Cabaran Pemikiran Wanita Pasca Modenisasi
Muqaddimah
Kini umat Islam dalam era moden terdedah dengan pelbagai cabaran yang besar yang sangat membimbangkan dan merbahaya. Cabaran-cabaran tersebut jika tidak ditangani segera akan menjadi barah yang parah kepada umat Islam. Cabaran yang difokuskan di sini adalah dari segi pemikiran. Puak kuffar melalui strategi yang terancang telah berusaha menyusup masuk untuk menghancurkan umat Islam melalui pemikiran dengan tipu daya mereka tanpa kita sedari. Pemikiran merupakan satu cara yang mudah dan menjadi pilihan musuh-musuh Islam kerana tidak memerlukan tindakan fizikal dan kekerasan tetapi diterima dengan mudah oleh umat Islam. Terdapat pelbagai pemikiran asing yang telah meracuni pemikiran umat Islam sehingga memberi kesan negatif ke atas tingkah laku antaranya adalah feminisme, liberalisme, pluralisme, hak asasi manusia dan sebagainya. Pemikiran-pemikiran asing tersebut bertitik tolak daripada aqidah sekularisme yang menjadi tunjang kepada sistem kapitalisme yang digunapakai di dunia hari ini termasuklah di negara-negara kaum Muslimin. Sesungguhnya aliran pemikiran yang telah disebutkan di atas sangat berbahaya kepada umat Islam kerana boleh merosakkan akidah dan menghancurkan umat Islam secara perlahan-lahan. Golongan sasaran serangan pemikiran ini bukan hanya wanita tetapi segenap lapisan masyarakat kerana ianya dirancang untuk kelihatan sempurna tanpa cacat celanya.
Pemikiran Asing Suatu Ancaman
Serangan pemikiran yang dilancarkan oleh musuh-musuh Islam adalah serangan psikologi yang merupakan salah satu propaganda mereka dalam menjauhkan pegangan umat Islam terhadap syariat Islam dan mengundang ancaman kepada aqidah umat Islam. Strategi yang dilakukan oleh Barat ini bertujuan agar umat Islam meninggalkan ajaran Islam yang sebenar sepertimana yang telah diturunkan oleh Allah SWT melalui junjungan besar Rasulullah SAW tanpa memerlukan seseorang itu keluar atau mengubah agamanya. Justeru kesannya umat Islam hanya berfikir dan bertindak melalui logik akal dan nafsu semata-mata tanpa menjadikan hukum syariat Islam sebagai rujukan utama. Benarlah seperti firman Allah SWT;
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)” dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi Pelindung dan Penolong bagimu” [TMQ al-Baqarah (2): 120].
Feminisme yang sinonim dengan isu gender adalah salah satu pemikiran rosak yang sering meracuni cara berfikir (aqliyah) dan cara bertingkahlaku (nafsiyah) para wanita Muslimah. Di Malaysia, terdapat banyak pertubuhan yang bernaung di bawah NGO yang memperjuangkan hak-hak feminisme antaranya adalah memperjuangkan kesaksamaan wanita dengan memikirkan kaedah untuk membebaskan wanita daripada penindasan atas nama agama dan hukum syarak. Dalam kalangan mereka ada yang menganggap bahawa syariat Islam seolah-olah tidak memberi keadilan kepada wanita bahkan menurut mereka lagi Islam menindas kaum wanita, tidak memberi kebebasan dan mengongkong wanita daripada melakukan aktiviti sosial.
Selain itu, aliran pemikiran liberalisme juga tidak kurang bahayanya kerana dipelopori oleh umat Islam sendiri di mana aliran pemikiran ini sangat mengelirukan umat Islam. Mereka menganggap corak pemikiran dan kehidupan yang berasal daripada Barat adalah contoh terbaik dalam kehidupan. Mereka terus menanamkan pemikiran dengan doktrin yang mengatakan bahawa sekiranya umat Islam ingin mencapai kemajuan seperti Barat maka pemikiran umat Islam perlu diubah, justeru mereka melontarkan buah fikiran mereka sebagai pembaharuan dalam Islam walaupun pada hakikatnya sangat menyimpang daripada kebenaran. Pemikiran ini jelas dipengaruhi oleh gagasan pemikiran sekular sehingga melontarkan pandangan bahawa agama Islam hanyalah sebagai tuntunan pelaksanaan ibadah ritual sahaja bukan untuk menguruskan dan mentadbir dunia ini. Pemikiran mereka secara terang-terangan mendakwa bahawa syariat Islam tidak lagi sesuai dan ditolak untuk mengatur kehidupan manusia hari ini.
Idea pluralisme pula berpendapat bahawa Islam adalah agama yang benar namun pada masa yang sama berpendapat semua agama selain Islam juga adalah benar. Apabila setiap penganut agama mendakwa hanya Tuhannya dan ajarannya sahaja yang betul, itu hanyalah dakwaan yang relatif dalam konteks dia dan agamanya sahaja. Jika dilihat daripada konteks keseluruhan agama, maka semua agama yang memiliki konsep ketuhanan yang mengajar kepada kebaikan semuanya adalah benar. Idea seperti ini bertujuan supaya manusia yang menganut agama Islam dapat menggunakan sepenuh masa dan tenaganya untuk mencapai kemajuan tanpa dibazirkan kepada usaha membenarkan agamanya sahaja. Hujah ini jelas bertentangan dengan firman Allah SWT yang telah menyatakan bahawa agama yang diterima di sisi Allah SWT hanyalah Islam:
“Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, Maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi” [TMQ Ali Imran (3):85].
