Butang panik pada telefon pintar di India untuk selesai jenayah rogol!

india-panic-btnMenteri Telekom India, Ravi Shankar Prasad memberitahu agensi berita AFP pada penghujung April lalu mengenai semua telefon pintar yang dijual di India perlu memiliki butang panik pada tahun hadapan. Prasad berkata, pendekatan itu terpaksa dilakukan bagi menangani sejumlah besar jenayah seks terhadap wanita di India. “Tiada satu telefon pintar yang tidak dilengkapi butang panik boleh dijual mulai 1 Januari 2017,” katanya.

Kementerian Telekomunikasi India juga mewajibkan pemasangan sistem pengesanan kedudukan global dalam telefon pintar mulai 1 Januari 2018.

India bergelut dalam masalah keganasan seksual, terutamanya rogol, yang menjadi tumpuan global selepas seorang pelajar diperkosa beramai-ramai pada Disember 2012 sewaktu pulang dari menonton wayang. Kes rogol di India memang amat menakutkan, cuma ia menjadi perhatian masyarakat dunia setelah kes pelajar berkenaan, dan beberapa kes lain mendapat perhatian media.

Angka rasmi kerajaan India menunjukkan terdapat 36,735 kes rogol dilaporkan di seluruh India pada 2014, namun ramai aktivis berkata, jumlah sebenar kes rogol di negara itu adalah jauh lebih tinggi ekoran ramai mangsa enggan membuat laporan polis kerana tanggapan negatif masyarakat dan juga faktor ketakutan serta malu.

Walaupun langkah kerajaan India ini nampak baik dan positif, namun hakikat dan persoalannya ialah, apakah ia akan menyelesaikan masalah rogol di negara yang pernah diperintah oleh Islam suatu ketika dulu itu? Adakah semua wanita mampu memiliki telefon pintar seumpama itu dan apakah sempat untuk mereka menekan butang panik dalam keadaan mereka diheret untuk dirogol dan apakah jika mereka sempat berbuat demikian, bantuan dari pihak polis dan lain-lain akan tiba tepat pada masanya?

Kemungkinan yang ada ialah, syarikat pemasangan butang panik itu lebih dulu mendapat keuntungan yang lumayan dan masalah rogol tidak dapat diselesaikan. Ini kerana, penyelesaian kepada masalah rogol bukanlah melalui “telefon bimbit”, tetapi memerlukan penyelesaian holistik oleh negara berasaskan undang-undang Islam.

Apabila tidak mempunyai panduan dan cara berfikir yang benar, beginilah cara manusia menyelesaikan masalah. Demokrasi menjadikan manusia mengagung-agungkan penyelesaian yang datangnya dari akal, bukannya dari Pencipta manusia, walaupun mereka tahu bahawa realitinya akal itu bersifat terbatas dan tidak pernah dapat menyelesaikan masalah.

Sistem pemerintahan yang diterapkan oleh India dan juga lain-lain negara, telah rosak dari akar-akarnya dan tidak boleh diperbaiki hanya dengan memperbaiki simptom. Ibarat bahtera yang sudah buruk, usang dan rosak dari segenap sudut, ia tidak lagi dapat diperbaiki dengan hanya tampal-sulam di mana-mana bahagian yang rosak, ia mesti diganti dengan sebuah bahtera baru yang akan dapat menyelamatkan kesemua penumpang di atasnya.

Sesungguhnya nasib dan maruah wanita tidak pernah dan tidak akan pernah terbela di bawah sistem kufur. Kerana itulah, setiap dari kita, termasuk wanita, wajib berjuang untuk mengembalikan sistem Islam di bawah naungan negara Khilafah yang telah terbukti membela nasib wanita dan meletakkan martabat wanita di tempatnya.

Wallahu a’lam.