Belasungkawa HTM Atas Pemergian Abd Samad bin Abd Rahaman (Pak Samad)
Keluarga besar Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) mengucapkan takziah atas pemergian salah seorang anggotanya, Sdr. Abd Samad bin Abd Rahaman (Pak Samad) yang telah meninggal dunia sekitar jam 2.00 pagi (15/5/2024) di kediaman beliau di Pagoh, Muar pada usia 72 tahun (1952 – 2024).
Jenazahnya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Maimon, Parit Sulong, Batu Pahat, Johor sekitar jam 11.00 pagi hari yang sama. Beliau meninggalkan seorang balu dan 7 orang anak.
Sejak menyertai HTM sekitar tahun 2004, beliau sentiasa gigih dan aktif melakukan dakwah di kalangan keluarga dan rakan-rakannya. Setiasa melibatkan diri dengan program-program dakwah anjuran HTM. Walapun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan kesulitan di dalam melakukan dakwah, beliau tetap sentiasa tenang dan tabah menghadapinya.
Setelah bertahun-tahun berpegang teguh dengan kebenaran di dalam jalan perjuangan, akhirnya takdir Allah SWT telah menentukan segala-galanya. Beliau telah beberapa kali menerima rawatan di hospital dan yang terakhir dikesan menghidap kanser dan komplikasi organ dalaman sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas arwah dan menerima segala amal beliau serta menempatkan beliau bersama-sama para anbiya, para syuhada dan orang-orang yang soleh. Kami di sini akan selalu merindui kepergiannya.
Amiin ya rabbal ‘alamin.