rasulullah (saw) mencela mereka yang cuba mempertahankan sikap ashabiyyah ini. Dalam satu kejadian, sekumpulan Yahudi merancang untuk memecahkan kesatuan kaum Muslimin setelah dengki melihat bersatunya Auz dan Khazraj atas dasar Islam. Mereka menghantar beberapa orang pemuda untuk melaga-lagakan Aus dan Khazraj dengan mengungkit semula kisah Perang Bu’ath di mana golongan Aus berjaya mengalahkan Khazraj. Hasilnya terjadilah perkelahian antara Aus dan Khazraj dan hal ini kemudiannya sampai ke pengetahuan Rasulullah (saw). Rasulullah (saw) dengan tegas lalu bersabda,

“Wahai kaum Muslimin, ingatlah kalian kepada Allah, ingatlah kalian kepada Allah! Kenapa kalian mengikuti seruan Jahiliyyah, padahal aku masih berada di tengah-tengah kalian. Dan Allah sebelumnya telah memberi petunjuk kepada kalian dengan Islam, memuliakan kalian dengannya, memutuskan segala kejahiliyyahan dari kalian, menyelamatkan kalian dari kekafiran dan menyatukan hati kalian.” Apabila mendengar sabda Nabi ini, kaum Aus dan Khazraj terus sedar bahawa seruan Jahilliyah adalah tipuan syaitan, dan salah satu dari makar musuh Allah terhadap mereka. Mereka terus menangis dan berpelukan antara satu sama lain. Peristiwa ini merupakan asbabun nuzul Surah Ali Imran (3):102-103. [Sirah Ibn Hisyam].

Biar kami ulangi apa yang sudah sekian lama kami jelaskan dalam penerbitan dan laman sesawang kami mengenai kami – Hizbut Tahrir menerima keanggotaan setiap orang Islam, baik lelaki mahupun wanita tanpa memperhatikan lagi adakah mereka berketurunan Arab atau bukan, berkulit putih ataupun hitam. Hizbut Tahrir adalah sebuah parti untuk seluruh kaum Muslimin dan menyeru mereka untuk mengembang dakwah Islam serta mentabanni aturan-aturan Islam, tanpa memandang lagi kebangsaan, warna kulit, mahu pun mazhab mereka. Hizbut Tahrir melihat semuanya dari pandangan Islam.

Ada pun cara mengikat individu-individu ke dalam Hizbut Tahrir adalah dengan memeluk akidah Islamiyyah, matang dalam tsaqafah Islam yang dibawa oleh Hizbut Tahrir serta mentabanni fikrah dan pendapat-pendapat Hizbut Tahrir. Siapa pun yang ingin menjadi anggota Hizbut Tahrir, maka dia sendirilah yang menentukan dirinya untuk menjadi anggota, setelah sebelumnya dia melibatkan dirinya dengan (pembinaan dan aktiviti dakwah) Hizbut Tahrir, ketika dakwah telah berinteraksi dengannya dan ketika dia telah mentabanni fikrah serta mafahim Hizbut Tahrir. Jadi ikatan yang dapat mengikat anggota Hizbut Tahrir adalah akidah Islamiyyah dan tsaqafah Islamiyyah yang dibawa oleh Hizbut Tahrir yang lahir daripada akidah ini.

Jadi, tidakkah anda nampak wahai JFNJ, bahawa Hizbut Tahrir tidak pernah mengikat anggotanya atas dasar bangsa, kaum, tanahair, atau apa jua kepentingan, tetapi hanya dengan akidah Islam? Ini kerana, perjuangan Hizbut Tahrir bukan atas dasar kaum, dan langsung tidak ada kena mengena dengan perkauman. Malah, dalam perjuangannya, Hizbut Tahrir sentiasa menasihati dan memuhasabah umat Islam agar meninggalkan perjuangan yang berasaskan perkauman, kerana keharamannya dan bahayanya yang boleh memecah-belahkan kesatuan umat Islam.

Oleh yang demikian, kami katakan tanpa berkias kepada anda bahawa, sungguh tidak masuk akal fatwa anda ini wahai JFNJ! Fatwa apakah ini?!

Dari aspek perkauman yang lebih luas, kami ingin bertanya anda wahai JFNJ, tidakkah anda tahu bahawa Hizbut Tahrir adalah satu-satunya parti yang tidak pernah memandang rendah kepada saudara kita, Muslim Rohingya, Muslim Indonesia, Muslim Bangladesh, Muslim Pakistan, Muslim Xinjiang, dan Muslim mana sekalipun. Di saat ramai Muslim di Malaysia yang berburuk sangka dan menolak Muslim Rohingya, Hizbut Tahrir adalah satu-satunya parti yang mengingatkan mereka tentang persaudaraan Islam yang tidak mengenal bangsa atau batas sempadan. Hizbut Tahrir adalah satu-satunya parti yang memuhasabah pemerintah untuk membantu semua Muslim yang tertindas, tanpa mengira bangsa atau tempat tinggal mereka. Malah Hizbut Tahrir adalah satu-satunya parti yang menyeru pemerintah untuk menerima dan memberikan kerakyatan kepada Muslim mana pun yang ingin datang dan menetap di Malaysia. Ini semua kerana Hizbut Tahrir tidak pernah memperjuangkan bangsa, dan Hizbut Tahrir memandang semua Muslim sebagai saudara, dan umat Islam sebagai umat yang satu.

