Cara membanteras wabak ‘ummul khobais’

Isu pemandu mabuk, walaupun telah lama diperkatakan, tetapi kebelakangan ini menjadi perhatian setelah terjadi beberapa kemalangan maut akibat dilanggar oleh si pemabuk. Menurut laporan Berita Harian (13/02/20202), yang memetik laporan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL), Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, seramai 158 individu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol di ibu negara sepanjang bulan Januari lepas. Jadi, secara puratanya terdapat 5 pemandu mabuk yang ditahan sehari, sepanjang bulan lepas. Kita yakin jumlah pemandu mabuk jauh lebih ramai daripada itu, dan itu belum mengambil kira statistik seluruh negara!

Isu pemandu mabuk ini, walaupun sebenarnya serius, tetapi agak tenggelam kerana negara disibukkan dengan isu wabak coronavirus (Covid-19) yang kini telah mencecah 19 kes di negara ini. Kebimbangan pemerintah lebih difokuskan kepada wabak coronavirus, yang setakat ini belum menyebabkan kematian di Malaysia, berbanding wabak ‘ummul khobais’ (ibu segala kejahatan) yang telah menyebabkan banyak kematian, kecederaan dan kerosakan sejak puluhan tahun lalu.

Sejarah negara ini mencatatkan bahawa seawal Januari 1964 lagi Malaysia telah menanam benih yang baik kepada penyebaran virus ummul khobais ini dengan berdirinya kilang arak pertama, Guinness Malaysia Limited (GML) di atas tanah seluas 23.72 ekar (96,000 m2) di Sungai Way, Selangor. Kemudian pada 15 April 1972, berdiri pula kilang arak terbesar di Asia Tenggara, Carlsberg Brewery Malaysia Berhad yang dirasmikan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, di Shah Alam, Selangor dan diikuti dengan beberapa kilang lagi yang terus menjadikan virus ummul khobais itu merebak dan menjahanamkan manusia dengan cepat dan dalam skala yang semakin besar.

Kini, setelah lebih 60 tahun merdeka dan parti pemerintah telah bertukar buat pertama kalinya, kesemua kilang air kencing syaitan itu masih gah berdiri, walaupun dalam komponen parti pemerintah, terdapat sebuah parti yang mengaku berdiri atas dasar Islam! Jauh sebelum itu, kerajaan yang ada sekarang telah lama menguasai negeri Selangor, namun tidak seinci pun pintu kilang-kilang tersebut cuba ditutup, apatah lagi untuk ditutup sepenuhnya!

Manakala Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang terkenal aktif memfitnah dan menyesatkan para pendakwah yang tidak sependapat dengan mereka, dan sering berbangga dengan usaha mereka menghapuskan maksiat di Selangor, ternyata menjadi pihak yang pekak, buta dan bisu apabila berbicara tentang kilang arak terbesar yang ada di negeri Selangor.

Walaupun kemalangan demi kemalangan dilaporkan akibat pemandu mabuk sejak dahulu lagi, namun isu ini tidak pernah diambil perhatian serius oleh pemerintah untuk diselesaikan dengan tuntas. Apabila ia diangkat oleh media baru-baru ini, maka sibuklah para politikus berusaha untuk mendapat populariti dengan memberi cadangan itu dan ini. Cadangan ‘hebat’ yang sering diulang-ulang oleh mereka ialah untuk mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah yang memandu dalam keadaan mabuk. Sebenarnya bukan sahaja dalam isu ini, malah boleh dikatakan dalam apa sahaja isu, cadangan seumpama ini (memberatkan hukuman) sering berkumandang. Diakui atau tidak, inilah level pemikiran para politikus sekular yang ada pada hari ini!

Persoalannya, pernahkah apa-apa hukuman yang diberatkan itu berjaya menyelesaikan masalah? Benarkah pemandu mabuk akan berkurangan atau akan kepupusan apabila hukuman lebih berat dikenakan? Jika hukumannya diberatkan sekalipun, ‘berbaloikah’ nyawa orang-orang yang tidak berdosa melayang gara-gara pemandu mabuk? Akan terbelakah nasib anak-anak yang kehilangan ibu bapa, isteri-isteri yang kehilangan suami, sebagai tempat bergantung jika pun diberatkan hukuman ke atas pemandu mabuk ini?

Apa jua hukuman yang ada sekarang atau yang bakal diberatkan nanti, apa yang pasti ialah ia tidak akan menyelesaikan masalah. Ini kerana, pemerintah dan ahli-ahli parlimen dalam sistem demokrasi ini hanya merawat simptom, bukan merawat puncanya. Inilah perangai dan taraf berfikir mereka sejak dulu. Telah terbukti sejak dulu bahawa penyelesaian yang datangnya dari akal-akal ahli parlimen yang diperolehi melalui undi majoriti ini tidak pernah menyelesaikan masalah, dan ia tidak akan pernah menyelesaikan masalah!

Itu dari satu sudut. Dari sudut lain, kilang-kilang yang diharamkan oleh Islam itu menjadi penyumbang besar kepada ekonomi Selangor dan juga Malaysia, yang memustahilkan penutupannya oleh pemerintah, walaupun hakikatnya inilah ‘punca’ yang perlu dihapuskan bagi mengatasi masalah ini secara tuntas. Selagi ada kilang arak tersebut, maka selagi itulah akan ada para pemabuk yang akan (dan telah) merosakkan institusi keluarga, masyarakat dan negara!

Umat Islam seharusnya sedar bahawa parti mana pun yang menjadi pemerintah dalam sistem demokrasi ini, dan berapa banyak sekali pun parti-parti pemerintah itu bertukar ganti, ia tidak akan membawa apa-apa perubahan. Ini kerana, sebuah negara kapitalis seperti Malaysia ini, satu-satunya pertimbangan mereka dalam setiap tindakan ialah manfaat, bukannya halal dan haram! Maka, selagi kilang-kilang arak itu mendatangkan manfaat kepada pemerintah dan pemilik modal yang menjadi kroni pemerintah, maka selagi itulah kilang-kilang haram itu akan terus dibenarkan untuk beroperasi dan akan terus terpacak kukuh di negara ini.

Jika inginkan perubahan (kepada Islam), umat Islam tidak ada pilihan lain kecuali memilih parti yang berjuang untuk menegakkan Islam di luar kubangan demokrasi yang merosakkan ini.

Wallahu a’lam.

Editor