Cerita seram dapat sambutan

altDi dalam sistem kapitalisme, manfaat merupakan piawaian dalam menentukan segala tindakan. Pepatahnya mudah, “di mana ada manfaat maka di situ akan ada jalan ”.

Jadi, tidak hairanlah jika Dewan Negara diberitahu bahawa filem berunsur seram lebih mendapat sambutan penonton tempatan di pawagam berbanding filem genre lain.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D’Cruz berkata, melalui rekod Skim Syarat Wajib Tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), filem bertemakan seram telah mencatat jumlah kutipan yang agak tinggi. “Sebagai contoh, sepanjang tahun ini, filem Hantu Bonceng telah berjaya meraih RM8.5 juta, filem Khurafat pula mencatat kutipan RM8.08 juta dan Karak RM4.2 juta,” katanya. Beliau menjawab soalan Senator Ahamat@Ahamad Yusop mengenai lambakan filem berunsurkan tahyul dan mistik pada sidang Dewan Negara di sini semalam. Inilah realiti lapangan perfileman di Malaysia.

Lambakan filem-filem yang berunsurkan seram, takhyul dan khurafat ini akan terus dihasilkan dan dipasarkan gara-gara permintaan yang semakin laku di dalam masyarakat. Padahal, filem-filem seperti inilah yang bakal merosakkan pemahaman dan akidah masyarakat secara beransur-ansur tanpa mereka sedari.

Ini adalah amat bertentangan dengan ruh sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai rujukan di mana setiap tindakan dan polisi negara tersebut akan terikat dengan al-Quran dan as-Sunnah. Semua elemen di dalam masyarakat negara (Islam), akan berlumba-lumba menghasilkan atau mencipta karya dengan identiti kebudayaan Islam. Ini termasuk jugalah aspek penghasilan karya perfileman. Masyarakat yang ada, akan dibentuk dengan acuan yang Islami sehingga tidak akan wujud masyarakat yang materialistik dan hanya mementingkan keduniaan. Alangkah baiknya jika kehebatan dan sejarah tamadun kegemilangan Islam yang dicipta oleh generasi dahulu disogokkan kepada umat hari ini bagi memberikan motivasi kepada masyarakat untuk dicontohi. Cerita kehebatan Sultan Muhhammad al-Fateh membuka kota Konstantinopel, kisah Salahuddin al-Ayyubi menawan semula al-Quds dari tentera Salib dan banyak lagi kisah kehebatan pahlawan Islam boleh dipaparkan untuk tontonan masyarakat. Namun semua ini bergantung kepada keinginan dan komitmen pihak yang bertanggungjawab (negara), apakah mereka menginginkan agar masyarakat itu menjadi baik atau sebaliknya.

Sumber : kosmo 22/12/2011