Buah Tangan Sekular-Liberalisme : Pelacur Lelaki Berlesen, Hadiah Buat Wanita Di Amerika!

Nevada bakal ada pelacur lelaki

GAMBAR menunjukkan jalan masuk ke sebuah rumah pelacuran di Pahrump, Nevada.

LAS VEGAS – Pemilik sebuah rumah pelacuran di Amerika Syarikat (AS), Bobby Davis berharap pihaknya dapat menyediakan perkhidmatan pelacur lelaki berlesen pertama di negeri Nevada dalam tempoh sebulan.

Ia bakal menjadi kenyataan apabila pihak berkuasa kesihatan negeri itu dijangka meluluskan satu kaedah ujian perubatan bagi mengesan penyakit berjangkit untuk golongan lelaki.

Menurut Davis, dunia kini bersedia menerima realiti bahawa wanita dan lelaki bebas melanggan pelacur yang sah mengikut undang-undang.

Dia berkata, menjadi rumah pelacuran pertama yang menawarkan perkhidmatan pelacur lelaki mampu meningkatkan perniagaan semasa AS masih dihimpit dengan kesan krisis ekonomi.

Las Vegas sudah terkenal dengan beraneka hiburan untuk golongan lelaki dan kami berpendapat sudah tibanya masa untuk mencuba idea baru ini,” jelas Davis.

Nevada kini tidak membenarkan lelaki menjadi pelacur berikutan undang-undang negeri mewajibkan pekerja seks menjalani ujian kesihatan berkala bagi mengesan jangkitan penyakit kelamin.

Namun, peraturan itu bakal diubah setelah pihak berkuasa kesihatan meluluskan satu ujian bagi mengesan penyakit berjangkit di kalangan lelaki. – AP

Sumber: Kosmo Online 15/12/2009


Buah Tangan  Sekular Liberalisme : Pelacur Lelaki Berlesen, Hadiah Buat Wanita di Amerika

Menjengkelkan! Tidak cukup wanita dieksploitasi di sana-sini dan dijadikan pelacur, kini lelaki pula bakal dilacurkan.  Begitulah hakikat yang tidak dapat dinafikan lagi tatkala berada di bawah naungan sistem sekular-liberalisme, iaitu sistem yang membiarkan penganutnya bebas bertingkahlaku dan berbuat apa sahaja (melacur dan dilacurkan) dan mencabut hingga ke akar-umbi rasa malu secara fitrah yang telah dianugerahi oleh Tuhan.

Kononnya jika ada yang menentang, dari awal lagi akan didendangkan lagu ‘kebebasan mutlak’ dan ‘hak asasi manusia’ bagi menghalalkan tindakan mereka.  Dengan erti kata lain , golongan hawa juga berhak mendapat “keseronokan’ melakukan maksiat dengan melanggani pelacur seperti mana lelaki.  Bukankah itu yang dinamakan hak asasi manusia dan kebebasan yang selama ini diperjuangkan? Sememangnya amat jelas, ideologi ciptaan manusia ini tidak mampu mensejahterakan umat manusia malah melapangkan seluasnya laluan ke arah kerosakan dan kebinasaan.

Ideologi yang mengajar penganutnya agar mencapai matlamat dengan apa cara sekalipun asal kemaslahatan diperolehi menjadi dasar dalam aktiviti seharian mereka.  Krisis ekonomi yang melanda dijadikan alasan membolehkan undang-undang lelaki menjadi pelacur diluluskan. Kononnya bagi menyelamatkan perniagaan dan menangani krisis ekonomi.  Sedarkah mereka krisis ekonomi itu sendiri disebabkan oleh sistem yang rosak lagi merosakkan yang diterapkan mereka?

Negara kapitalis ini jugalah yang gencar dalam melancarkan kempen-kempen seperti Hari Aids Sedunia, pemakaian kondom, amalan seks selamat, pendidikan seks dan sebagainya yang tidak lain bertujuan mengaburi mata dan pemikiran masyarakat dunia bagi menutup hakikat kebebasan mutlak yang diamalkan.  Apa ertinya kempen-kempen berkaitan kesedaran, cara hidup sihat, ujian kesihatan mengelak jangkitan penyakit kelamin jika pintu gerbang pelacuran dibuka seluas-luasnya?

Wahai umat Islam, saksikanlah kebejatan sistem buatan manusia yang memperlihatkan satu demi satu kerosakannya.  Terimalah hakikatnya ideologi kapitalisma berserta sistem-sistemnya tidak mampu memberikan kesejahteraan kepada umat manusia malah menunggu masa untuk tersungkur jatuh dan ditamatkan riwayatnya.

Berpautlah dengan erat pada sistem yang diturunkan Allah melalui junjungan Rasul yang mulia dengan diusahakan berdirinya Daulah Khilafah Islamiyyah yang bakal mensejahterakan seluruh umat manusia.  Hapuskanlah ideologi dan seluruh sistem sekular-kapitalisme yang kotor ini dari kamus hidup kalian.

Ingatlah bilamana Allah berfirman:  “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan pernah rela (redha) kepada kamu hingga kamu mengikuti agama (millah) mereka” [TMQ Al Baqarah (2): 120].

Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda:“Kamu akan mengikuti sunnah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawak (dhab) nescaya kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah? Sabda Baginda SAW: Ya, siapa lagi kalau bukan mereka?” – [HR al-Bukhari dan Muslim]