Cemerlangkah Syariah Di Bawah Sekularisme??

Institusi Mahkamah Syariah antara yang cemerlang – Jamil Khir

KUALA LUMPUR 22 Okt. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom menafikan pendapat sesetengah pihak bahawa institusi Mahkamah Syariah di negara ini berada di bawah prestasi sepatutnya.

Menurutnya, pendapat itu tidak boleh diterima secara keseluruhan kerana Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sebelum ini pernah menyatakan bahawa institusi berkenaan merupakan antara mahkamah yang cemerlang di negara ini.

”Itu penulisan blog, tetapi Peguam Negara sendiri pernah memberitahu bahawa prestasi semua mahkamah khususnya syariah adalah di antara yang dianggap cemerlang dan baik.

”Kita tidak boleh ambil satu persepsi untuk gambarkan keseluruhan (prestasi),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Menuju Ke Makkah: Catatan Perjalanan Sepanjang Zaman di Muzium Kesenian Islam di sini hari ini.

Baru-baru ini, beberapa Mahkamah Syariah di seluruh negara dilaporkan berjaya menyelesaikan kes tuntutan perceraian di kalangan artis terkenal seperti Radhi OAG dan Norish Karman.

Perkembangan itu menyebabkan beberapa penulis blog berpendapat bahawa institusi tersebut hanya berminat menyelesaikan isu berprofil tinggi yang mendapat liputan meluas media.

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir menegaskan, masyarakat Islam di negara ini tidak seharusnya memperbesarkan kejadian aneh seperti sejadah duduk atau berdiri yang tidak diketahui kesahihannya.

Katanya, walaupun kejadian itu mungkin sengaja dilakukan sesetengah pihak untuk menyedarkan masyarakat, ia tetap boleh menjerumus ke arah perbuatan khurafat dan sia-sia.

”Dalam sebulan ini, kita panas dengan isu tentang sejadah duduk, berdiri, yang belum ada lagi adalah sejadah berjalan sahaja.

”Tetapi yang saya hairan dan pelik, tidak ada orang berdiri untuk sembahyang di atas sejadah yang banyak,” jelasnya.

Tegas beliau, sekiranya kejadian itu terbukti berlaku dengan sendiri, ia harus dianggap sebagai kebesaran Allah.

Menjawab satu soalan, Jamil Khir memberitahu, kesemua jemaah haji negara yang dijadual berlepas ke Mekah dalam fasa awal ini telah selamat tiba dalam keadaan sihat dan tiada kes berkaitan berkaitan selesema babi atau influenza A H1N1 dilaporkan di kalangan mereka.

Sumber: Utusan Malaysia 23/10/09

Cemerlangkah Syariah Di Bawah Sekularisme??

Sebagai seorang muslim yang beriman dan menjadi salah seorang yang berkuasa di dalam Malaysia, seharusnya Jamil Khir menggunakan ilmunya untuk memahami perintah dan larangan Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Apa sangatlah yang hendak dibanggakan dengan Mahkamah Syariah yang ada di Malaysia, dengan banyaknya kes-kes tertunggak dan tidak diselesaikan, konflik penghakiman (untuk dibicarakan di Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah) dan berlakunya enakmen-enakmen yang masih dipertikaikan sehingga saat ini seperti yang terjadi dalam kes murtad, hudud dan munakahat dan lain sebagainya? Apakah Jamil Khir lebih berbangga dengan pujian Ketua Peguam Negara berbanding pujian yang datangnya dari Allah SWT? Bukankah Allah SWT memerintahkan kepada kita termasuk Jamil Khir untuk berhukum dengan hukum Allah SWT dalam segenap aspek kehidupan? Kita juga dilarang untuk berkompromi dengan hukum thagut (hukum ciptaan manusia).

“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang telah diturunkan kepadamu (Al-Quran) dan kepada apa yang telah diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan mengingkari taghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya”
[TMQ an-Nisa’ (4):60].

Jika kita selidiki dengan bijaksana, sesungguhnya Mahkamah Syariah yang ada di negeri-negeri Malaysia hanyalah menjalankan bahagian-bahagian tertentu daripada apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Bahkan, lebih buruk, Mahkamah Syariah Malaysia (yang tidak syar’i) tidak memiliki keseragaman dalam penghakiman di setiap negeri. Tidak dapat dinafikan juga bahawasanya Mahkamah Syariah di Malaysia masih terikat dengan Perlembagaan Persekutuan, dan kuasanya terhad dan terbatas, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia:

Perlembagaan Malaysia 1984

Kuasa Mahkamah Syariah yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia 1984 dengan pindaan adalah seperti berikut:

1.    Boleh membicara dan menghukum dengan hukuman penjara atau denda ke atas orang Islam sahaja
2.    Denda tidak melebihi RM5000.00 sahaja atau
3.    3 tahun penjara atau
4.    Hukuman rotan tidak melebihi daripada enam kali sebatan atau
5.    Gabungan ketiga-tiganya (denda, penjara dan rotan)

(sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Mahkamah_Syariah_di_Malaysia)

Jadi, apakah kita perlu bangga dengan Mahkamah Syariah yang ada di Malaysia? Bukankah syariah Islam diturunkan untuk mengatur segenap aspek permasalahan manusia? Namun, Mahkamah Syariah di Malaysia hanya menangani sebahagian kecil sahaja aspek kehidupan, itupun tidak ditangani dengan cara yang syar’i. Dalam aspek Muamalat misalnya, kita masih menggunakan sistem riba dalam sistem perbankan dan menggunakan dolar sebagai asas mata wang. Manakala dalam aspek uqubat, negara Malaysia tidak pernah melakasanakan hudud, qisas, ta’zir dan mukhalafat. Jadi, apakah ‘syariah’ ini yang dianggap cemerlang oleh Jamil Khir dan Abdul Ghani Patail?

Di sisi lain, Syariah Islam diturunkan untuk mengatur umat manusia dalam sebuah wadah (negara) dalam peraturan yang sama, baik Muslim atau non-Muslim. Syariat Islam tidak mengenal trias politica, apatah lagi jika syariat itu hanya diterapkan hanya untuk Muslim sahaja seperti yang dijalankan oleh Mahkamah yang dibanggakan oleh Jamil Khir di dalam negara sekular Malaysia ini. (baca selanjutnya: http://www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/354-sn156-hukum-islam-diwajibkan-ke-atas-seluruh-umat-manusia)