Bawa masuk syarikat pembekal senjata kepada Yahudi: Malaysia sudah hilang perasaan

Kemasukan syarikat Lockheed Martin, MBDA (BAE Systems), Aim Point, Colt, L3Harris, Leupold, Shield AI dan Leonardo yang menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia 2024 (Natsec) di Kuala Lumpur baru-baru ini, telah mengundang kritikan keras ke atas kerajaan Malaysia.

Pameran tersebut merupakan acara dwitahunan yang kini memasuki edisi ke-18, dan ia dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pertahanan yang melibatkan 1,324 syarikat dari 60 buah negara yang mempamerkan aset ketenteraan dan teknologi keselamatan canggih masing-masing.

Ramai yang mempersoalkan bagaimanakah syarikat-syarikat tersebut boleh “terlepas masuk” ke Malaysia? Hampir mustahil untuk menyatakan bahawa Kementerian Pertahanan tidak melakukan semakan dan saringan terhadap semua syarikat yang diundang ke acara tersebut.

Dalam jawapannya sebagaimana dilaporkan, Perdana Menteri Malaysia menyatakan bahawa selagi syarikat tersebut tidak didaftarkan di “Israel”, maka beliau tidak ada masalah untuk membenarkan syarikat-syarikat tersebut masuk ke Malaysia.

Nampaknya, inilah “level” sensitiviti Perdana Menteri Malaysia dalam isu ini. Jadi, tidak salahlah untuk kita menyatakan bahawa “kelantangan” Malaysia mendukung Palestin hanyalah retorik semata-mata.

Dalam laman web rasminya, Lockheed Martin berkata ia “bangga” dalam peranannya mempertahankan keselamatan Israel. “Pesawat C-130 dan F-16 kami telah berkhidmat dengan setia untuk tentera udara Israel sejak 1970-an dan 1980-an, dan apabila Surat Perjanjian ditandatangani pada Oktober 2010, Israel menjadi negara pertama memilih F-35 melalui proses Jualan Ketenteraan Asing kerajaan AS,” kata syarikat itu.

Sungguh jelas bahawa bukan sahaja sensitiviti, malah perasaan malu pun sudah hilang daripada jiwa penguasa seperti ini. Namun, semua ini bukanlah suatu yang pelik kerana apa sangatlah dengan membawa masuk syarikat-syarikat pembekal senjata kepada entiti Yahudi itu, jika lebih 30,000 nyawa umat Islam yang melayang di Gaza pun tidak dipedulikan. Apa yang penting bagi Malaysia ialah RM yang mengalir masuk bersama dengan kemasukan syarikat-syarikat tersebut.

Umat Islam di Malaysia telah melakukan pelbagai upaya untuk memboikot segala produk yang terkait dengan entiti Yahudi, yang semuanya dilakukan dalam rangka untuk tidak mahu “menyumbang” apa jua peluru terhadap entiti haram tersebut.

Malangnya pemimpin mereka mengundang masuk syarikat-syarikat yang bukan sahaja membekalkan peluru, malah segala persenjataan dan kenderaan perang untuk si Yahudi membantai umat Islam.

Beginilah keadaan umat Islam apabila mempunyai penguasa yang sudah tidak mempunyai perasaan. Semoga umat Islam semakin sedar dan menolak penguasa seperti ini.

Sesungguhnya Palestin tidak akan terbebas di bawah penguasa seperti ini, yang jelas-jelas telah melakukan pengkhianatan terhadap Tanah Yang Diberkati itu.

Palestin hanya akan terbebas dengan jihad fi sabilillah oleh tentera kaum Muslimin, yang jika tidak terealisasi sekarang, insya Allah akan pasti terealisasi apabila tegaknya Khilafah sedikit masa lagi.

Wallahu a’lam.