Bila Tiba Pilihan Raya Kerajaan ‘Murah Hati’ Berbelanja

Usah dengar dakyah pembangkang

PORT DICKSON 4 Okt. – Tiada keretakan atau perselisihan antara Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.  Ia hanya dakyah yang dilempar pembangkang untuk mengelirukan pengundi di kawasan ini.  Sehubungan itu, Mohamad minta pengundi tidak terpengaruh dengan dakyah tersebut.   ”Itu tidak betul. Jangan dengar dakyah yang cuba meretakkan hubungan baik antara saya dengan Mohd. Isa,” kata Mohamad.  

Menurut Pengerusi BN negeri itu, pengundi harus melihat realiti dan memahami perjuangan BN dalam mensejahterakan mereka dan bukan isu yang meretakkan hubungan, yang cuba dibangkitkan oleh pembangkang yang kononnya dapat memenangi hati pengundi.   ”Mana ada retak. Kita bekerjasama dan hubungan baik, malahan rapat. Tuan-tuan jangan dengar cakap pembangkang.   “Esok, pada 11 Oktober pastikan keluar mengundi, bawa jiran dan undi Mohd. Isa, calon BN kita,” kata beliau.  Mohamad berkata demikian dalam ucapan pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri 1Malaysia anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Baru Si Rusa dan UMNO Cawangan Kampung Baru Si Rusa di Balairaya Kampung Baru Si Rusa, di sini malam tadi.   Turut serta dalam program ini ialah Mohd. Isa dan beberapa ahli UMNO dan penduduk sekitar.   Mohd. Isa berkata, kehadiran Mohamad bersama beliau telah menangkis tuduhan tidak berasas pembangkang itu, yang sememangnya dilihat cuba mencari isu yang boleh memperdaya pengundi.   ”Jangan dengar khabar angin. Itu tidak betul. Hari ini Menteri Besar datang dan saya pun ada, itu membuktikan kami tiada masalah. Hubungan amat baik sekali,” kata beliau.   Malahan kata Mohd. Isa, sewaktu Allahyarham Azman Mohd. Nor meninggal dunia pada 4 September lalu pun, Mohamad telah menawarkan kepada beliau untuk menjadi calon BN di Bagan Pinang.   ”Saya berharap pengundi faham kedudukan ini. Saudara bijak untuk membuat penilaian dan lihatlah sendiri. Saya sentiasa baik dengan Mohamad,” kata Mohd. Isa.   Dalam majlis itu, kerajaan Negeri Sembilan telah memperuntukan sebanyak RM48,000 untuk membina jalan baru dari Taman Dato’ di sini ke Kampung Si Rusa Dalam bagi memudahkan urusan penduduk sekitar.   Sebanyak RM200,000 lagi diperuntukan bagi menaik taraf masjid di Kampung Baru Si Rusa. Kesemua sumbangan itu disampaikan oleh Mohamad kepada wakil penduduk di situ.  Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang akan berlangsung pada 11 Oktober ini menyaksikan pertarungan satu lawan satu dengan BN akan mempertahan kerusi tersebut melalui calonnya, Isa yang ditentang calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar.
Utusan Malaysia: 04/10/09

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm

Bila Tiba Pilihan Raya Kerajaan ‘Murah Hati’ Berbelanja

Pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang mula memuntahkan kebusukannya. Segala bentuk janji, sogokan, umpan dan seumpamanya akan ditebarkan kepada para pengundi untuk memikat hati mereka. Ketika inilah kita akan melihat parti yang bertanding, terutamanya parti pemerintah yang secara realitinya merupakan parti yang memiliki sumber kewangan yang besar, akan bermurah hati untuk meluluskan segala bentuk projek kepada rakyat. Dari satu peruntukan ke satu peruntukan ditaburkan untuk memancing undi.

Inilah dunia politik Kapitalisme yang menipu. Projek untuk rakyat dipertaruhkan dengan kekuasaan. Jika nak kemudahan dan seumpamanya rakyat kena beri undi kepada kerajaan sedangkan segala kemudahan umum, samada kemudahan jalanraya dan seumpamanya adalah hak rakyat yang sewajibnya disediakan oleh pemerintah. Wahai umat Islam! Kamu adalah umat yang terbaik. Apakah dengan sebegitu mudah kamu boleh termakan  janji pilihan raya yang memperdayakan ini? Apakah rakyat terpaksa menunggu setiap kali pilihan raya barulah peruntukan dan projek sampai kepada mereka. Bukankah kewajiban pemerintah itu dalam pandangan Islam adalah mengurus urusan rakyatnya? Sabda Rasulullah SAW “Dari Ibnu Umar dari Nabi S.A.W bahawa Baginda bersabda: ‘ Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab atas yang dipimpinnya, seorang imam yang memimpin manusia adalah pimpinan, dan dia bertanggungjawab keatas rakyatnya, seorang suami adalah pimpinan dalam mengurusi ahlinya, dia bertanggungjawab keatas yang dipimpinnya, seorang isteri adalah pimpinan didalam rumahtangganya dan bertanggungjawab atas keluarganya, seorang pelayan adalah pimpinan dalam mengurusi harta tuannya, dia bertanggungjawab keatas peliharaannya, seorang lelaki itu adalah pimpinan di dalam mengurusi harta ayahnya, dia bertanggungjawab atas peliharaannya”.

Wahai umat Islam! Adalah menjadi kewajiban pemerintah untuk menyediakan segala bentuk kemudahan kepada rakyatnya tanpa menunggu kedatangan pilihan raya. Sampai bila lagi rakyat akan terus diperbodohkan dengan janji-janji pilihanraya yang menipu ini?