Berita palsu subur dalam politik demokrasi ala Machiavelli

Kerajaan bercadang untuk membentangkan draf undang-undang baru bagi membendung berita palsu kepada kabinet dalam masa terdekat.  Terdahulu, sebuah jawatankuasa khas mengenai berita palsu telah ditubuhkan pada 30 Januari lalu di bawah Jabatan Perdana Menteri. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu perlu diselesaikan dengan segera kerana ia berkait rapat dengan keselamatan negara, tidak hanya berpaksikan politik semata-mata. Sementara itu, Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak pula menyatakan bahawa undang-undang berita palsu yang dicadangkan itu bertujuan untuk melindungi semua pihak termasuk pembangkang dan memberi jaminan bahawa undang-undang yang dicadangkan tersebut tidak akan disalahgunakan sebagai senjata politik kerajaan [Sumber: Astro Awani, diakses pada 8 Februari 2018].


Komentar:

Dalam dunia politik demokrasi yang meletakkan manfaat sebagai matlamat yang ingin dicapai, penyebaran berita palsu menjadi salah satu pendekatan yang diguna pakai bagi membentuk persepsi negatif terhadap seteru politik masing-masing. Demi meraih sokongan serta memburukkan reputasi seteru juga, segelintir pihak sanggup menyebarkan berita yang direka-reka tanpa disandarkan kepada sebarang fakta. Soal dosa pahala tidak lagi menjadi ukuran, selagi mana penyebaran berita palsu atau fitnah tersebut berjaya menjatuhkan kredibiliti lawan. Inilah yang menjadi amalan bagi sesetengah pihak dalam politik demokrasi ala Machiavelli yang berpaksikan kepada prinsip ‘matlamat menghalalkan cara’.

Sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat dan media sosial, berita-berita palsu sebegini semakin mudah untuk tersebar, apatah lagi jika dikaitkan dengan pihak yang dimusuhi atau yang mengancam kepentingan peribadi. Lebih mengharukan apabila ada pihak yang beralasan bahawa mereka menyebarkan berita ini kononnya bertujuan untuk mendapatkan pengesahan, atau sebagai peringatan agar orang ramai mengambil langkah berhati-hati. Sedangkan Rasulullah SAW telah mengingatkan kita melalui sabda baginda SAW;

كَفَى بِالْمَرْء كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

“Cukuplah seseorang dikatakan berdusta, jika ia menceritakan setiap yang dia dengar,”[HR Muslim].

Dalam pada itu, berita-berita palsu atau hoax ini juga digunakan bagi mewujudkan panik dalam kalangan masyarakat, di samping ada juga yang ingin mendapatkan kunjungan yang banyak ke laman web tertentu bagi tujuan meraih keuntungan (click bait). Apa pun tujuannya, pastinya penularan berita palsu sebegini boleh menggugat kestabilan sesebuah negara di samping berpotensi mencetuskan huru-hara akibat permainan persepsi demi meraih manfaat tanpa mempedulikan soal dosa pahala.

Selaku seorang Muslim, bagi mendepani isu berita palsu ini kita hendaklah mengambil langkah berhati-hati serta tidak menerima bulat-bulat sebarang berita yang sampai kepada kita tanpa memeriksa terlebih dahulu kesahihannya. Umat Islam sewajarnya melakukan tabayyun (meneliti dan memeriksa kesahihan) terhadap sebarang maklumat atau berita yang diterima, meskipun berita tersebut datang daripada pihak berkuasa mahupun kerajaan. Kita juga perlu mengamalkan nilai integriti yang tinggi dan tidak sepatutnya membuat berita palsu dan menyebarkannya demi mencapai kepentingan tertentu.

Walaupun langkah mewujudkan jawatankuasa dan cadangan undang-undang baru bagi menangani berita palsu oleh pihak kerajaan ini kelihatan baik, namun kerajaan tidak sewajarnya berhenti setakat ini sahaja. Kerajaan juga perlu telus dalam memastikan kebenaran dapat disebarkan tanpa berselindung di sebalik akta-akta seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas dalam hal ini.

Dalam masa yang sama, persoalan yang timbul adalah sejauh manakah kita boleh mempercayai jaminan Salleh Said Keruak bahawa undang-undang ini tidak akan disalahgunakan oleh kerajaan? Lihatlah pada track record kerajaan sebelum ini, kita dapat lihat bagaimana begitu banyak akta-akta buatan manusia ini disalahgunakan demi menjaga survival politik pihak-pihak yang berada di koridor kekuasaan. Wallahua’lam.

Muhammad Fauzi
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia