Covid-19: Apakah maksiat, dan maksiat terbesar yang perlu dihapuskan? (Siri 2)

Virus Outbreak Pandemic

Banyaknya zina, riba dan kerosakan-kerosakan lain dalam masyarakat sesungguhnya tidak dapat dipisahkan daripada ulama. Apakah kaitannya? Apakah salah ulama dalam kes ini?

Peranan ulama dalam masyarakat sungguh besar sehingga kebaikan dan kerosakan masyarakat turut tergantung kepada ulama. Jika baiklah ulama, maka baiklah masyarakat, dan sebaliknya jika buruklah ulama, maka buruklah masyarakat. Ini kerana, ulama merupakan tempat rujuk masyarakat dan masyarakat sememangnya cenderung untuk mengikuti apa yang diperkatakan, atau difatwakan oleh ulama. Rasulullah (saw) bersabda:

«أَلاَ إِنَّ شَرَّ الشَّرِّ شِرَارُ الْعُلَمَاءِ وَإِنَّ خَيْرَ الْخَيْرِ خِيَارُ الْعُلَمَاءِ»

“Ingatlah, sejelik-jelik keburukan adalah keburukan ulama dan sebaik-baik kebaikan adalah kebaikan ulama” [HR ad-Darimi].

Siapakah sejelik-jelik keburukan ulama yang dimaksudkan oleh Rasulullah (saw)? Dalam sabdanya yang lain, baginda (saw) menjelaskan,

وَيْلٌ ِلأُمَّتِيْ مِنْ عُلَمَاءِ السُّوْءِ يِتَّخِذُوْنَ هَذَا الْعِلْمَ تِجَارَةً يَبِيْعُوْنَهَا مِنْ أُمَرَاءِ زَمَانِهِمْ رِبْحاً ِللأَنْفُسِهِمْ لاَ أَرْبَحَ اللهُ تِجَارَتَهُمْ

“Kebinasaan bagi umatku (datang) dari ulama su’, mereka menjadikan ilmu sebagai barang dagangan yang mereka jual kepada para penguasa zaman mereka untuk mendapatkan keuntungan bagi diri mereka sendiri. Allah tidak akan memberikan keuntungan dalam perniagaan mereka itu” [HR al-Hakim].

Itulah di antara ciri-ciri ulama su’ yang diterangkan oleh Rasulullah (saw) yakni ulama yang menjadikan ilmu yang ada padanya sebagai perniagaan yang diniagakan dengan penguasa yang mereka dampingi, untuk mendapatkan keuntungan duniawi. Mereka tidak beramal dengan ilmu mereka, sebaliknya mereka menggunakan ilmu tersebut mengikut hawa untuk meraih manfaat di sisi penguasa. Anas meriwayatkan:

الْعُلَمَاءُ أَمَنَاءُ الرُّسُلِ مَا لَمْ يُخَالِطُوْا السُّلْطَانَ وَ يُدَاخِلُوْا الدُّنْيَا فَاِذَا خَالَطُوْا السُّلْطَانَ وَ دَاخَلُوْا الدُّنْيَا فَقَدْ خَانُوْا الرُّسُلَ فَاحْذَرُوْهُمْ وَفِيْ رِوَايَةٍ لِلْحَاكِمِ فَاعْتَزِلُوْهُمْ

“Ulama adalah kepercayaan para rasul selama mereka tidak bergaul dengan penguasa dan tidak asyik dengan dunia. Jika mereka bergaul dengan penguasa dan asyik dengan dunia maka mereka telah mengkhianati para rasul. Kerana,  jauhilah mereka” [HR al-Hakim].

Hadis tersebut menjelaskan bahawa di antara ulama su’ itu adalah ulama salathin, iaitu ulama yang menjadi pendamping kepada penguasa, yang menjadikannya leka dengan dunia, kerana apa yang dicarinya dengan mendampingi penguasa ialah dunia. Ia tidak melakukan amar makruf nahi mungkar atau memuhasabah penguasa, sebaliknya ‘membantu’ penguasa dalam kezaliman mereka.

Menurut adz-Dzhabi, ulama su’ adalah ulama yang memperindah kezaliman dan ketidakadilan yang dilakukan oleh penguasa; ulama yang menterbalikkan kebatilan menjadi kebenaran untuk penguasa; atau ulama yang diam sahaja (di hadapan penguasa) padahal ia mampu menjelaskan kebenaran [Sayr al-A’lam an-Nubala’, VII/125, Muassasah ar-Risalah, Beirut, cet. IX. 1413].

Al-Minawi, dalam Faydh al-Qadir, mengatakan, “Bencana bagi umat ini (datang) daripada ulama su’, iaitu ulama yang dengan ilmunya bertujuan mencari kenikmatan dunia, meraih martabat dan kedudukan. Setiap orang daripada mereka adalah tawanan syaitan. Ia telah dibinasakan oleh hawa nafsunya dan dikuasai oleh kesengsaraannya. Siapa sahaja yang keadaannya sedemikian, maka bahayanya terhadap umat datang dari beberapa sisi. Bahaya dari sisi umat ialah (kerana) umat mengikuti ucapan-ucapan dan perbuatan-perbuatan ulama tersebut. Ia memperindah (tindakan) penguasa yang menzalimi manusia dan sangat mudah mengeluarkan fatwa bagi (kepentingan) penguasa. Pena dan lisannya mengeluarkan kebohongan dan kedustaan. Kerana sombong, ia mengatakan sesuatu yang tidak ia ketahui” [Faydh al-Qadir, VI/369].

Banyak lagi hadis dan pendapat para ulama mengenai ulama su’ yang membinasakan masyarakat. Mereka menyebabkan masyarakat binasa kerana peranan mereka yang bukannya menasihati atau memperbaiki kerosakan masyarakat, sebaliknya mereka mendampingi penguasa, dan menggunakan ilmu mereka untuk mendapat kedudukan dan habuan di sisi penguasa. Mereka tidak menegur kesalahan penguasa, sebaliknya memperindah kesalahan penguasa dengan fatwa mereka. Mereka berdiam diri dengan perbankan ribawi yang diterapkan oleh penguasa. Mereka mengeluarkan fatwa yang selari dengan kehendak penguasa, dan lebih buruk lagi apabila mereka turut menyalahkan dan memusuhi umat yang memuhasabah penguasa yang zalim tersebut.

Sesungguhnya ulama su’ seperti ini wujud dan boleh dilihat di mana-mana, termasuklah di Malaysia. Rasulullah (saw) tidak menamakan mereka, sebagaimana Rasulullah (saw) tidak menamakan kepada kita siapakah munafiq. Namun baginda (saw) memberitahu kepada kita akan sifat dan ciri-ciri mereka. Setiap Muslim yang mempunyai penglihatan sudah pasti akan mengenal siapakah ulama su’ yang ada di sekeliling mereka.

‘Buah tangan’ yang terhasil daripada ulama su’ ini ialah kemaksiatan yang berleluasa dalam masyarakat, dan yang paling buruk ialah kemaksiatan terbesar yang dilakukan oleh penguasa, yang terus berlangsung kerana dipercantikkan oleh ulama su’ tersebut. Kesemua kemaksiatan inilah yang telah mengundang murka Allah (swt). Lalu, apabila Dia menurunkan azab dan musibah-Nya, ia terkena kepada semua orang secara menyeluruh. Apakah kemaksiatan terbesar penguasa itu?

…bersambung