Hizbut Tahrir juga adalah satu-satunya parti yang memuhasabah dan menyeru pemerintah untuk melancarkan jihad fi sabilillah bagi menyelamatkan saudara-saudara kita yang dizalimi dan dibunuh oleh puak kuffar di serata dunia.  Ini kerana perjuangan Hizbut Tahrir bukan berasaskan bangsa, tetapi berasaskan agama semata-mata. Semua Muslim adalah sama di mata Hizbut Tahrir, tanpa mengira bangsa dan tempat tinggal mereka. Semuanya bersaudara dan wajib dibantu dan dipersatukan.

Setelah begini jelas pendirian dan pegangan kami mengenai isu perkauman, apa lagi hujah anda wahai JFNJ? Masihkah anda sanggup membohongi orang ramai dengan fatwa anda bahawa Hizbut Tahrir adalah pencetus krisis perkauman?

Hizbut Tahrir mengancam keharmonian dan keselamatan negara?

Hizbut Tahrir telah bertapak di Malaysia sejak akhir tahun 90-an, bermaksud sudah lebih 20 tahun kami wujud dan beraktiviti di Malaysia. Justeru, kami ingin bertanya anda, sejak akhir 90-an sehinggalah ke hari ini, sudah berapa banyak keselamatan negara terancam di sebabkan oleh Hizbut Tahrir? Sudah berapa banyak kes-kes ketidakharmonian yang berlaku di Malaysia disebabkan oleh Hizbut Tahrir? Sejak akhir 90-an hingga sekarang, sudah berapa banyak nyawa yang melayang, manusia yang cedera dan harta benda yang rosak disebabkan oleh Hizbut Tahrir? Sudah berapa banyak pergaduhan dan rusuhan yang berlaku yang disebabkan oleh Hizbut Tahrir? Sudah berapa banyak kaum-kaum di Malaysia yang berada dalam keadaan tidak selamat dan ketakutan disebabkan oleh Hizbut Tahrir? Sudah berapa banyak kakitangan polis dan tentera serta peralatan keselamatan yang terpaksa ditambah kerana ancaman keselamatan yang disebabkan oleh Hizbut Tahrir?

Malah lebih jauh, kami ingin bertanya soalan-soalan yang sama seperti di atas dalam konteks yang lebih luas, sudah berapa banyak negara di dunia ini yang mengalami hal yang sama disebabkan oleh Hizbut Tahrir?

Jika JFNJ tidak buta mata dan mata hati, dan ada sedikit perasaan malu kepada Allah (swt) dan kepada umat Islam, nescaya JFNJ tidak akan mereka-reka pendustaan seperti ini; nescaya JFNJ dapat melihat ratusan seminar, forum, dialog, muktamar, diskusi dan pelbagai aktiviti lainnya yang telah dianjurkan oleh Hizbut Tahrir, yang semuanya berjalan dengan aman; nescaya JFNJ dapat melihat ratusan himpunan dan demonstrasi yang telah dilakukan oleh Hizbut Tahrir, yang semuanya berjalan dengan aman; nescaya JFNJ dapat melihat semua aktiviti Hizbut Tahrir yang tidak pernah mengancam keselamatan, walau pun ke atas seorang penduduk Malaysia.

Sebaliknya berapa banyak daripada aktiviti Hizbut Tahrir yang telah membantu masyarakat dan juga aktiviti-aktiviti lain yang membawa kebaikan kepada masyarakat, khususnya umat Islam. Namun, kami tidak berminat untuk menyatakannya di sini kerana segala kebaikan yang kami lakukan hanyalah semata-mata kerana Allah (swt), bukannya untuk mendapat nama di sisi anda, atau di sisi mana-mana manusia atau untuk menunjuk-nunjukkannya kepada manusia. Jika anda betul-betul ingin mengetahuinya, insya Allah anda akan mencari dan menemuinya.

Jika JFNJ peka dengan keharmonian dan keselamatan negara, silalah JFNJ bertanya kepada semua cawangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengenali Hizbut Tahrir, atau silalah bertanya kepada Bukit Aman sendiri, mengenai Hizbut Tahrir dan aktiviti yang telah kami jalankan selama kewujudan kami di Malaysia, malah di dunia. Setakat maklumat yang ada pada kami, PDRM sendiri tidak pernah berbohong kepada orang ramai sebagaimana pembohongan yang dilakukan oleh JFNJ. Tidak pernah ada kenyataan rasmi daripada PDRM bahawa Hizbut Tahrir mengancam keharmonian dan keselamatan negara, dan kami berharap PDRM tidak akan melakukan pembohongan seumpama itu. Dalam keadaan PDRM sendiri tidak pernah menyatakan yang Hizbut Tahrir mengancam keharmonian dan keselamatan negara, bagaimana anda boleh mendahului atau “mengambil alih” tugas PDRM untuk menyatakan sedemikian?! Alangkah hebatnya anda wahai JFNJ!

