Bapa Pluralisme Sudah Dipanggil Menghadap Tuhannya

altGus Dur tetap dikenang
BELIAU merupakan seorang pemimpin yang tidak gentar sama sekali untuk mengatakan sesuatu yang diyakininya benar. Malah, lelaki itu sanggup berbeza pendapat dengan orang lain semata-mata untuk menghidupkan demokrasi sebenar di Indonesia.  Begitupun, dalam keseriusan membicarakan perjuangan Republik Indonesia ke arah negara lebih demokrasi, beliau dianggap sebagai seorang peramah dan suka berjenaka.  Bahkan anak sulung daripada enam beradik keluarga Islam berpengaruh di Indonesia itu, Abdurrahman Wahid atau lebih akrab dengan panggilan Gus Dur telah menggemparkan dunia apabila menjadi Presiden Republik Indonesia keempat dari tahun 1999 hingga 2001.  Ini kerana pada awal tahun 1998, Gus Dur telah diserang strok sehingga mengakibatkan penglihatannya semakin buruk. Sekali gus membuatkan media Barat melabelkannya sebagai nyaris buta.  
Gus Dur telah memenangi 11 peratus daripada jumlah undi dalam pilihan raya umum (Pemilu) pada tahun 1999. Sedangkan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) memenangi 35 peratus.   Bagaimanapun, keputusan itu tidak menjamin pemilihan Megawati Sukarnoputri sebagai Presiden. Ini disebabkan kuasa untuk memilih Presiden dan Naib Presiden pada peringkat itu masih dalam tangan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR).   Sewaktu MPR memulakan persidangan pada Oktober 1999, Pengerusi MPR, Amien Rais telah menubuhkan sebuah parti campuran terdiri daripada parti-parti Islam dan Golkar, dikenali sebagai Paksi Pusat.   Parti campuran itu telah mencalonkan Gus Dur sebagai presiden dan beliau berjaya menewaskan Megawati dalam pilihan raya Presiden demokrasi yang pertama di Indonesia.  

Disebabkan penyokong-penyokong Megawati mula merusuh selepas menerima berita berkenaan, Gus Dur telah melantik Megawati sebagai Naib Presiden untuk meredakan keadaan.   Pengasas Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) itu, sebuah parti politik yang berasaskan Islam, menggantikan Presiden B.J. Habibie setelah dipilih oleh MPR.

Tokoh pemikiran Islam moden

Tidak sampai sebulan Gus Dur mengepalai tampuk pemerintahan Republik Indonesia, beliau telah mencetuskan kontroversi apabila menyifatkan para anggota legislatifnya seperti budak berada dalam taman kanak-kanak.   Beliau turut mengatakan akan menjalin hubungan perdagangan dengan Israel, negara yang dibenci kebanyakan orang di Indonesia sehingga mengundang reaksi keras daripada beberapa komponen Islam di negara berkenaan.  Anak kelahiran Denanyar, Jombang, Jawa Timur itu merupakan bekas pemimpin pertubuhan Nadhlatul Ulama (NU) dari tahun 1984 hingga 1999. Mempunyai pengikut hampir 40 juta orang, Gus Dur ialah seorang tokoh pemikiran Islam moden yang tidak pernah membezakan golongan masyarakat, selain menjadi pejuang kaum minoriti sehingga digelar Bapa Pluralisme.  

Gus Dur bertanggungjawab menghapuskan pengharaman ke atas kaum Tionghua untuk menyambut Tahun Baru Cina serta membubarkan Kementerian Maklumat Negara yang menyekat kebebasan akhbar selama berdekad-dekad, selain menggalakkan perkembangan kegiatan intelek dan seni.  Lelaki bertubuh gempal itu juga dikatakan mempunyai kiai-kiai khas yang didakwa memainkan peranan yang cukup penting dalam pemerintahannya. Sehinggakan ketika pertama kali hendak menjejak kaki ke Istana Merdeka selepas dilantik sebagai Presiden, Gus Dur menggunakan khidmat mereka kononnya untuk ‘mencuci’ kekuatan jahat penguasa sebelumnya.  Ketika menjadi Presiden, Gus Dur juga menjalani amalan dan upacara tertentu. Selain mengunjungi kiai yang dikatakan mempunyai karomah pada setiap Jumaat, beliau akan mengundang sekurang-kurangnya lima kiai ke Istana Merdeka untuk berwirid, membaca surah al-Ikhlas, surah Yasin, al-Kahfi serta mendoakan keselamatannya.    Setiap malam, pasti ada seorang atau dua orang kiai yang ditemui oleh Gus Dur selepas pukul 11 malam. Secara peribadi, Gus Dur sendiri mempunyai amalan khusus. Dalam keadaan tidak menentu dan perasaan tidak tenang, beliau melakukan banyak wirid.  Gus Dur yang gemar berjoging juga kerap membaca surah Yasin sebanyak tiga kali dan ayat Kursi tujuh kali pada setiap malam, khususnya malam Rabu. Manakala pada malam Jumaat Gus Dur membaca surah al-Kahfi sebanyak 11 kali.  

