Undang-undang Syariah Boleh Dicabar, Inilah Bahana Demokrasi

Kerajaan Kelantan baru-baru ini menyatakan kesediaannya untuk mempertahankan Enakmen Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 sekiranya ia dicabar di mahkamah. Kenyataan itu dibuat selepas peguam Nik Elin Nik Rashid mendakwa terdapat sekurang-kurangnya 11 peruntukan dalam enakmen baharu tersebut yang berpotensi dicabar.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, “Siapa-siapa boleh cabar undang-undang. Undang-undang ini adalah subjected to be challenged dan kerja mahkamahlah nanti yang akan menentukan sama ada laporan itu ada asas ataupun tidak.”
Beliau turut menyatakan bahawa sekiranya mahkamah membatalkan mana-mana peruntukan, kerajaan negeri akan menelitinya semula dan kembali dengan penggubalan yang lebih baik. Kerajaan Kelantan juga menegaskan bahawa enakmen tersebut dirangka dengan mengambil kira Perlembagaan Persekutuan dan alasan penghakiman kes Nik Elin sebelum ini.
Dalam konteks perundangan dalam sistem demokrasi pada hari ini, kenyataan bahawa “undang-undang boleh dicabar” sememangnya benar. Namun, apa yang tidak disedari ialah persoalan bagaimana suatu “undang-undang syariah” boleh dicabar, dalam sebuah sistem yang kononnya dianggap sebagai sistem Islam? Bukankah demokrasi dianggap sebagai sistem Islam oleh banyak pihak, termasuklah oleh parti Islam itu sendiri?
Jika apa yang dinamakan sebagai “undang-undang syariah” boleh dicabar oleh manusia, diputuskan kesahihannya oleh manusia, dibatalkan oleh manusia dan kemudian digubal semula supaya menepati kerangka yang ditentukan manusia, maka sebenarnya di manakah “syariah”nya undang-undang tersebut?
“Syariah” secara umumnya bermaksud hukum atau undang-undang yang datangnya dari Allah selaku Pembuat syariat. Dalam Islam, tidak ada seorang pun yang boleh mencabar syariat Allah. Mencabar syariat Allah bermaksud mencabar Allah, yang boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar dari Islam.
Namun, dalam demokrasi, telah terbukti bahawa apa yang dinyatakan sebagai “undang-undang syariah” boleh dicabar. Ironinya, penggubal undang-undang syariah dalam sistem demokrasi yang meyakini bahawa undang-undang yang digubalnya ialah undang-undang syariah, turut berpandangan bahawa undang-undang tersebut boleh dicabar!
Demikianlah realiti “undang-undang syariah” dalam sistem demokrasi yang membuktikan bahawa undang-undang tersebut bukannya “syariah” dalam erti kata yang sebenar. Ia sama sekali bukan datangnya dari Allah, bahkan sebenarnya bertentangan dengan apa yang ditetapkan oleh Allah. Statusnya sama sahaja dengan undang-undang sivil – digubal oleh manusia, dibahas oleh manusia, diundi oleh manusia, diluluskan oleh manusia, boleh dipinda dan dihapuskan oleh manusia, dan boleh dicabar oleh manusia pada bila-bila masa.
Sedangkan syariat Allah tidak boleh dicabar oleh manusia, tidak boleh dipinda dan dihapuskan oleh manusia, tidak boleh dibahas oleh manusia untuk diundi dan diluluskan, bahkan tidak boleh digubal oleh manusia pun sejak awal. Syariat Allah ialah ketentuan dari Allah untuk dilaksanakan semata-mata, dengan penuh ketundukan dan ketaatan. Seperti mana solat, puasa, zakat dan haji, ia wajib dilaksanakan oleh manusia tanpa melalui proses penggubalan, begitu juga dengan hukum hudud, jinayat, ta’zir dan lain-lain, semuanya wajib dilaksanakan tanpa perlu proses penggubalan.
Apabila syariat Allah diletak di bawah sistem demokrasi, maka ia sebenarnya bukan lagi syariat, tetapi menjadi hukum buatan manusia yang statusnya sama sebagaimana undang-undang sivil lainnya, walaupun ia diberi nama “syariah” oleh manusia yang menggubalnya.
“Menyesuaikan” Syariah Dengan Perlembagaan?
Kerajaan Kelantan menjelaskan bahawa enakmen baru itu dirangka dengan mengambil kira kedaulatan Perlembagaan Persekutuan, alasan penghakiman kes Nik Elin serta ruang kompetensi Dewan Undangan Negeri Kelantan. Apa yang pasti, kerajaan Kelantan berusaha bersungguh-sungguh untuk “menyesuaikan” undang-undang syariah dengan kehendak Perlembagaan.
