Deepseek Dan Ancaman Dominasi Teknologi AS
Baru-baru ini dunia digemparkan dengan kemunculan pelbagai jenis “Kecerdasan Buatan” atau Artificial Intelligence (AI) yang sememangnya telah memberikan impak yang sangat besar. Antara revolusi yang telah berlaku adalah penciptaan teknologi baharu yang semakin cepat. Hal ini kerana AI dapat “berfikir” untuk manusia, di mana seseorang boleh mendapatkan jawapan secara terperinci untuk sesuatu persoalan. Sungguhpun ramai yang mengkritik kemunculan AI kerana dianggap membunuh kemampuan manusia untuk berfikir, namun ia sebenarnya dapat meningkatkan produktiviti seseorang.
Umum mengetahui bahawa Amerika Syarikat (AS) merupakan negara yang mendahului dalam bidang teknologi. Mereka adalah pengeluar pertama AI di dunia. Hal ini tidaklah mengejutkan kerana mereka sebagai kuasa besar sudah tentu tidak mahu negara lain mendahului mereka. Sejak dahulu lagi, AS sudah bertungkus lumus menjalankan kajian mengenai teknologi baru terutamanya dalam bidang ketenteraan. Kajian demi kajian dilakukan yang akhirnya menghasilkan berbagai-bagai penemuan dan menjadikan mereka negara paling maju.
Kendatipun begitu, baru-baru ini dunia telah digemparkan dengan kemunculan AI baru yang telah dibangunkan oleh negara China iaitu DeepseekAI. Kemampuan sistem AI dari China ini telah memberi ancaman baru kepada monopoli AI oleh AS. Presiden AS, Donald Trump memberi maklum balas dengan mengatakan “Deepseek is a wake-up call for US.” Hal yang demikian kerana AI dari China ini telah menyebabkan saham syarikat chipset pemangkin AI milik AS, Nvidia, jatuh menjunam dengan kerugian sebanyak US$600 billion. Kejadian ini membuatkan AS berasa sangat terancam kerana mereka bakal kehilangan dominasi terhadap dunia.
Kemunculan AI dari China ini telah membuka mata dunia bahawa AS bakal kehilangan monopoli terhadap teknologi di seluruh dunia. Deepseek yang lebih murah tetapi mempunyai kemampuan yang hampir sama dengan OpenAI dan Gemini telah menurunkan pengaruh AS dan kebergantungan negara-negara lain terhadap sistem AI milik Amerika. Negara- negara lain mempunyai pilihan alternatif untuk sistem AI. Malah ada negara yang mahu membangunkan sistem AI mereka sendiri sekiranya kos pembangunan adalah murah.
Jika dikaitkan dengan bagaimana Islam memandang konstelasi antarabangsa ini, sememangnya Negara Islam perlu berada pada status negara utama. Hal ini kerana negara utama merupakan negara yang mempunyai daya dan pengaruh ke atas dunia, dimana sesebuah negara itu boleh masuk campur dalam hal dalaman negara maupun yang bersifat antarabangsa.