Perjuangan Gus Dur memegang tampuk pemerintahan Republik Indonesia tidak kekal lama disebabkan serangan penyakit angin ahmar dan tuduhan rasuah. Akhirnya, beliau disingkirkan daripada jawatan itu oleh MPR dan pimpinannya digantikan oleh Megawati Sukarnoputri pada 23 Julai 2001.  Setelah tidak lagi memegang jawatan nombor satu Indonesia, Gus Dur kembali kepada kehidupan asalnya.    Beliau meninggal dunia ketika usia 69 tahun pada pukul 6.45 petang pada hari akhir tahun 2009 di Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo (RSCM).
Sumber toleransi

Kesihatan Gus Dur dilaporkan merosot ketika menziarahi kubur Ibu Nyai Fatah di Pesantren Bahrul Ulum Tambak Beras, Jombang, Jawa Timur pada 24 Disember tahun lalu. Kemudian dia dikejarkan ke Hospital Swadana Jombang sebelum dipindahkan ke Hospital Cipto Mangunkusumo pada 25 Disember.    Gigi Gus Dur dicabut berikutan gusinya yang membengkak, serta terpaksa menjalani rawatan dialisis di hospital sama.  Pengarah Hospital Cipto Mangunkusumo, Akmal Taher berkata, Gus Dur meninggal dunia akibat kegagalan jantung, ginjal dan masalah gula dalam darah.

Beliau meninggalkan seorang balu, Sinta Nuriyah dan empat orang anak perempuan iaitu Alisa Qortrunnada Munawarah (Lisa), Zannuba Arifah (Venny), Anisa Hayatunufus (Nufus) dan Inayah Wulandari (Ina).   Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pada akhir upacara pengebumian negara untuk Gus Dur di Pondok Pesantren Tebu Ireng, Jombang, Jawa Timur baru-baru ini, menyifatkan bekas Presiden Indonesia itu sebagai tokoh utama yang mendorong kepada perubahan demokrasi.  

“Gus Dur menyatukan masyarakat majmuk daripada pelbagai etnik, daerah dan agama. Sesungguhnya dia ialah bapa pluralisme dan multi-kulturalisme. Selama masa kepemimpinannya pada 1999-2001, Gus Dur meletakkan kebijaksanaan yang bukan saja mengakhiri diskriminasi tapi juga memuliakan pelbagai bentuk kemajmukan itu,” kata Susilo.  Baginya, Gus Dur banyak memberi teladan mengenai Islam sebagai sumber perdamaian dan toleransi. Sehingga menginspirasi banyak tokoh sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.  “Beliau juga tercatat sebagai peletak dasar dan perkembangan demokrasi di Indonesia. Pada awal tahun 1990-an, Gus Dur bersama tokoh-tokoh lain mendirikan Forum Demokrasi yang menyemaikan gagasan-gagasan strategik bagi demokrasi dan pembangunan.   “Gus Dur ialah salah seorang guru dan putera terbaik bangsa yang telah memberi pengabdian terbaiknya. Sama ada kepada pertubuhan Nahdlatul Ulama (NU) yang dipimpinnya selama 15 tahun, mahupun kepada bangsa Indonesia,” tambah Susilo.    Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula mengungkapkan Gus Dur sebagai seorang patriotik, nasionalis yang berjuang untuk Indonesia dan agama Islam.  “Walaupun ada ketikanya tidak bersetuju dengan pandangan beliau, tetapi saya tetap hormat padanya.   “Gus Dur selalu ada cerita lucu untuk diceritakan kepada kami walaupun pada ketika itu kami sedang berbincang perkara yang serius,” jelas Tun Dr. Mahathir.   Dalam pada itu, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Mohamad Agus Yusuf berkata, Gus Dur merupakan seorang pemimpin Islam liberal yang mempunyai pengaruh dan aura tersendiri.   “Pendekatan Islam liberal dibawa Gus Dur bukan sahaja diterima oleh rakyat Islam Indonesia, malah mereka yang bukan beragama Islam sehingga menyebabkannya berjaya memenangi pilihan raya,” katanya.  Dalam menghadapi ancaman terorisme, beliau muncul sebagai pemimpin Islam liberal dan berpengaruh. Tidak hanya di Indonesia tetapi di peringkat antarabangsa. 

“Gus Dur juga mempunyai sikap terbuka yang menjadikan Indonesia lebih terbuka. Namun dari segi pembangunan, tidak banyak perubahan yang dilakukan,” ujarnya.   Gus Dur yang dilahirkan pada 4 Ogos 1940 menuntut di Sekolah Menengah Ekonomi Pertama (SMEP) di Gowongan, Yogyakarta, Indonesia pada tahun 1953.    Sewaktu berumur 22 tahun pada tahun 1962, Gus Dur melanjutkan pendidikannya di Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau juga sempat mempelajari sastera dan ilmu sosial di Fakulti Sastera Universiti Baghdad. Iraq. Dari Baghdad, beliau kembali ke Indonesia pada tahun 1974 dan memulakan karier sebagai cendekiawan dengan menulis sejumlah kolum di pelbagai media massa tempatan.  Gus Dur merupakan idola kepada ramai rakyat negara republik berkenaan khususnya bagi keempat puterinya. Jasa beliau dalam menghidupkan demokrasi sebenar di Indonesia pasti akan dikenang oleh semua rakyat Indonesia.

