Bolehkah Ayah Memaksa Anak Perempuannya Menikah dengan Lelaki yang Tidak Dia Sukai?

Soalan:

Adakah boleh dilangsungkan pernikahan, dalam keadaan si gadis tidak rela dengan pernikahan itu? Bagaimanakah cara menyelesaikan masalah tersebut dalam keadaan akad pernikahan itu telah dituliskan (direkodkan dengan dokumen secara tertulis/dicatatkan secara rasmi), tetapi belum terjadi persetubuhan hingga sekarang? Saya bukannya dipaksa untuk tanda tangan, tetapi saya diberitahu bahawa lelaki yang mengkhitbah atau pengantin lelaki sudah ada di depan pintu dan saya (terpaksa) setuju. Namun, saya merasa bahawa saya berada di bawah tekanan dan paksaan untuk menerimanya.

Jawapan:

Berkaitan dengan kes ini, kami telah menyebutkan di dalam Kitab An-Nizhâm al-Ijtimâ’i bab “Az-Ziwâj”, sebuah hadis Rasul saw berkisar topik ini, sebagaimana penuturan Abdullah bin Buraidah, dari ayahnya yang berkata:

جَاءَتْ فِتَاةٌ إِلَى رَسُوْلِ الله صلى الله عليه وسلم فَقَالَتْ : إِنَّ أَبِي زَوَّجَني ابنَ أَخيهِ لِيَرْفَعَ بي خَسيسَتَهُ. قال: فَجَعَلَ الأمرَ إِلَيْهَا. فقالتْ : قد أَجَزْتُ ما صَنَعَ أبي، وَلَكِنْ أَرَدْتُ أَنْ أُعْلِمَ النساءَ أنْ ليسَ إلى الآبَاءِ مِنَ الأمْرِ شيءٌ

Pernah ada seorang gadis datang kepada Rasulullah saw lalu berkata, “Ayah saya mengahwinkan saya dengan anak kepada saudara lelakinya untuk menaikkan darjatnya.” Buraidah berkata: Lalu Rasulullah saw menyerahkan sepenuhnya perkara itu kembali kepada gadis itu. Gadis itu berkata, “Saya telah merelakan apa yang dilakukan oleh ayah saya, tetapi saya ingin memberitahu para wanita bahawa ayah tidak memiliki bidang kuasa atau autoriti sedikitpun atas perkara itu.” (HR Ibnu Majah).

Dinyatakan di dalam  Mishbâh az-Zujâjah fî Zawâid Ibni Mâjah karangan Abu al-‘Abbas Syihabuddin al-Bushiri al-Kinani asy-Syafi’i (w. 840 H), “Hadis ini sanad-nya sahih, para perawinya tsiqah.”

Berdasarkan hal itu ayah si gadis wajib mengambil persetujuan gadis itu, dan dia hendaklah meyakinkan/menegaskan persetujuan dari yang diminta izinnya itu (iaitu si gadis), agar ijab dan qabul itu berlangsung dengan keredhaan dan pilihan sendiri.

Kami telah menjelaskan hal itu secara jelas di dalam Kitab An-Nizham al-Ijtimâ’iy bab “Az-Ziwâj”. Di situ dinyatakan:

Jika seorang wanita dipinang (dikhitbah), hanya dialah yang memiliki hak untuk menerima atau menolak lamaran perkahwinan itu. Tidak seorang pun di antara para walinya, tidak pula yang lain, berhak mengahwinkan wanita itu tanpa izin darinya. Mereka juga tidak memiliki kuasa untuk memaksa wanita itu agar setuju dengan perkahwinan itu.

 Ibnu Abbas berkata bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:

الثَّيِّبُ أَحَقُّ بِنَفْسِهَا مِنْ وَلِيِّهَا، وَالْبِكْرُ تُسْتأْذَنُ في نَفْسِهَا وَإِذْنُهَا صُمَاتُهَا

”Seorang janda lebih berhak atas dirinya daripada walinya. Seorang gadis diminta izin atas dirinya dan izinnya adalah diamnya” (HR Muslim).

 Abu Hurairah ra juga berkata bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:

لاَ تُنْكَحُ الْأَيِّمُ حَتَّى تُسْتَأْمَرَ، وَلاَ الْبِكْرُ حَتَّى تُسْتَأْذَنَ . قَالُوْا: يَا رَسُوْلَ اللهِ، وَكَيْفَ إِذْنُهَا؟ قَالَ: أَنْ  تَسْكُتَ

“Seorang janda tidak boleh dinikahkan sehinggai diminta perintahnya dan seorang gadis tidak boleh dinikahkan sehingga diminta izinnya.” Mereka berkata, “Ya Rasulullah, bagaimanakah izinnya?” Baginda bersabda, “Dia diam sahaja.” (Muttafaq ‘alayh).

 Ibnu ‘Abbas ra juga bertutur:

أَنْ جَارِيَةً بِكْراً أَتَتْ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّ الله عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ فَذَكَرَتْ أَنْ أبَاهَا زَوَّجَهَا وَهِيَ كَارِهَةٌ، فَخَيَّرها النّبيُّ صلى الله عليه وسلم

”Seorang gadis pernah datang kepada Rasulullah saw. Lalu dia menyebutkan bahawa ayahnya telah mengahwinkan dirinya, dalam keadaan dia tidak suka. Lalu Nabi saw memberi dia pilihan” (baca: antara menerima atau menolak) (HR Abu Dawud).

 Khansa‘ binti Khidam al-Anshariyah juga bertutur:

أَنْ أَبَاهَا زَوَّجَهَا وَهِيَ ثَيِّبٌ فَكَرِهَتْ ذَلِكَ فَأَتَتْ  رَسُوْلَ الله صلى الله عليه وسلم فَرَدَّ نِكَاحَهَا

”Ayahnya mengahwinkan dia, dalam keadaan dia seorang janda dan dia tidak suka hal itu. Lalu dia datang kepada Rasulullah saw. Baginda kemudiannya membatalkan pernikahannya”. (HR al-Bukhari).

Hadis-hadis ini menunjukkan dengan jelas bahawa seorang wanita, jika tidak mengizinkan pernikahannya, maka perkahwinan itu tidak terjadi. Jika dia menolak perkahwinan ini atau dia dinikahkan, dalam keadaan dia tidak suka, maka akadnya di-fasakh (dibatalkan) kecuali jika dia kembali dan rela.

Anda melihat teks yang jelas dalam masalah ini dengan apa yang kami sebutkan di atas. Saya ulangi, hadis-hadis ini dengan terang menjelaskan bahawa seorang wanita jika tidak mengizinkan pernikahannya, maka perkahwinan itu tidak terjadi. Jika dia menolak perkahwinan ini atau dia dinikahkan, dalam keadaan dia tidak suka, maka akadnya di-fasakh (dibatalkan), kecuali jika dia kembali dan rela.

WalLâh a’lam wa ahkam.

[Soal-Jawab Amir Hizbut Tahrir, Syaikh Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah: 14 Jumada al-Akhirah 1441 H/08 Februari 2020 M]

#fikih #perkahwinan #perwalian