Tidak perlulah kami ceritakan secara terperinci di sini bagaimana PDRM sering memberi kerjasama yang baik kepada Hizbut Tahrir dalam setiap aktiviti kami di lapangan baik demonstrasi, himpunan, serahan memorandum dan lain-lain. Ini kerana PDRM mengetahui bahawa setiap aktiviti kami berjalan dengan aman, tertib dan penuh disiplin. Ini belum mengambil kira ucapan terima kasih daripada PDRM yang kami terima secara tidak rasmi atas kerjasama yang kami berikan kepada mereka dalam setiap aktiviti tersebut.

Kenapa kami lakukan semua aktiviti kami dengan aman, tertib dan penuh disiplin? Bukanlah kami mengharapkan pujian daripada PDRM mahupun orang ramai, tetapi semata-mata kerana kepatuhan kami kepada hukum syarak. Islam tidak pernah melarang kita daripada melakukan semua aktiviti ini (malah ia sebahagian daripada dakwah) asalkan kita tidak melakukan kerosakan atau kejahatan atau apa jua perkara yang melanggar syarak di dalamnya.

Kami ulangi dan ulangi lagi, bahawa segala aktiviti dakwah Hizbut Tahrir adalah secara politik dan intelektual semata-mata, dan inilah apa yang kami lakukan selama ini, dan selamanya insya Allah, kerana kami adalah sebuah parti politik. Haram bagi sesebuah parti politik untuk terlibat dengan kekerasan sebagaimana haramnya untuk melakukan kerosakan, kecederaan atau kekacauan dalam setiap aktivitinya. Haram juga bagi sebuah parti politik, dan bagi Muslim mana pun, untuk mencetuskan ketidakharmonian atau mengancam keselamatan masyarakat. Inilah pegangan kami wahai JFNJ!

Inilah aktiviti yang dilakukan oleh Hizbut Tahrir di seluruh dunia, yakni bergerak secara politik dan intelektual, tanpa kekerasan. Justeru, mustahil aktiviti seperti ini mengancam keharmonian dan keselamatan, kecuali “mengancam” mereka yang bencikan Islam dan “mengancam” mereka yang ingin mengekalkan sistem kufur tinggalan penjajah!

Biar kami jelaskan di sini wahai JFNJ bahawa apa yang berlaku di seluruh dunia ialah para anggota Hizbut Tahrirlah yang sering terancam keselamatan mereka. Dari manakah datangnya ancaman ke atas Hizbut Tahrir jika bukan daripada pemerintah? Dalam keadaan Hizbut Tahrir berdakwah secara fikriyyah (pemikiran) tanpa melibatkan kekerasan sedikit pun, hakikatnya anggota Hizbut Tahrir sering difitnah, dipantau, ditangkap, diheret ke mahkamah, dipenjarakan, diseksa dan ada yang dibunuh dalam penjara-penjara para penguasa yang diktator. Inilah hakikatnya! Kamilah yang sebenarnya berada dalam keadaan tidak harmoni dan terancam keselamatannya.

Dalam keadaan anda menuduh kami mengancam keselamatan negara, hakikatnya kehidupan para anggota kamilah yang sebenarnya yang sering terancam dek perbuatan anda yang memfitnah kami dengan pelbagai fitnah yang sangat keji! Dengan fitnah ini, anda mengharapkan yang masyarakat akan membenci dan menjauhi kami. Dengan fitnah ini anda mengharapkan yang anda boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas kami, malah anda mengharapkan yang PDRM juga akan mengambil tindakan terhadap kami…inilah apa yang anda harapkan! Dengan fitnah ini anda berharap yang anda akan dapat menangkap kami dan seterusnya mengheret kami ke mahkamah untuk dihukum…inilah apa yang anda harapkan! Dengan fitnah ini, anda mengharapkan yang umat Islam akan memandang buruk terhadap kami dan mencemuh kami…inilah apa yang anda harapkan!

Namun, ingin kami tegaskan di sini bahawa walaupun seribu macam ancaman yang datang kepada kami dalam usaha jahat siapa jua untuk menakut-nakutkan kami dan menghentikan dakwah kami, cukuplah Allah (swt) sebagai Pelindung kami, dan Dia-lah Yang Maha Membalas perbuatan pihak yang mengancam kami. Kepada-Nya kami serahkan segala urusan.

﴿الَّذِينَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ﴾

(Iaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan: “Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka”, maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: “Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung” [Ali Imran (3): 173].