Perkara ini sekali lagi menjelaskan “apakah” yang sebenarnya berada di atas dan apakah yang berada di bawah. Apa yang datangnya dari Lord Reid ternyata diletak lebih tinggi dengan apa yang datangnya dari Allah. Walaupun mungkin secara i’tiqadnya tidak diakui sedemikian, namun malangnya, apa yang dibawa oleh Lord Reid tetap sahaja dijulang sehingga apa yang datangnya dari Allah perlu disesuaikan dengan “kehendak” Lord Reid.
Setiap Muslim tentunya tahu dan yakin bahawa dalam Islam, suatu hukum ditentukan berdasarkan wahyu dan dalil syarak. Apabila Allah mengharamkan sesuatu, maka ia haram. Apabila Allah mewajibkan sesuatu, maka ia wajib. Manusia tidak mempunyai hak untuk menentukan sama ada hukum Allah itu boleh atau tidak boleh diterapkan. Apabila Allah menetapkan yang sebatan bagi penzina ialah 100 kali, maka tidak ada manusia yang boleh merubahnya kepada 6 kali, dan berdosalah setiap manusia yang berbuat demikian.
Namun tidak demikian halnya dalam sistem demokrasi. Sebelum sesuatu “undang-undang syariah” digubal, minda para penggubal undang-undang sudah pun melalui proses “setting” bahawa ia tidak boleh bertentangan dengan perlembagaan. Seterusnya di”set” bahawa ia mesti berada dalam Senarai Negeri; DUN mempunyai kompetensi untuk menggubalnya; tidak bertindih dengan bidang kuasa Persekutuan; dan perlu menerima hakikat bahawa ia boleh dicabar dan mungkin dicabar. Semua ini perlu dipikir, dipertimbangkan dan dipatuhi terlebih dahulu.
Inilah hakikat yang tidak boleh ditutup walaupun suatu undang-undang itu dinamakan “syariah” dan diletak di bawah Enakmen Syariah. Sesungguhnya kesemua proses tersebut tidak syarie, dan apa yang terhasil daripadanya jelas merupakan suatu yang bertentangan dengan syariah, biar pun minda yang terjajah tetap sahaja cuba menyatakannya sebagai syariah.
Bahana Demokrasi
Sesungguhnya masalah yang berlaku ini tidak ada kena mengena dengan Nik Elin. Nik Elin hanyalah menggunakan ruang yang memang disediakan oleh sistem. Masalah ini juga bukan disebabkan oleh hakim sivil yang dilihat tidak berpihak kepada Islam. Hakim hanya menafsir perlembagaan dalam konteks yang benar. Masalah sebenarnya jauh lebih mendasar daripada itu.
Masalahnya berpunca daripada sistem demokrasi yang meletakkan kedaulatan di tangan manusia atau dengan kata lain manusia diberi hak untuk menggubal undang-undang, menentukan hukuman itu dan ini, menentukan halal dan haram, menentukan baik dan buruk, dan manusia yang memimpin dalam sistem yang datangnya daripada kafir penjajah itu terus mempertahankannya dari satu generasi ke satu generasi ke satu generasi. Inilah puncanya.
Seorang Muslim seharusnya memahami bahawa masalah ini tidak akan selesai hanya dengan memodifikasi atau menggubal semakin banyak Enakmen Syariah, atau memperluaskan sedikit demi sedikit bidang kuasa negeri, atau mencari istilah-istilah dan ayat-ayat baru supaya suatu peruntukan berjaya melepasi ujian Perlembagaan. Selama mana kedaulatan berada di tangan manusia, syariah akan terus diposisikan sebagai hukum yang menunggu izin manusia untuk diterapkan, dan sentiasa terbuka untuk dicabar oleh manusia.
Apa yang perlu diganti ialah sistem itu sendiri, dan apa yang perlu ditukar ialah perlembagaan yang datangnya daripada kafir penjajah, kepada sistem Islam dengan menjadikan Al-Quran sebagai perlembagaan. Dengan kata lain, untuk memastikan pelaksanaan syariah secara kaffah, dan membuang apa yang datangnya daripada penjajah, juga secara kaffah, maka kita memerlukan sebuah perubahan yang mendasar, iaitu merubah keseluruhan sistem, bukan sekadar melakukan sedikit perubahan kosmetik.
Selagi sistem demokrasi tidak diganti dengan sistem Islam, maka selagi itulah Islam akan sentiasa berada di bawah. Walau sebesar mana sekali pun usaha untuk memartabatkan Islam, ia tetap tidak akan berjaya selagi dilakukan di dalam sistem yang mengawal Islam itu sendiri.
Wallahu a’lam.