Bencana Ideologi Akibat Kejatuhan Daulah Khilafah: Sekularisme
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. [Surah Adz-Dzaariyaat (51): 56]
Islam ialah agama yang sempurna lagi menyeluruh yang mengurus segala aspek kehidupan baik aqidah, ibadah, kehidupan bermasyarakat dan adat budaya. Maka dalam merealisasikan perintah surah adz-Dzaariyaat ayat 56 di atas, wajarlah Allah SWT mewajibkan kewujudan negara(daulah) untuk merealisasikan semua aturan hukum-hakam tersebut. Sebab, tanpa daulah mustahil segala aturan bermasyarakat dan bernegara tersebut boleh diwujudkan dan disempurnakan.
Sangat tepat pandangan Imam Al-Ghazali mengenai betapa strategiknya kewujudan Khilafah bagi penerapan dan penjagaan hukum Islam:
“…agama adalah tiang (asas) dan kekuasaan adalah penjaganya. Segala sesuatu yang tidak bertiang nescaya akan roboh dan segala sesuatu yang yang tidak berpenjaga nescaya akan hilang lenyap.”
Maka ketika runtuhnya institusi Khilafah selaku penjaga Islam pada 3 Mac 1924, maka lenyaplah Islam sebagai dasar yang mengatur masyarakat dan negara. Runtuhnya Khilafah menjadi ummul jara’im, yakni punca segala malapetaka, kejahatan, dosa dan kerosakan yang menimpa umat Islam. Sungguh melelahkan kalau kita ingin mengira betapa banyaknya malapetaka dan kejahatan akibat hancurnya Khilafah. Salah satu antara sekian banyaknya malapetaka iaitu malapetaka ideologi iaitu SEKULARISME.
Umat Islam terjerumus ke dalam sistem kehidupan berasaskan fahaman sekularisme
Secara terminologi sekularisme ialah doktrin atau praktik menafikan peranan agama dalam fungsi-fungsi negara.
Menurut Webster Dictionary sekularisme adalah: “A system of doctrines and practices that rejects any form of religious faith and worship” (Sebuah sistem doktrin dan praktikal yang menolak sebarang bentuk kepercayaan dan ibadah keagamaan)
Menurut Kamus Dewan edisi keempat pula, sekularisme didefinisikan sebagai: (sékularisme) faham (doktrin, pendirian dan sebagainya) yang menolak nilai-nilai keagamaan dalam kehidupan sosial manusia.
Jadi secara ringkasnya, sekularisme ini bermaksud fahaman pemisahan agama daripada kehidupan (faslud din ‘an al hayah) yang seterusnya memisahkan agama daripada politik dan negara.
Kenyataannya, memang itulah yang berlaku dalam dunia umat Islam hari ini hasil dakyah kuffar barat sejak zaman kemunduran Khilafah, seterusnya zaman imperialisme penjajahan dan pasca selepasnya. Kehidupan umat Islam secara bermasyarakat dan bernegara hari ini sememangnya membelakangi al-Quran dan as-Sunnah sehingga sekian banyak hal haram wujud dalam masyarakat dan banyak kewajipan ditinggalkan.
Secara ideologi, sekularisme merupakan akidah (dasar pemikiran) yang menyeluruh mengenai alam semesta, manusia dan kehidupan. Dengan demikian, sekularisme merupakan qiyadah fikriyyah (kepimpinan pemikiran) peradaban barat yang menentukan arah dan pandangan hidup bagi manusia dalam kehidupannya. Sekularisme juga menjadi kaedah pemikiran ideologi Kapitalisme yang kemudian muncul pemikiran-pemikiran lainnya seperti demokrasi, nasionalisme, liberalisme, hak asasi manusia dan sebagainya.
Maka sangat jelas bahwa fahaman sekularisme menjadi akar tunjang kepada ideologi kapitalisme kerana sekularisme menjadi akidah yang menjadi induk bagi lahirnya berbagai isme dalam peradaban barat. Maka barangsiapa tegar menerima sekularisme, secara tidak langsung dia telah menerima semua pemikiran barat secara keseluruhan.
Umat Islam wajib berpaling daripada sekularisme
قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
“Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” [Surah al-An’aam (6): 162]
Mustahil seorang yang melantunkan kalimah di atas setiap kali menunaikan solat dalam masa yang sama meletakkan sekularisme sebagai dasar pemikirannya. Sebab akidah Islam mewajibkan penerapan syariat Islam pada seluruh aspek kehidupan baik individu, pemerintahan, ekonomi, hubungan antarabangsa, muamalah dalam negeri dan undang-undang. Kerana itu, wajarlah Islam ada kewajipan mendirikan Negara Khilafah Islamiyah.
Sabda Rasulullah SAW:
وَمَنْ مَاتَ وَلَيْسَ فِي عُنُقِهِ بَيْعَةٌ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً
“…dan barangsiapa mati sedangkan di lehernya tidak ada baiat (kepada Khalifah) maka dia mati dalam keadaan mati jahiliyah.” [HR Muslim]
Daripada dalil seperti inilah, para imam mewajibkan kewajipan Khilafah. Abdurrahman Al Jaziri berkata:
“Para imam (Abu Hanifah, Malik, Asy Syafi’i, dan Ahmad) –rahimahumulah— telah sepakat bahwa Imamah (Khilafah) adalah fardhu, dan bahwa tidak boleh tidak kaum muslimin wajib mempunyai seorang Imam (Khalifah)…”
Mohammad Haswaneezal
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia