Britain: Pembunuh besar yang cuba melabel orang lain sebagai pembunuh

Gambar BG 280416Wakil rakyat Britain pada Rabu 20 April lalu menurut laporan AFP, sebulat suara meluluskan usul bagi mendesak kerajaan melabelkan militan Islamic State (IS) sebagai kumpulan pembunuhan etnik.

Kesemua ahli Parlimen Britain sebulat suara meluluskan usul tersebut dengan 278 undi menyokong dan tiada membantah. Bagaimanapun, usul itu tidak semestinya dipenuhi oleh kerajaan.

Undian di Dewan Rakyat yang mempunyai 650 kerusi itu menyeru menteri-menteri Britain untuk menerima secara formal bahawa tindakan IS terhadap penduduk Kristian, Yazidi dan kumpulan agama serta etnik minoriti lain di Syria dan Iraq sebagai perbuatan yang bersifat pembunuhan beramai-ramai.

Ahli Parlimen daripada semua parti menyeru Britain juga menggunakan kedudukannya sebagai satu daripada lima ahli tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Britain yang terkenal licik dalam percaturan politik antarabangsa, kini umpama kehabisan modal. Mereka fikir dengan tindakan melabelkan IS sebagai pembunuh etnik akan membuatkan umat Islam lupa bahawa mereka adalah pembunuh dan pengganas yang tidak ada bezanya dengan Amerika Syarikat.

Memang IS terkenal dengan tindakannya membunuh pihak yang dianggapnya musuh walaupun yang dibunuh itu adalah sesama Muslim. Namun, kejahatan Britain, termasuk pembunuhannya ke atas umat Islam jauh lebih dahsyat dan tidak terkira sejak berabad lamanya.

Seperti AS, Britain juga adalah negara pengganas yang bukan sahaja banyak melakukan pembunuhan, malah kerosakan dan kemusnahan serta menyebabkan kesengsaraan dunia, khususnya dunia Islam, akibat peranannya di peringkat antarabangsa dan dalam badan-badan antarabangsa.

Britain sering menjadi pengekor kepada Amerika dalam banyak tindakan jahat Amerika ke atas umat Islam. Dalam perang di Iraq, Afghanistan dan Syria, Britain turut menyumbang pasukan tentera, atas nama memerangi pengganas, walhal merekalah yang merupakan pengganas sebenar dan membunuh ramai penduduk yang tidak berdosa hasil tindakan ketenteraan yang mereka lancarkan.

Sehingga Jun 2015, menurut laporan The Telegraph, tentera Britain di Iraq berjumlah hampir 1000 orang dan sentiasa ditingkatkan jumlah mereka. Malah Perdana Menterinya, David Cameron amat berbangga dengan banyaknya jumlah anggota tenteranya yang dihantar ke Iraq. Inilah wajah pengganas dan pembunuh yang cuba melabel orang lain sebagai pembunuh!

Jika Britain ingin mengheret IS ke ICC, ia lebih dulu patut diheret atas jenayah kemanusiaan yang dilakukannya sejak dulu, khususnya ke atas umat Islam. Banyak negara di dunia yang dijajah oleh Britain, termasuk Malaysia. Betapa banyaknya jumlah negara yang dijajah olehnya sehingga mereka boleh membentuk negara Commonwealth yang berjumlah 53 buah negara yang kesemuanya dulu berada di bawah empayar kuasa kuffar itu. Di negara kaum Muslimin yang dijajahnya, berapa banyak pembunuhan telah dilakukan oleh Britain ke atas para pejuang Islam, termasuk para ulama yang menentang penjajahannya.

Kini, Britain ingin melabel orang lain sebagai pembunuh, dalam cubaan menutup kejahatannya sebagai pembunuh dan pengganas besar dunia!