Sumber: KOSMO 08/01/10

Bapa Pluralisme Sudah Dipanggil Menghadap Tuhannya…

Bagi seorang muslim hanya Islamlah satu-satunya agama yang diredhai dan diterima oleh Allah SWT. Keyakinan itu muncul dari aqidah Islam yang dimiliki oleh setiap muslim. Islam telah menyatakan secara jelas melalui al-Quran dan As-Sunnah bahawa hanya Islamlah satu-satunya agama yang diterima oleh Allah SWT. Maka dengan itu sudah pasti tidak akan ada dalam kamus hidup seorang muslim bahawa Islam dan agama yang lain adalah setara dan semuanya menyeru kepada kebaikan.

Hakikatnya, inilah pemahaman dan keyakinan golongan yang telah terjebak dengan idea pluralisme. Pluralisme sering diertikan sebagai suatu fahaman yang mentoleransikan adanya berbagai-bagai pemikiran, agama, kebudayaan, peradaban dan lain-lainnya. Kemunculan idea pluralisme ini didasarkan pada suatu keinginan untuk melenyapkan ‘dakwaan kebenaran’ (claim of truth) yang dianggap menjadi pemicu dan pencetus kepada munculnya sikap ekstrem, radikal, konflik dan juga perang serta penindasan atas nama agama. Menurut golongan pluralisme ini, konflik dan kekerasan dengan mengatasnamakan agama akan hilang dan lenyap jika masing-masing agama tidak lagi menganggap agamanyalah sahaja yang paling benar.
Inilah hakikat dari idea pluralisme yang saat ini dipropagandakan di dunia umat Islam hari ini oleh Barat melalui berbagai cara termasuk media dan agen-agennya yang dipopularkan dan yang dipertokohkan oleh mereka. Dari idea pluralisme inilah kemudiannya muncul gagasan lain yang menjadi ikutan seperti dialog antara agama, doa bersama, merayakan hari perayaan agama-agama lain oleh umat Islam dan sebagainya. Pada sudut politik pula, pluralisme didukung oleh polisi pemerintah yang menyuburkan  idea hak asasi manusia dan idea demokrasi. Negara memberikan jaminan sepenuhnya kepada setiap warga negara untuk beragama, untuk murtad bahkan untuk mendirikan agama baru. Bahaya idea pluralism ini adalah akan terhapus identiti agama, terutama Islam. Bagi Islam, Barat berusaha menafsirkannya semula. Sebagai contoh, jihad yang secara syar’i bermakna perang melawan orang-orang kafir yang menghalang dakwah diertikan hanya sebatas usaha bersungguh-sungguh. Pemakaian hijab (jilbab) oleh Muslimah dalam kehidupan umum diabaikan demi kerana “menjaga wilayah umum yang sekular dari campur tangan agama.” Lebih jauh dari itu, perjuangan untuk menegakan syariah Islam dalam kehidupan bernegara pun akhirnya terus dicegah kerana dianggap boleh mengancam pluralisme.

Ringkasnya, pluralisme menegaskan bahawa sekularisme (pemisahan agama dari kehidupan) perlu wujud. Bahaya lain pluralisme ini adalah munculnya agama-agama baru yang di’hasilkan’ dari berbagai agama yang ada. Maka muncullah sejumlah aliran sesat seperti Qadiyani, Ayah Pin, Ajaran Rasul Melayu dan sebagainya. Dengan alasan pluralisme jugalah, pendokongnya menolak larangan terhadap berbagai aliran tersebut, meskipun ia bererti menoda dan memperleceh Islam. Pluralisme juga tidak dapat dilepaskan dari agenda penjajahan Barat melalui isu globalisasi. Globalisasi merupakan usaha penjajah Barat untuk mengglobalkan nilai-nilai Kapitalismenya, termasuk di dalamnya gagasan “agama baru” yang bernama pluralisme agama. Oleh kerana itu, jika kita menerima pluralisme agama berarti kita mesti sanggup menerima Kapitalisme itu sendiri. Inilah di antara bahaya yang terjadi, yang sesungguhnya telah dan sedang mengancam kaum Muslimin saat ini ketika umat Islam kehilangan Khilafah Islamiyah sejak hampir satu abad yang lalu. Hakikatnya Khilafahlah kepemimpinan umum bagi kaum Muslimin yang menerapkan Islam, melindungi akidah Islam serta menjaga kemuliaan Islam dari berbagai noda, termasuklah pluralisme. Dan hari ini ada di kalangan umat Islam itu sendiri yang saat matinya dia membawa gelaran Bapa Pluralisme. Maka apakah kesudahannya?