Selain itu, hak asasi manusia juga menjadi lesen atau permit yang menghalalkan perkara-perkara yang mengundang kepada kemaksiatan kepada Allah SWT sehingga tidak ada alasan untuk menolak LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender). Bahkan pendukung LGBT mengatakan bahawa penolakan dan kritikan terhadap LGBT oleh kalangan umat Islam hari ini berdasarkan penafsiran sempit terhadap ajaran Islam. Mereka menganjurkan usaha-usaha untuk membela dan mempertahankan hak-hak sivil golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan individu yang mengamalkan interseksual. Agenda mereka menyokong sebarang usaha atau ketetapan yang memberikan hak-hak yang sama rata untuk semua golongan manusia dalam sebuah masyarakat Islam tanpa mengira jenis, fahaman agama, budaya dan gaya hidup seseorang.
Serangan pemikiran sebegini telah menyerap masuk ke dalam negara-negara umat Islam termasuklah Malaysia dan sama ada sedar atau tidak musuh-musuh Islam telah berjaya menabur jarum-jarum beracun yang merosak dan menjauhkan umat Islam daripada berpegang kepada syariat Islam.
Islam Solusi Tunggal
Oleh yang demikian, pelbagai kerosakan pemikiran yang terhasil daripada tsaqafah asing yang telah meresap masuk ke dalam minda umat Islam khususnya Muslimah seharusnya ditangani dengan penyelesaian yang tuntas. Sebenarnya permasalahan ini boleh ditangani apabila penyelesaiannya dikembalikan kepada Islam itu sendiri. Allah SWT telah menurunkan panduan dan aturanNya yang lengkap dan jika dipatuhi dan diamalkan dengan sempurna, pastinya puak kufur dan musuh-musuh Islam tidak mempunyai ruang dan peluang untuk meracuni pemikiran umat Islam.
Setiap pihak seharusnya memainkan peranan masing-masing untuk menyelesaikan pemasalahan ini dengan meluruskan pemikiran umat Islam agar selari dengan syariat Islam.
Pertama, setiap individu Muslim yang mempunyai asas aqidah Islam akan menjadikan ketakwaannya kepada Allah SWT dapat memastikan setiap perbuatannya sentiasa terikat dengan syariat Islam. Di samping itu, kita seharusnya berusaha bersungguh-sungguh untuk menuntut ilmu-ilmu agama dan tsaqafah Islam kerana dengan ilmu-ilmu tersebut kita dapat membezakan antara yang hak dan batil sekali gus menerangkan apa yang hak dan menjawab apa yang batil.
Kedua, umat Islam pula akan sentiasa menjadi mata dan telinga kepada umat Islam yang lain untuk memastikan masyarakat di sekelilingnya tidak tergelincir daripada landasan syariat Islam. Di situlah fungsi dan peranan dakwah iaitu melakukan amar makruf nahi mungkar. Dari Abu Said Al-Khudri RA berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu, maka dengan lisannya, dan sekiranya dia tidak mampu (juga), maka dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah keimanan” [HR. Imam Muslim dalam sahihnya dari Abu Said RA].
Ketiga, peranan utama adalah peringkat Negara yang mempunyai autoriti dalam memicu perjalanan dan pentadbiran sesebuah Negara. Negara berperanan untuk mencorakkan pendidikan kepada setiap rakyatnya untuk menjadi bekalan dalam menghadapi arus kehidupan. Oleh yang demikian, hanya sistem pendidikan yang berasaskan kepada aqidah Islamiyyah yang menerapkan metode pendidikan yang akan menghasilkan umat yang bertakwa, mempunyai kefahaman yang mendalam tentang ilmu-ilmu agama (faqqih fiddin) dan taat kepada Allah SWT dan RasulNya melebihi apa sahaja yang ada di muka bumi. Konsep sistem pendidikan Islam adalah membekalkan tsaqafah Islam serta ilmu sains dan teknologi dan seterusnya menghasilkan umat yang mempunyai syakhsiyah Islamiyyah. Allah SWT berfirman;
“Barangsiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara. Dan barangsiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta” [TMQ Thaha (20): 123-124].
Khatimah
Sesungguhnya cabaran-cabaran yang dihadapi oleh umat Islam khususnya wanita perlu diambil perhatian oleh umat Islam keseluruhannya. Ini kerana serangan pemikiran oleh musuh-musuh Islam ini dilakukan dengan cara yang sangat tersusun dan berstrategi untuk memastikan agenda mereka tercapai dengan jayanya sehingga tidak disedari oleh umat Islam. Justeru, umat Islam mestilah selalu berwaspada terhadap segala bentuk pemikiran yang bukan berasal daripada Islam yang akan merosakkan keyakinan tidak kira sama ada pemikiran tersebut mempunyai nama-nama yang telah dijenamakan semula agar kelihatan lebih moderat seperti Islam Moden, Islam Liberal, Islam Rasional, Islam Post Moden dan sebagainya. Sesungguhnya Islam hanyalah satu iaitu Islam yang sesuai dengan nas-nas al-Quran dan sesuai dengan ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW dalam hadis-hadis mutawatir. Setiap Muslim wajib meyakini ajaran Islam dengan sepenuh hati tanpa ada sedikit pun keraguan dan hanya dengan kembali berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah akan dapat menyelamatkan umat Islam daripada kejahatan musuh-musuh Islam. Oleh yang demikian, setiap umat Islam seharusnya memainkan peranan masing-masing agar dapat membangkitkan kesedaran kita terhadap cabaran serangan pemikiran yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam. Selain itu, kita juga perlulah bersama-sama berusaha menghadapi serangan pemikiran dengan Islam sebagai solusi tuntas sehingga umat Islam dan kebenaran Islam tetap terpelihara sepanjang zaman. Sebagaimana firman Allah SWT;
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya; dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” [TMQ an-Nur (24):21].
Wallahu’alam.
FARISHA ARIS (Aktivis MHTM)