Belasungkawa HTM Atas Pemergian Ustaz Ismail bin Mansur (Ustaz Abu Abbas)

Keluarga besar Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) mengucapkan takziah atas pemergian salah seorang anggotanya, Ustaz Ismail bin Mansur (Ustaz Abu Abbas) yang telah kembali ke rahmatullah pada 1:10 pagi, 18 Februari 2025 di kediaman beliau di Muar, Johor pada usia 65 tahun (1960 – 2025) setelah sekian lama berjuang melawan kanser prostat. Jenazah beliau telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam al-Manar, Parit Sakai Darat, Muar, Johor sekitar 11:30 pagi hari yang sama. Beliau meninggalkan seorang balu, tujuh orang anak, dan dua puluh orang cucu.

Ustaz Abu Abbas mula menyertai Hizbut Tahrir sejak tahun 1997 dan sepanjang lebih dua dekad berada dalam perjuangan ini, beliau adalah sosok yang tekun, sabar, dan tidak mengenal lelah dalam menyampaikan seruan Islam. Pernah memegang amanah sebagai kepimpinan di daerah beliau berdakwah, beliau aktif menyampaikan tazkirah, menjadi panel forum, membentangkan kertas kerja dalam konferens, serta membina jaringan dengan tokoh-tokoh masyarakat bagi memperkukuh usaha dakwah.

Sebagai seorang pendidik, beliau dikenali sebagai seorang guru pengajian Bahasa Arab al-Quran Kaedah Harfiyyah di sekitar Muar, Johor. Keilmuannya dalam bahasa Arab bukan sekadar untuk pengajaran, tetapi juga sebagai wasilah untuk mendidik umat memahami Islam secara mendalam. Dakwahnya tidak terbatas kepada bilik kuliah dan masjid, bahkan beliau sering turun ke lapangan, menyampaikan seruan dengan penuh kesungguhan dan kasih sayang.

Sesungguhnya, pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat perjuangan ini. Namun, kami yakin bahawa segala ilmu, amal, dan usaha dakwah yang beliau tinggalkan akan terus memberi manfaat dan menjadi saksi di hadapan Allah SWT.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas beliau, mengampuni dosa-dosanya, menerima segala amalnya, serta menempatkan beliau bersama para anbiya, syuhada, dan orang-orang yang soleh di dalam syurga-Nya.

Amiin ya Rabbal ‘alamin.