Boikot pilihan raya akan memberi kemenangan kepada parti sekular?

Persoalan 2

Sekiranya kita boikot pilihan raya, ia akan memberi kemenangan kepada parti sekular yang korup

Jawapan:

Persoalannya, wujudkah parti yang tidak korup dalam sistem demokrasi pada hari ini?

Parti pemerintah mana pun dalam sistem demokrasi rata-ratanya adalah korup, dan contoh nyata boleh dilihat di Malaysia sendiri. Track-record “kekorupan” mereka diketahui oleh semua orang dan buktinya cukup banyak. Parti pembangkang pun tidak kurang korupnya berbanding parti pemerintah, dan parti Islam juga tidak terkecuali.

Di Malaysia, setelah puluhan tahun menjadi musuh politik dengan mendedahkan segala macam kekorupan parti pemerintah, parti Islam akhirnya melakukan muafakat dengan parti tersebut, yang dahulu dilondehkan kekorupannya habis-habisan. Padahal hakikatnya, parti tersebut masih tetap sekular, masih tetap tidak mahu menerapkan Islam, masih tetap dibelenggu dengan pelbagai skandal, kes rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

Persoalannya, bukankah menyokong, mendukung, bermuafakat dan bersekongkol dengan sebuah parti yang korup, itu sendiri merupakan sebuah kekorupan?

Inilah hakikat demokrasi di mana parti Islam sekali pun, apabila telah bergelumang dengan demokrasi, maka tiada jaminan yang mereka akan bersih dari sebarang kekorupan. Jika parti Islam yang setiap saat melaungkan penerapan Islam dalam perjuangannya, pun ternyata berjaya dibengkokkan dari jalan yang lurus oleh sistem demokrasi, maka apakah jaminan bahawa parti-parti sekular dan parti kafir yang ada tidak korup?

Kita perlu sedar bahawa sistem demokrasi itu sendiri merupakan sebuah sistem yang korup. Maka hampir mustahil untuk mana-mana parti yang bermain dalam gelanggang demokrasi tidak akan hanyut dalam kekorupan sistem yang datangnya dari penjajah ini. Jika ada seorang dua calon yang tidak korup sekali pun, apa yang pasti ialah mereka datangnya dari parti yang korup, dan mereka adalah orang yang membawa aspirasi dan kepentingan parti dalam setiap tindakan mereka.

“Kekorupan” terbesar parti-parti dalam demokrasi ialah tidak berjuang untuk merubah sistem demokrasi itu sendiri (yang merupakan sistem kufur) kepada sistem Islam. Kesemua parti yang ada, baik kerajaan mahu pun pembangkang, hanya meneruskan sistem kufur tinggalan penjajah ini, dan mempertahankannya mati-matian.

Atas dasar itu, keluar mengundi itulah yang sebenarnya telah memberikan kemenangan kepada parti yang korup, kerana hakikatnya tidak ada parti yang tidak korup dalam sistem demokrasi. Jadi memboikot pilihan raya sebenarnya merupakan cara yang berkesan untuk menyampaikan mesej bahawa kita sudah tidak mahu lagi diperintah dan dipermainkan oleh calon dan parti yang korup.