Bincang bangun semula Gaza
Mubarak merasmikan persidangan itu pada perhimpunan yang turut dihadiri oleh Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
Turut hadir ialah menteri-menteri luar dari 45 buah negara.
Antara tetamu berprofil tinggi yang menghadiri persidangan antarabangsa itu ialah Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Hillary Rodham Clinton yang tiba di pusat peranginan di Laut Merah ini malam tadi. Beliau dalam rangka lawatan pertama ke Asia Barat sebagai Setiausaha Negara AS.
“Keutamaan sekarang ialah mencapai gencatan senjata berpanjangan antara Israel dengan Palestin,” kata Mubarak ketika merasmikan persidangan itu.
Persidangan itu bertujuan meminta 80 negara penderma dan pertubuhan antarabangsa supaya menyumbangkan sekurang-kurangnya AS$2.8 bilion (RM10.1 bilion) bagi membangunkan semula wilayah Palestin yang musnah akibat serangan Israel pada Disember dan Januari lalu.
Bagaimanapun, pergerakan Hamas yang mentadbir Genting Gaza tidak dijemput menghadiri persidangan tersebut. – AP
Ulasan : Derma pembangunan Gaza tidak akan menamatkan keganasan Israel.
Apa yang jelas adalah Israel telah gagal di dalam matlamat perangnya di Gaza selama 3 minggu berakhir bulan Januari lepas. Serangkan tersebut tidak berjaya untuk membuatkan penduduk Gaza menyalahkan Hamas ke atas bencana yang menimpa mereka. Setelah strategi mengembalikan penguasaan Fatah ke atas Gaza tidak berjaya menerusi peperangan yang dilancarkan oleh Israel, negara-negara yang merupakan sekutu Amerika Syarikat (AS) seperti Mesir dan Saudi Arabia kini mencuba cara lain pula untuk mengalihkan sokongan penduduk Gaza dari pergerakan Hamas melalui rancangan dana pembangunan semula Gaza.
AS yang juga merupakan penderma terbesar kepada Israel (USD 2 bilion untuk membangun tenteranya) dilaporkan telah bersetuju untuk menyumbangkan jumlah sebanyak USD 900 juta untuk membangun semula Gaza setelah dibedil oleh Israel.
Umpama seperti seorang budak kecil, Gaza kerapkali cedera dibelasah oleh pembuli (Israel), sementara orang lain membiarkan perkara tersebut berlaku tanpa dihalangi. Setelah cedera dibelasah, budak kecil tersebut kemudian diberikan bantuan untuk memulihkan kecederaannya. Kemudian, ia sekali lagi dibelasah sehingga cedera teruk oleh pembuli tadi, dan budak tersebut sekali lagi diberikan derma untuk memulihkan kecederaannya tadi. Kemudian dibelasah lagi oleh pembuli, dan begitulah situasi ini berterusan tanpa kesudahan. Pembuli tersebut pula terus dibiarkan membelasah tanpa apa-apa tindakan atau hukuman dikenakan ke atasnya.
Apa ada pada derma pembangunan kepada Gaza sedangkan negara-negara seperti AS, Mesir dan Saudi Arabia terus membenarkan Israel menyerang Gaza. Israel tanpa halangan boleh dengan bebas mengulangi serangan ini. Sebanyak mana pun dana pembangunan yang dikeluarkan oleh negara-negara tersebut, ia tidak akan menghidupkan kembali nyawa-nyawa yang terkorban akibat keganasan Israel selama 3 minggu. Emas sepenuh bumi pun tidak berharga di sisi Allah jika dibandingkan dengan nyawa orang yang beriman. Kemusnahan Kaabah di sisi Allah adalah lebih kecil berbanding dengan penumpahan darah seorang. Apa yang perlu untuk Gaza, Palestine dan umat Islam secara umumnya adalah pembebasan dari belenggu dominasi kekufuran. Apa yang diperlukan adalah pembebasan di bawah Khilafah, bukannya pemberian wang yang penuh dengan motif politik yang busuk!