Cinta Yang Tidak Sesuai Dengan Fitrah
“Suami saya tidak sanggup lagi tinggal dengan tikus. Sukar bagi kami untuk meneruskan rumah tangga yang kami bina 11 tahun lalu. Dia tidak memahami hati saya. Dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa saya lebih cintakan tikus daripada dia,” katanya. Wanita itu yang kini hidup bersendirian di apartmennya menghabiskan sebahagian besar masa dengan tikus-tikusnya.
Sebelum ini kita sudah mendengar pelbagai kerosakan masyarakat yang terjadi di seluruh dunia apabila berkahwin dengan tidak mengikut fitrah manusia. Antaranya, Erika, 39 tahun, yang merupakan bekas tentera yang tinggal di San Francisco yang berkahwin dengan Menara Eiffel pada 4 Jun 2008. Seorang lelaki di China, Liu Ye, 39 tahun, berasal dari Zhuhai City berkahwin dengan replika dirinya sendiri dengan alasan untuk mengekspresikan kekecewaan atas kenyataan hidupnya.
Seorang wanita bernama Bonnie Burton menjadikan watak atau robot R2-D2 daripada filem Star Wars sebagai pasangannya. Lee Jin-gyu, pemuda yang berasal dari Korea memberanikan diri berkahwin dengan bantal ‘dakimakura’ kesayangannya yang tertampal gambar karakter kartun. Bantal tercinta Lee itu menampilkan karakter ‘Fate Testarossa’, yang diambil dari siri kartun ‘Gadis Ajaib’ iaitu Mahou Shoujo Lyrical Nanoha.
Beberapa fakta di atas menunjukkan kepada kita tentang kerosakan masyarakat apabila tidak mengikut petunjuk yang benar. Agama Islam sebagai mabda’ yang mengatur segala hubungan termasuklah hubungan antara manusia dengan manusia yang lain telah lama memberikan penyelesaian kepada manusia tentang bagaimana naluri seksual ini perlu dimanifestasikan dengan cara yang benar dan sesuai dengan fitrah manusia. Adalah sesuatu yang tidak mustahil jika ada manusia yang berkahwin dengan ayah, ibu dan adik beradiknya sendiri lantaran kehidupan yang bebas dan tidak diatur dengan aturan kehidupan yang benar. Aturan yang benar ini hanya lahir daripada agama yang benar iaitu Islam.
Sumber: Harian Metro, 12/03/13