Debat calon PM: Ada atau tidak, menang atau kalah, sama sahaja

Terdapat cadangan agar calon-calon Perdana Menteri yang dikemukakan oleh beberapa parti yang akan bertanding dalam PRU15 nanti, mengadakan debat terbuka dalam rangka menunjukkan kelayakan dan kewibawaan masing-masing di mata rakyat.

Namun demikian, terdapat calon yang kelihatannya tidak berani menyahut cabaran dengan memberikan pelbagai justifikasi seperti debat tidak mendatangkan manfaat, bukan budaya kita dan macam-macam lagi.

Manakala banyak pihak lain pula telah memberikan pendapat masing-masing mengenai hal ini, yang kebanyakannya bersetuju dengan cadangan debat tersebut.

Umum mengetahui bahawa debat antara calon ketua negara ini merupakan tradisi di Amerika Syarikat yang bermula seawal tahun 1960, yang dikenali dengan presidential debate. Ada percubaan untuk meniru langkah ini nampaknya.

Persoalannya, jika debat antara calon-calon PM diadakan sekali pun, adakah ia benar-benar dapat membuktikan kelayakan dan kewibawaan seseorang itu sebagai PM? Adakah debat merupakan kayu ukur kehebatan seseorang calon?

Sesungguhnya ukuran kelayakan dan kewibawaan seseorang sebagai pemimpin bukanlah diukur dengan kehebatannya dalam berdebat. Debat boleh menjadi bukti akan kebolehan atau kepetahan seseorang dalam mengemukakan hujah, dan mematikan hujah lawan. Kita perlu faham bahawa debat adalah berkenaan dengan skill bercakap (berhujah) dan berfikir, tetapi bukannya skill kepimpinan, walaupun ia menjadi nilai tambah kepada kepimpinan seseorang.

Islam meletakkan tujuh syarat in’iqad (kelayakan) seseorang untuk menjadi Khalifah (ketua Negara Islam) iaitu Muslim, lelaki, baligh, berakal, merdeka, adil dan mampu. Di samping itu terdapat syarat afdhaliyyah (keutamaan) iaitu ia hendaklah seorang mujtahid, pemberani, pemikir dan politikus yang hebat, ahli perang dan sebagainya.

Apa yang penting untuk difahami oleh umat Islam ialah mengenai “kewajipan” seorang ketua negara, iaitu untuk menerapkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya. Ini kerana, atas dasar inilah dia dilantik dan dibaiah untuk menjadi ketua negara.

Manakala dalam sistem demokrasi, ketua negara dilantik untuk menjalankan roda pemerintahan berdasarkan akal manusia, berdasarkan sistem dan undang-undang yang dibuat oleh manusia, yang bertentangan dengan syariat Allah.

Demokrasi membenarkan siapa sahaja menjadi ketua negara termasuk seorang wanita, orang fasiq, malah orang kafir sekalipun dibenarkan. Bahkan sudah terbukti orang yang kaki rasuah, pencuri dan perompak duit rakyat diangkat menjadi ketua negara.

Sudah terbukti bahawa orang yang tidak mahu menerapkan Islam pun boleh menjadi ketua negara dalam sistem demokrasi.

Justeru, apa gunanya debat jika siapa pun yang memenanginya lalu menjadi PM, namun tetap meneruskan sistem demokrasi tinggalan penjajah yang sudah jelas bertentangan dengan Islam?

Apa gunanya debat jika siapa pun yang memenanginya, lalu menjadi PM, tetapi tetap tidak menerapkan Islam, malah menolak hukum Islam dan memburu para pendakwah Islam?

Sesungguhnya umat Islam tidak memerlukan perdebatan antara calon-calon Perdana Menteri, tetapi memerlukan hasrat dan usaha sungguh-sungguh daripada siapa pun yang ingin menjadi ketua negara, untuk menerapkan Islam secara kaffah di bumi ini.

Wallahu a’lam.