Bumi Melaka bakal tercemar
Walaupun Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah menjawab fitnah-fitnah yang dilontarkan dalam fatwa Selangor, Sabah dan Johor, nampaknya masih ada pihak yang tidak takutkan Allah (swt) dengan terus menabur fitnah yang sama.
Sebagaimana dilaporkan dalam portal online Melaka Hari Ini (https://www.melakahariini.my/melaka-dalam-proses-haramkan-hizbut-tahrir/)
Jabatan Mufti Melaka kini dalam proses mewartakan larangan tidak menerima fahaman Hizbut Tahrir Malaysia di negeri tersebut. Di akhir laporan portal tersebut disebutkan bahawa “doktrin fahaman kumpulan itu (Hizbut Tahrir) adalah termasuk menolak demokrasi, selain melabel kerajaan sebagai kafir dan wajib diguling dengan kekerasan.”
Ya, benar Hizbut Tahrir menolak demokrasi kerana ia adalah sistem kufur yang datangnya dari Barat yang memberikan hak kepada manusia untuk membuat hukum, dengan mengetepikan hak Allah (swt) sebagai Al-Musyarri’ (Pembuat hukum). Namun Hizbut Tahrir tidak pernah melabelkan kerajaan sebagai kafir dan tidak pernah ada dalam pegangan Hizbut Tahrir bahawa wajib menggulingkan kerajaan dengan kekerasan. Sebaliknya Hizbut Tahrir menentang segala bentuk kekerasan dalam dakwah, kerana ia tidak pernah ditunjukkan oleh Rasulullah (saw).
Siapa sahaja yang mengambil, menerapkan dan menyebarluaskan demokrasi, maka hukumnya haram dan berdosa, tetapi tidak akan menjatuhkan orang itu kepada kekafiran, kecuali ia ber-i’tiqad bahawa sistem dan hukum buatan manusia itu lebih baik berbanding sistem dan hukum yang datangnya dari Allah (swt).
Sama sebagaimana seseorang yang mengambil riba, suatu yang jelas haram dan berdosa, namun tidak akan menjatuhkan orang itu kepada kekafiran, kecuali ia ber-i’tiqad bahawa riba itu halal.
Siapa sahaja yang ber-i’tiqad menyalahi apa yang terdapat dalam Al-Quran, maka pada waktu itu orang tersebut akan jatuh kafir.
Dalam dakwahnya, Hizbut Tahrir tidak pernah memainkan isu kafir-mengkafir, walaupun Hizbut Tahrir sering difitnah mengkafirkan orang lain. Sejak penubuhannya pada tahun 1953 hinggalah ke hari ini, Hizbut Tahrir juga tidak pernah menggunakan kekerasan dalam dakwahnya. Ini kerana Hizbut Tahrir mengikuti thariqah (methodologi) Rasulullah (saw) yang tidak pernah menggunakan kekerasan, walaupun realitinya ramai anggota Hizbut Tahrir di seluruh dunia yang ditangkap, diseksa dan dibunuh oleh para penguasa diktator.
Semua tuduhan ke atas Hizbut Tahrir menunjukkan niat jahat pelakunya yang mempunyai agenda politik untuk mencemarkan nama baik Hizbut Tahrir sekali gus merupakan usaha mereka untuk menyekat dakwah Hizbut Tahrir yang semakin diterima oleh umat Islam. Agenda ini merupakan agenda Barat yang sudah semakin takut melihat umat Islam yang semakin bersatu untuk menegakkan Khilafah yang diperjuangkan oleh Hizbut Tahrir.
Kepada portal Melaka Hari Ini, kami yakin sekiranya kami meminta anda untuk menarik balik apa yang anda laporkan, anda tidak akan berbuat demikian, sebagaimana portal-portal lain yang selama ini memfitnah Hizbut Tahrir dengan lebih dahsyat lagi berbanding portal anda. Maka kami katakan kepada anda, silakan terus memfitnah Hizbut Tahrir kerana kami yakin dengan sabda Nabi (saw) bahawa fitnah itu pasti akan kembali kepada tuannya. Fikirkanlah bagaimana anda ingin selamat di padang mahsyar kelak dengan apa yang anda lakukan.
Wallahu a’lam.